hati

Koleksi kasut pikat pengguna

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Jenama global yang terkenal dalam industri fesyen sukan dan gaya hidup, Skechers USA, Inc minggu lalu membuka butik terbarunya, Skechers City Outlet di pusat beli-belah IPC, Mutiara Damansara.

Dengan keluasan kira-kira 613 meter persegi, premis baru itu menjadi butik jenama Skechers terbesar di Asia Tenggara. Ia menggabungkan kedai konsep yang mengetengahkan fesyen kasut dan pakaian terkini dengan bahagian koleksi sukan serta gaya hidup bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Sejak jenama itu meningkat naik, ia berjaya memikat hati ramai pengikut fesyen tempatan menerusi koleksi kasut bergaya dan selesa. Antaranya, Sport, D’Lites 2, Burst, USA, Bobs, Energy Lights, Twinkle Toes, the GOwalk dan GOrun. Turut mencuri perhatian adalah pakaian sukan seperti baju, seluar dan ‘bra top’.

Presiden Skechers Hong Kong dan Asia Tenggara Vincent Leung berkata, pihaknya teruja memperkenalkan butik bersaiz besar berkenaan sekali gus mengetengahkan stail dan koleksi fesyen terkini untuk pelanggan.

“Barisan koleksi yang ada di sini memberi pilihan luas kepada pelanggan di bawah satu bumbung. Pada masa sama, pembukaan butik ini juga mencerminkan kedudukan jenama ini yang kian meningkat di pasaran tempatan, terutama sejak kemunculan pertamanya di Malaysia pada 2009.

“Di butik ini, kita akan pamerkan kira-kira 500 jenis produk termasuk pilihan kasut pelbagai guna, pakaian, seluar, aksesori kanak-kanak dan sebagainya. Bahagian dalaman butik pula dikategorikan mengikut lelaki, wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Jelas Vincent, beliau tidak sabar memperkenalkan lebih banyak koleksi unik dan menarik dalam rangkaian kedai konsep di butik berkenaan di masa akan datang.

“Kami percaya jenama ini akan terus berkembang mengikut pelan pemasaran yang sudah dirancang sepanjang 2018 nanti. Tambahan peredaran fesyen kini menunjukkan tindak balas positif pengguna terhadap barang berjenama.

“Menjelang 2018, kita juga berazam menempatkan diri dalam kelompok tiga jenama terbaik bagi kategori fesyen kasut dan mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu pasaran bagi koleksi kasut untuk berjalan,” katanya.

Pada majlis pembukaan itu, Vincent turut memperkenalkan koleksi terbaru dengan unsur lebih bergaya dan selesa. Jenama itu turut merancang membuka 29 lagi butik baru tahun depan sekali gus mencapai jumlah keseluruhan rangkaian jenama sebanyak 91 butik di Malaysia.

Disiarkan pada: December 23, 2017 @ 2:40am
d