hati

Rangsang pertumbuhan rambut

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Rambut gugur antara masalah utama yang sering dialami wanita tanpa mengira usia. Bertudung atau tidak, hampir semua wanita tidak dapat lari daripada ancaman kehilangan rambut.

Di Malaysia saja, bilangan individu khususnya wanita yang mengalami masalah keguguran rambut semakin meningkat sehingga 11.1 peratus, sejak 1990.

Peningkatan ini membuktikan perlunya satu jalan penyelesaian mudah dan terbaik untuk masalah keguguran rambut.

Ketua Trikologi, Svenson Kim Fong berkata, berdasarkan pengalaman lebih 16 tahun dalam kajian berkenaan rambut, beliau mendapati kesedaran berkenaan kesihatan rambut masih rendah, khususnya dalam kalangan rakyat negara ini.

“Di negara lain seperti di Amerika Syarikat, rakyat di sana membayar ratusan dolar untuk menjalani pemeriksaan kulit kepala dan mendapatkan khidmat perundingan. Di Malaysia, kami melakukannya secara percuma, namun masih ramai tidak mahu ambil tahu.

“Terdapat banyak faktor luaran menyebabkan rambut gugur dan masalah kulit kepala dalam kalangan masyarakat negara ini. Kami berharap orang ramai tampil mendapatkan rawatan bermula dari peringkat awal,” katanya.

Tambahnya, isu keguguran rambut dijangka akan menjadi antara penyakit utama yang menimbulkan kebimbangan menjelang abad ke-21 serta memerlukan perhatian khusus.

“Ia mungkin mengejutkan, namun pada hari ini kanak-kanak berusia 10 tahun juga sudah mengalami masalah keguguran rambut. Ini perkembangan yang amat membimbangkan.

“Kajian juga menunjukkan kulit kepala manusia mengeluarkan dua hingga tiga kali ganda lebih minyak berbanding di bahagian muka. Tetapi, ramai di antara kita hanya berusaha mencuci wajah dan kerap mengabaikan bahagian rambut,” katanya.

Dengan lebih 60 tahun pengalaman dalam industri rambut dan kulit kepala, Svenson yang juga pakar penjagaan rambut berpusat di London sangat yakin dengan penggunaan teknologi canggih dan teknik diperakui, ia mampu memberi kesan positif kepada pesakit yang mengalami masalah rambut menipis dan gugur.

Baru-baru ini, Svenson memperkenalkan Svenson Hair Filler. Ia adalah rawatan teknologi terkini Active Complex yang terbukti melalui ujian klinikal menjanjikan rambut yang lebih lebat dan tebal dalam masa 12 minggu.

Menerusi Svenson’s Hair Filler, penggunanya dapat mengurangkan masalah rambut gugur, mengembalikan kulit kepala dan folikel (dalam kulit kepala) yang lebih sihat dan merangsang pertumbuhan rambut lebih lebat serta tebal.

Pengarah Operasi (Malaysia) Svenson Joanne Yeong berkata, rawatan terbaru ini mensasarkan golongan yang menghadapi masalah keguguran rambut dan kulit kepala disebabkan pelbagai faktor.

“Kami sangat berbangga membawa teknologi rawatan terkini ke sini untuk membantu mengurangkan masalah rambut gugur dan rambut nipis dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Berbekalkan kemajuan teknologi di hujung jari pada hari ini, kami merancang untuk memanfaatkan kelebihan ini dengan memajukan lagi industri trikologi di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, produk rambut ini mengandungi bahan aktif konsisten, peptida (sebatian yang terbentuk daripada dua asid amino) yang dipatenkan dan akan mengalir terus ke akar rambut, dengan menggunakan teknologi ‘time-release’ secara berterusan. Kedah ini dipercayai memberi kesan positif terhadap rambut.

“Bahan aktif kompleks di dalam rawatan ini dicipta untuk menggalakkan perjalanan darah di kulit kepala di samping membantu merangsang pertumbuhan rambut dengan meningkatkan saiz rambut, sekali gus memanjangkan jangka hayatnya,” ujarnya.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 1:36pm
d