hati

Demi kesihatan Nur Eiffa

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Ketabahannya berdepan ujian hidup wajar dicontohi dan dijadikan inspirasi, semangatnya bersama anak tersayang juga sungguh luar biasa. Dia juga berjaya membuktikan dugaan yang datang bukanlah pengakhiran dalam sebuah kehidupan.

Wanita ini pada mulanya juga tidak terkecuali berasa sedih dan hampa. Segalanya seolah-olah sudah gelap.

Dia seakan-akan tidak percaya sebaik saja doktor mengesahkan anak sulung kesayangan menghidap penyakit keradangan usus besar sepanjang hayat yang memerlukan kos rawatan tinggi setiap bulan.

Bukan tidak mahu menerima suratan takdir tapi pasangan suami isteri ini seolah-olah tidak tahu apa perlu dilakukan terutama apabila mengenangkan nasib anak kesayangan mereka itu.

Dugaan yang menimpa tidak mematahkan semangat malah menjadikan keluarga ini terus tekad berusaha memberikan rawatan terbaik buat anak mereka.

Segalanya bermula apabila Nur Eiffa Hazeeqa Mohd Hafiz, 13, disahkan menghidap penyakit keradangan usus besar yang kronik, Oktober tahun lalu.

Detik itu juga membuatkan ibu bapa Nur Eiffa segera memikirkan langkah tepat yang perlu dilakukan bagi menjana pendapatan bulanan khususnya untuk menampung kos perbelanjaan rawatan yang tinggi.

Sharifah Nur Aminah Syed Abd Hamid, 34, berkata, sebagai ibu dia hanya mengharapkan anaknya itu dapat membesar dengan sihat sama seperti kanak-kanak lain.

“Pada mulanya memang kami tergamam dan tidak tahu apa perlu dilakukan kerana pada ketika itu hanya nasib anak yang difikirkan namun saya sedar perlu segera bangkit daripada kesedihan demi Nur Eiffa.

“Ketika diterangkan doktor mengenai penyakit ini, saya dan suami tergamam dan bingung. Pastinya kami bimbang terutama apabila mengenangkan usianya yang masih terlalu muda untuk menerima ujian sehebat itu,” katanya.

Menurutnya, mengikut penerangan doktor, penyakit itu boleh mengganggu sistem ketahanan badan, menjejaskan sendi dan membuatkan paras hormon turun naik, malah pada masa sama, anaknya juga kerap membuang air besar.

“Rawatan permulaan adalah dengan pengambilan susu khas selama tiga bulan yang pada awalnya berjaya.

“Kos rawatan kami perlu sediakan kini adalah kira-kira RM2,000 sebulan sebelum memulakan kaedah rawatan khas yang menelan kos RM60,000 untuk tempoh setahun termasuk ubatan dan rawatan.

“Disebabkan kos rawatan diperlukan amat tinggi, saya dan suami berusaha mencari idea dan jalan menjana pendapatan bulanan kami khusus untuk kesihatan Nur Eiffa,” ujarnya.

Berusaha demi anak

Tanggungjawab dan komitmen sebagai seorang ibu yang perlu sentiasa berada di sisi anak tersayang menyebabkan Sharifah Nur Aminah mengambil tindakan meletakkan jawatannya.

“Saya terpaksa berhenti kerja memandangkan Nur Eiffa kerap sakit dan keluar masuk wad. Walaupun datuk dan neneknya selalu berada di samping Nur Eiffa, ada beberapa perkara memerlukan penjagaan seorang ibu.

“Ketika itu keadaan menjadi semakin sukar kerana kami sekeluarga hilang sumber pendapatan dan hanya mengharapkan pendapatan bulanan suami untuk menampung kos rawatan anak, perbelanjaan keluarga serta dua lagi anak kami,” katanya.

Menurutnya, sinar harapan muncul apabila abangnya membantu dia sekeluarga dengan memberikan modal untuk memulakan perniagaan.

“Lantas bermulalah perniagaan About Umi & Baby yang juga kedai penyusuan, ibu dan anak di Seksyen U5 Shah Alam yang berhampiran dengan kediaman kami dan pada masa sama, suami masih bekerja sebagai pereka grafik.

“Walaupun bukan mudah, syukur kerana hasil keuntungan perniagaan ini kami gunakan untuk menampung kos rawatan Nur Eiffa. Bahkan saya juga aktif dalam pelbagai perniagaan dalam talian selain menjalankan kelas penyusuan serta kekeluargaan,” ujarnya.

Katanya, dia melakukan apa saja perniagaan yang boleh membantunya sekeluarga untuk menambah pendapatan bagi membiayai rawatan anak sulung.

“Perniagaan dijalankan kini diuruskan sepenuhnya kami sekeluarga tanpa mengupah pekerja memandangkan ia antara jalan untuk mengurangkan kos perbelanjaan.

“Saya tidak kisah penat asalkan dapat menjana pendapatan kerana kami sekeluarga memerlukan jumlah perbelanjaan yang besar saban hari,” katanya.

Sharifah Nur Aminah berkata, selain penyakit radang usus, Nur Eiffa turut mengalami masalah jantung berlubang sejak dilahirkan.

“Dia juga menghidap penyakit kerosakan paru-paru kekal dan perlu memakai alat khas untuk memastikan oksigen dapat masuk secukupnya ketika tidur selain bergantung kepada ubat makan dan pam inhaler steroid setiap hari.

“Anak saya juga masih dipantau tiga pakar dari Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Serdang sehingga kini,” ujarnya.

Katanya, kos rawatan juga semakin meningkat apabila anaknya perlu mengambil dua suntikan dalam sebulan.

“Jika dulu kos untuk sekali suntikan adalah RM1,800 namun bermula Julai lalu caj satu suntikan kini mencecah RM2,500 yang menyebabkan kos rawatan keseluruhan semakin meningkat.

“Saya akui memang berat untuk tempuh semua dugaan ini namun demi anak saya rela lakukan apa saja asalkan dia terus sihat,” katanya.

Perlu terus kuat

Walaupun menghidap penyakit kronik, Nur Eiffa yang kini memasuki sekolah menengah adalah kanak-kanak yang ceria dan mudah mesra.

“Saya sangat bersyukur kerana dia dikelilingi individu yang positif dan menyayanginya sejak kecil terutama datuk serta neneknya.

“Guru, rakan sekolah dan seluruh ahli keluarga memberi sokongan sepenuhnya kepada Nur Eiffa untuk sentiasa kuat mengharungi dugaan ini.

“Kami sering berusaha mengalih kesakitan ditanggungnya dengan memberikan semangat dan keyakinan bahawa dia juga mampu sihat seperti individu lain,” katanya.

Menurutnya, dalam situasi kini, dia bersama suami perlu sentiasa kuat dan berusaha membantu Nur Eiffa melawan penyakitnya.

“Sebagai ibu, saya tidak boleh lemah kerana kekuatan anak bergantung juga kepada saya dan ia menjadi perangsang untuk berusaha sebaik mungkin dalam mencari dana bagi menampung kos rawatannya.

“Saya juga amat bersyukur dan mengucapkan ribuan penghargaan kepada banyak pihak yang bersama-sama membantu kami sekeluarga menambah dana perubatan Nur Eiffa terutama kenalan terdekat,” ujarnya.

Katanya, semua yang dilakukan adalah demi Nur Eiffa dan dia amat mengharapkan anaknya dapat menjalani semua rawatan diperlukan dan hidup sihat seperti insan lain.

“Syukur, rawatan yang sedang diikuti anak saya kini serasi dengannya. Walaupun masih dihambat isu kos rawatan tetapi kami akan terus berusaha dan mengharapkan sokongan semua individu bagi memastikan kami sekeluarga terus kuat berdepan dugaan ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 1, 2018 @ 3:40pm
d