hati

Kelainan karya Dr Nurliza

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Bidang penulisan sudah sebati dengan dirinya hingga membuatkan wanita ini memasang impian menulis buku sendiri. Berkat kesungguhan dan keinginan itu dia berusaha mencari idea terbaik serta kelainan bagi merealisasikan impiannya.

Selain menulis, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini juga ‘ulat buku’ dan banyak menghabiskan masanya dengan membaca pelbagai bahan bacaan terutama buku berbentuk fiksyen.

Bertugas sebagai ketua penyelidikan di sebuah perbankan Islam, Dr Nurliza Mohd Mydin, 36, berkata, dia mula berkecimpung secara serius dalam bidang penulisan sejak 2012 lagi.

“Saya menulis dua buku yang diterbitkan di New York iaitu Reformation and Development in the Muslim World dan Resource Rich Muslim Countries and Islamic Institutional Reforms (In press) bersama dua penulis ekonomi Islam Prof Hossein Askari serta Prof Abbas Mirakhor.

“Disebabkan keinginan dan minat dalam bidang penulisan, saya berusaha mencari kelainan dan mengumpul maklumat menarik sehingga terhasilnya buku The Three Village Boys hasil tulisan serta idea saya sendiri,” katanya.

Menurut Dr Nurliza yang mempunyai tiga cahaya mata, buku itu mengisahkan mengenai pengembaraan tiga rakan karib dan perbandingan corak pemerintah yang tidak adil serta kejam.

“Niat saya untuk membukakan isu ini sebagai topik utama buku ini supaya ia boleh dibicarakan dengan anak supaya mereka boleh memahami apakah sebab terjadinya keadaan seperti itu dan apakah tanggungjawab mereka pada masa akan datang.

“Buku ini juga membantu kanak-kanak mengasah bakat imaginasi mereka kerana melalui imaginasi individu itu dapat membayangkan kemungkinan yang akan berlaku,” ujarnya.

Ambil tempoh enam bulan

Dr Nurliza berkata, dia mengambil tempoh enam bulan menyiapkan keseluruhan proses melahirkan buku The Three Village Boys.

“Semasa idea datang, penulisan saya agak cepat dan mengalami masalah ketika proses menghasilkan ilustrasi kerana ketika itu ilustrator berada di Singapura selain kami hanya dapat berhubung melalui telefon atau e-mel.

“Antara detik yang sukar apabila saya perlu menerangkan kepadanya (ilustrator) mengenai pakaian, wajah dan keadaan sekeliling setiap watak di dalam buku ini hanya melalui telefon serta e-mel. Sukar untuknya menggambarkan apa yang saya mahu,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur walaupun mengalami sedikit masalah, segalanya dapat berjalan dengan lancar sehinggalah terhasilnya buku itu.

“Saya cuba bawakan mesej mengenai keadilan sosial selain kepentingan untuk menjaga hati dan keadilan antara satu sama lain serta membasmi penindasan.

“Elemen itu juga yang sering saya tekankan kepada anak dalam kehidupan seharian mereka,” ujarnya.

Dr Nurliza berkata, buku itu dijual dengan harga RM35.90 dan boleh dibeli di www.thetvb.com.

Dia berharap semua mesej yang cuba disampaikan dalam buku itu dapat difahami setiap pembaca.

“Buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan kepada anak sekali gus ibu bapa dapat menerapkan elemen positif yang perlu dicontohi juga mengelakkan unsur negatif terutama berkaitan penindasan.

“Saya amat gembira kerana berjaya menghasilkan buku sendiri namun yang lebih penting ialah menyampaikan mesej dan nilai murni ini kepada masyarakat,” katanya.

Katanya, dia juga berhasrat menambah koleksi buku hasil penulisannya pada masa akan datang dan menyampaikan mesej sosial yang penting dengan cara berbeza.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 3:17pm
d