hati

Spa dalam kabin

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Tidak ada gunanya tampil menawan jika badan lesu tidak bermaya. Dalam dunia serba pantas hari ini, cantik dan sihat adalah dua perkara paling diinginkan setiap wanita.

Atas dua faktor itu juga, dua wanita yang mempunyai pengalaman luas lebih 10 tahun dalam bidang kecantikan berusaha membantu wanita untuk kekal sihat dan cantik.

One Stop Cabin Beauty di Bukit Antarabangsa, Ampang, adalah spa dalam kabin yang diusahakan Nurul Hafizah Mohd Noor dan Siti Nor Aishah Mohd Yusop. Ia menawarkan pelbagai rawatan terbaik bermula daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Menurut Nurul Hafizah, walaupun terletak dalam kabin, namun semua rawatan ditawarkan setanding dengan spa bertaraf lima bintang.

“Kami menekankan aspek kepuasan pelanggan terutama kepada individu yang mempunyai masalah kelesuan selain rawatan wajah.

“Keistimewaan kami adalah rawatan urutan buang angin yang memberi tumpuan pada beberapa bahagian tubuh bermasalah,” katanya.

Nurul Hafizah berkata, dengan pengalaman lebih 11 tahun dalam bidang urutan, dia menggunakan teknik mengurut terbaik untuk memuaskan hati setiap pelanggannya.

“Angin yang terlalu banyak akan membuatkan badan menjadi sakit dan lesu. Ia perlu dibuang menggunakan teknik urutan yang betul.

“Urutan ini juga mampu melancarkan peredaran darah sekali gus menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga,” katanya.

Kata Nurul Hafizah, dia berusaha mengubah tanggapan ramai yang menganggap urutan adalah rawatan pilihan dan tidak perlu dilakukan sekiranya tidak mengalami sebarang masalah.

“Hakikatnya, urutan antara rawatan yang penting khususnya kepada wanita dan jangan abaikan bagi menjamin kesihatan dan kecergasan diri berterusan.

“Mungkin pelanggan yang mengalami masalah angin yang teruk akan berasa sakit apabila diurut di tempat bermasalah tetapi percayalah lama-kelamaan kesakitan dialami akan berkurangan,” katanya.

Menurutnya, selain urutan angin, dia turut menawarkan rawatan istimewa lain seperti sengkak, bertungku, mandi bunga, sental rempah dan mandi herba. Harga rawatan bermula antara RM80 hingga RM150.

“Pelanggan juga akan dihidangkan jamu khas yang disediakan saya sendiri sebaik selesai menjalani urutan atau sebarang rawatan badan bagi membantu mengeluarkan angin dalam badan.

“Syukur, pelanggan berpuas hati dengan rawatan ini dan hampir semua yang datang adalah pelanggan tetap yang sudah merasai sendiri rawatan berurut atau rawatan lain sebelum ini,” ujarnya.

Rawatan wajah Vitamin C + Oksigen

Selain memberi tumpuan pada rawatan tubuh, One Stop Cabin Beauty turut menawarkan rawatan wajah istimewa yang dilakukan juru terapi berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang itu.

Menurut Siti Noor Aishah, dengan menggunakan produk dermatologi yang diyakini dan halal, setiap rawatan wajah yang dilakukannya disertakan teknik urutan wajah bagi menaikkan lagi seri.

“Rawatan wajah Vitamin C + Oksigen antara yang menerima permintaan tinggi dari pelanggan selain beberapa rawatan wajah lain. Antaranya rawatan aura seri dan rawatan Diamond + Oksigen.

“Dengan harga bermula RM50 hingga RM350, pelanggan akan berpuas hati dengan rawatan diterima kerana saya akan memastikan kulit wajah pelanggan mendapat hasil seperti yang dimahukan,” katanya.

Atas sebab itu, Siti Noor Aishah berkata, dia akan meneliti wajah pelanggan yang datang terlebih dulu bagi menentukan masalah dialami dan rawatan yang sesuai.

“Saya tidak mahu syok sendiri. Biasanya saya akan berbincang dengan pelanggan terlebih dulu berkaitan masalah kulit wajah mereka sebelum memulakan sebarang rawatan.

“Apa yang utama adalah kepuasan pelanggan dan disebabkan itu juga saya akan berusaha sebaik mungkin merealisasikan keinginan pelanggan untuk memiliki kulit wajah cerah gebu dan paling penting kulit wajah yang sihat,” ujarnya.

One Stop Cabin Beauty beroperasi bermula 10.00 pagi hingga 8.00 malam setiap hari.

Disiarkan pada: December 20, 2017 @ 2:20pm
d