hati

Sentiasa positif walaupun diuji

Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Kecekalan perlu ada apabila berhadapan dengan penyakit kronik apatah lagi jika ia menyebabkan diri tidak mampu melakukan tugasan berat atau mencabar, namun keinginan untuk berjaya menebal dalam hati.

Ketika ini, sangat penting untuk menggunakan segala kemahiran yang ada bersesuaian dengan kemampuan diri bagi mencari bakat tersembunyi.

Apapun ujian yang melanda perlu dihadapi, hidup juga mesti diteruskan. Untuk berjaya, hati yang cekal, tidak mudah putus asa dan sentiasa memperbaiki kesilapan adalah antara sikap yang perlu ada.

Bukan halangan berjaya

Bagi Mohd Nazrul Naim Tamdjis, 34, penderitaannya bermula sejak 20 tahun yang lalu. Jangkitan kuman pada kedua-dua buah pinggangnya menyebabkan dia kini tidak mampu menjalani hidup secergas orang lain.

Namun, dia tekad untuk menjalani kehidupan sebaik mungkin dan menjaga kesihatannya bagi mengejar cita-cita yang diidamkan. Dia akui, dalam keghairahan mengejar kejayaan, ada masa dia perlu berehat daripada menyiapkan manuskrip novel.

“Apabila kita sakit, memang kena ada waktu untuk berehat. Ketika sakit menyerang, saya hanya mampu terbaring. Selepas benar-benar sihat barulah saya kembali aktif menulis.

“Malah saya juga pernah cuti lama daripada menulis kerana perlu menjalani pembedahan tangan kanan bagi membetulkan urat saraf akibat komplikasi buah pinggang.

“Namun saya perlu sentiasa positif walaupun diuji dengan kesakitan dan lebih menguatkan azam untuk berjaya adalah sokongan keluarga yang tidak putus,” katanya.

Mohd Nazrul Naim atau dikenali dengan nama penanya, Naim Tamdjis yang berasal dari Negeri Sembilan menambah, dia mula menulis secara tidak rasmi pada 2013, itu pun secara dalam talian di Ilham Karangkraf.

Pada mulanya, ia dilakukan secara suka-suka, namun apabila mendapat maklum balas positif dan ada yang memberi komen dia berpotensi, semangatnya melonjak hingga tidak jemu belajar menulis dengan cara menarik.

Pada 2014, Naim menghasilkan karya berbentuk antologi cerpen bertajuk Gaun Berdarah. Bermula 2015 hingga 2017, dia terus-menerus menghasilkan lapan novel bergenre seram dan ngeri sama ada untuk projek seram atau solo.

“Awalnya saya sukakan penulisan berbentuk aksi. Namun, minat itu beralih apabila ada permintaan untuk novel bergenre seram yang mendapat permintaan tinggi.

“Selepas cuba menulis, editor di syarikat penerbitan itu mendapati saya mempunyai bakat dalam menghasilkan cerita seram. Saya banyak dapat inspirasi dan idea menulis menerusi drama dan filem selain permainan video.

“Saya suka menulis pada waktu malam iaitu dari jam 9 malam hingga 1 pagi dan tidak dinafikan ada kalanya dapat merasai kehadiran entiti lain itu, namun ia bukan alasan untuk saya berhenti menulis.

“Bagi saya jika tidak menulis dalam sehari, seperti tidak puas. Seolah-olah ada kekurangan pada hari itu. Jadi saya akan pastikan memperuntukkan tiga hingga empat jam meluahkan idea yang bersarang dalam kepala,” katanya.

Tarikan pada penulisan yang disampaikan banyak menyentuh elemen fantasi atau sejarah selain seram komedi dan pastinya ia dapat menambah ilmu baru kepada pembaca yang disampaikan dengan cara santai.

Jelas anak sulung daripada empat beradik ini lagi, jiwanya dalam penulisan seram masih kuat, walaupun ada kalanya teringin hendak menulis cerita berbentuk fantasi pengembaraan.

Justeru, tidak hairanlah jika dua nama besar dalam dunia penulisan seram dan ngeri iaitu Ramlee Awang Murshid dan Zaifuzaman Ahmad menjadi idolanya.

“Idea ditolak itu perkara biasa dan saya tidak pernah berputus asa sebaliknya mengambil peluang untuk memperbaiki kesilapan dan kelemahan diri dalam penulisan.

“Pada masa sama, kita juga perlu bersedia menerima kritikan sama ada daripada editor atau pembaca dan ambil setiap komen mereka dari sudut positif,” katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2017 @ 12:01am
d