hati

Kotak barangan demi golongan daif

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur mengambil inisiatif melancarkan projek ‘The Give Box’ bagi mengumpul barangan untuk diberikan kepada golongan tidak bernasib baik.

Projek itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel terbabit yang sememangnya aktif dalam memberikan sumbangan kepada golongan berkenaan.

Pengurus Besar Hotel Seri Pacific Mohd Rashid Gallyot berkata, projek itu menggalakkan orang ramai memberi sumbangan lebih banyak berbanding kebiasaannya berupa barangan makanan.

“Kotak ‘The Give Box’ setinggi kira-kira satu meter dan lebar 0.6 meter diperbuat menggunakan kayu lapis dan kepingan akrilik oleh kumpulan kejuruteraan hotel ini.

“Kotak ini disumbangkan kepada Rumah Amal Kanak-Kanak Praise Emmanuel di Petaling Jaya.

“Rumah itu dihuni oleh kanak-kanak lelaki berusia lapan hingga 14 tahun,” katanya. Turut hadir, Pengarah Komunikasi Pemasaran Chan Lai San.

Beliau berkata, rumah amal itu turut memberikan senarai barangan diperlukan kepada pihak hotel seperti pakaian, barangan mandian dan peralatan sukan seperti raket badminton, bulu tangkis serta bola selain barang dapur.

Sempena pelancaran kempen berkenaan, pihak hotel menjemput kanak-kanak dan pengurusan rumah amal terbabit hadir ke majlis makan malam sempena perayaan Krismas.

“Kami amat berbesar hati apabila dapat melihat senyuman terukir pada wajah kanak-kanak kerana mereka gembira diraikan seperti itu,” katanya.

Mohd Rashid berkata, selain projek ‘The Give Box’, pihak hotel turut memulakan Kempen Mengumpul Dana selama tiga bulan dengan menjual anak patung beruang kecil berharga RM15.

“Hasil jualan akan diberikan kepada anak yatim terpilih yang dikenal pasti pihak hotel. Kempen ini berjalan sehingga 28 Februari tahun depan dan orang ramai dipelawa untuk menyertainya,” katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 2:42pm
d