hati

Lidah pendek jejas pertuturan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Bayi dan kanak-kanak yang menghadapi masalah lidah pendek sering dikaitkan dengan masalah sukar menyusu, menelan cecair atau sesetengah makanan bahkan mengalami masalah dalam pertuturan.

Keadaan itu yang juga disebut ankiloglosia adalah disebabkan frenulum pendek. Apabila frenulum dalam keadaan normal, ia bersifat elastik dan tidak mengganggu pergerakan lidah dalam menghisap, makan, membersihkan makanan daripada gigi, menelan dan bertutur. Sebaliknya jika lidah pendek, ia memberi kesan buruk terhadap fungsi lidah, pemakanan dan pertuturan.

Pakar kanak-kanak Hospital Umra Dr Jessie Shunmugam berkata, lidah pendek amat jarang menyebabkan komplikasi. Ia juga jarang berlaku dengan hanya 0.2 hingga 10 peratus daripada populasi dunia, manakala di Malaysia, hanya kira-kira 1.7 peratus.

Menurutnya, kebanyakan kes lidah pendek yang dikesan adalah peringkat ringan dan bayi lelaki lebih cenderung untuk menghidapinya berbanding perempuan, selain boleh berlaku atas faktor genetik jika ada ahli keluarga yang mengalaminya.

“Tidak semua bayi yang dikesan dengan lidah pendek berdepan masalah serius. Kebanyakannya boleh dikesan selepas pemeriksaan dan mendapati frenulum mereka pendek menyebabkan tidak boleh menjelir lidah, menggerakkan lidah ke kiri atau ke kanan dan lidah tidak dapat menyentuh lelangit.

“Jika masalah lidah pendek yang serius, bayi tidak dapat menyusu dengan baik. Ini kerana ketika menyusu lidah tidak dapat keluar dari mulut dan puting tidak dapat dihisap menggunakan lidah.

“Oleh kerana keadaan itu boleh menyukarkan pergerakan lidah si kecil, ia sekali gus menyebabkan ibu berasa sakit apabila memberikan susu badan kerana bayi hanya boleh menggigit puting ibu ketika menyusu,” katanya.

Menurutnya, bayi anda mungkin mempunyai lidah pendek jika gagal atau sukar menghisap puting semasa menyusu menyebabkan mereka tidak mendapat nutrisi yang optimum selain puting susu ibu pula luka dan melecet setiap kali menyusukan bayi.

Beliau berkata, masalah lidah pendek pada tahap yang lebih teruk kebiasaannya dapat dikesan lebih awal bahkan selepas dilahirkan manakala pada peringkat ringan dan sederhana, agak lambat dikesan kerana tiada simptom.

“Biasanya masalah hanya diketahui apabila anak mula bercakap kerana mereka mengalami masalah pertuturan. Pada anak yang mengalami lidah pendek, pertuturan mereka terjejas namun bukanlah bercakap lambat. Biasanya mereka mengalami kesukaran menyebut beberapa perkataan dengan betul seperti huruf ‘r’, ‘s’, ‘z’, ‘d’ dan ‘t’ kerana lidah mereka tidak boleh bergerak sempurna.

“Frenulum yang sangat pendek akan memberi kesan kepada kualiti pertuturan kanak-kanak. Pergerakan lidah yang terhad akan menyebabkan sebutan kurang tepat, kelajuan yang tidak sekata, intonasi dan ritma terganggu selain sebutan kurang jelas.

“Masalah pertuturan bagi kanak-kanak lidah pendek berbeza dengan masalah lambat bercakap, oleh itu penilaian rapi oleh juruterapi pertuturan dan patologis pertuturan perlu dilakukan bagi membolehkan rawatan dilakukan,” katanya.

Dr Jessie berkata, tidak semua pesakit dengan lidah pendek perlu menjalani pembedahan sebaliknya pembedahan akan dilakukan hanya apabila perlu.

Katanya, selain aduan pesakit atau penjaga, pemeriksaan doktor dan penilaian juruterapi akan menentukan sama ada kanak-kanak ini perlu menjalani pembedahan atau tidak untuk membebaskan frenulum.

Prosedur pembedahan frenotomi untuk bayi dengan masalah itu iaitu memotong frenulum untuk membolehkan lidah bergerak membabitkan prosedur mudah dengan hanya penjagaan sehari dan bayi boleh mula menyusu selepas itu.

“Kebiasaannya, apabila berlaku masalah lidah pendek, kita akan tunggu dan lihat sama ada ia memberi kesan kepada kehidupan mereka atau tidak. Kebanyakan masa lidah pendek tidak memberi masalah serius.

“Hanya bayi yang tidak bertambah berat badan, kesukaran menyusu dan sukar menelan makanan yang memerlukan bantuan, tapi keadaan ini hanya peratusan kecil saja.

“Apabila kanak-kanak semakin besar mungkin ada sesetengahnya mengalami masalah dalam pertuturan, tapi bukan 100 peratus memerlukan pembedahan. Khidmat nasihat juruterapi pertuturan dan patologis pertuturan diperlukan dalam peringkat ini untuk membolehkan mereka bertutur dengan sempurna,” katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2017 @ 12:02am
d