hati

Kerjasama didik generasi lebih sihat

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Bakteria yang wujud di sekeliling kita menjadi kebimbangan terutama apabila ia berupaya menggugat pertumbuhan dan perkembangan kesihatan kanak-kanak.

Mendidik kanak-kanak mengenai kepentingan kebersihan adalah langkah terbaik bagi mengelakkan penularan penyakit melalui jangkitan. Menerusi pembelajaran dan mengingatkan mengenai prinsip kebersihan yang betul mampu membantu mengekalkan kesihatan mereka.

Dalam amalan kebersihan peribadi, mencuci tangan dengan kerap sangat penting buat kanak-kanak. Mereka yang bersekolah lebih banyak meluangkan masa di luar rumah dan tidak berada di bawah pengawasan ibu bapa. Mereka melakukan banyak aktiviti dan berinteraksi bersama ramai orang dalam pelbagai persekitaran.

Kesedaran mengenai amalan penjagaan kebersihan tangan yang betul penting bagi mengelak jangkitan penyakit dalam kalangan kanak-kanak seperti influenza serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Menyedari kepentingan menjaga kebersihan tangan, Mundipharma Pharmaceuticals bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi projek Healthy Hands bekerjasama untuk mendidik kanak-kanak Tadika Islam MAIWP Sulaimaniyyah, Precint 18, Putrajaya, baru-baru ini.

Mundipharma dan USIM berharap melalui kajian itu, mereka dapat mengetahui bagaimana amalan penjagaan kebersihan tangan boleh mempengaruhi kadar ketidakhadiran dalam kalangan kanak-kanak.

Pensyarah Kanan Perubatan dan Ahli Mikrobiologi Klinikal Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, kajian itu membabitkan tiga fasa bermula fasa pertama yang dilaksanakan pada awal September, dengan praujian apabila tahap pengetahuan penjagaan kebersihan tangan murid tadika itu ditentukan.

Beliau yang juga penyelidik utama bersama pasukannya terdiri daripada lima rakan penyelidik melakukan kajian mengenai kaitan antara kadar ketidakhadiran dan penjagaan kebersihan tangan.

Dr Nurul yang melakukan kajian kawalan jangkitan dalam komuniti sejak dua tahun lalu berkata, mereka menggunakan gambar dalam soalan agar kaji selidik berkenaan adalah mesra kanak-kanak dan mudah dijawab.

“Kami menjangkakan kadar kesedaran terhadap kebersihan tangan akan meningkat, manakala kadar ketidakhadiran dalam kalangan kanak-kanak prasekolah akibat jangkitan biasa seperti HFMD, keracunan makanan, demam dan selesema pula menurun.

“Apa yang berlaku menerusi projek Healthy Hands adalah permulaan kepada fasa kedua, iaitu fasa intervensi. Selepas data dikumpulkan selama dua bulan, kajian ini akan bergerak ke fasa ketiga iaitu pasca ujian.

“Murid tadika ini akan disoal dengan soalan yang sama seperti fasa pertama. Semasa fasa kedua, kadar ketidakhadiran kanak-kanak akibat HFMD, gastroenteritis akut dan influenza akan direkodkan.

“Sebuah lagi tadika di Cheras yang turut terbabit dengan projek ini dijadikan sebagai kumpulan kawalan dan hanya akan menjalani praujian dan kadar ketidakhadirannya direkodkan sebagai asas perbandingan terhadap tadika di Putrajaya,” katanya.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan Universiti Putra Malaysia serta Pakar Kawalan Jangkitan, Dr Tengku Zetty Maztura, yang juga seorang ahli pasukan penyelidik berkata, penjagaan kebersihan tangan akan mudah diamalkan sekiranya ia diajar pada usia yang muda.

“Sebab itu kami melakukan kajian ini dalam kalangan kanak-kanak kerana kami mahu menjadikannya sebagai amalan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu Hal Ehwal Perubatan Mundipharma Pharmaceuticals Sdn Bhd Dr Ravindra Ramesh Deore berkata, kerjasama itu adalah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan kedua-dua pihak mempunyai objektif yang sama dalam melaksanakan kajian itu kerana ia selari dengan komitmen syarikat untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

Menurutnya, selain mengurangkan kadar ketidakhadiran akibat penyakit, projek itu turut menitikberatkan perlindungan terhadap penyakit berjangkit seperti HFMD dan influenza.

Ini kerana, katanya, jumlah kes HFMD antara Januari hingga Ogos 2016 meningkat kepada lebih 23,000 kes dan syarikat itu sentiasa menyokong penyelidikan berpotensi yang boleh dinilai dari segi merit saintifik dan ia selari dengan komitmen syarikat.

“Kami akan terus membiayai penyelidikan ini dan menantikan fasa seterusnya. Kami sentiasa menyokong inisiatif pendidikan yang dapat memberi nilai tambah terhadap amalan penjagaan kesihatan di Malaysia, terutama membabitkan kanak-kanak kerana kami mahu memupuk generasi yang lebih sihat,” katanya.

11 langkah penting

Sebelum ini, pasukan di sebalik jenama Betadine di Mundipharma berjaya mendidik lebih 2,000 kanak-kanak membabitkan 30 tadika swasta di sekitar Lembah Klang mengenai kepentingan amalan penjagaan kebersihan tangan, sebagai tambahan kepada cara mencuci tangan yang betul.

Pasukan itu turut merancang mengembangkan inisiatif berkenaan ke daerah lain, sebagai sebahagian daripada usaha membatu masyarakat mengenal pasti simptom awal HFMD serta influenza dan cara mencegahnya.

Menerusi projek Healthy Hands, 300 murid berusia antara lima hingga enam tahun menyertai hari intervensi projek itu dengan aktiviti pertama iaitu menonton video yang mengajar kanak-kanak mengenai 11 langkah penting ketika mencuci tangan menggunakan kesan visual yang menarik, animasi serta nyanyian.

Untuk menunjukkan teknik mencuci tangan yang berkesan, kanak-kanak diminta menggosok tangan mereka dengan menggunakan alat simulasi kuman Glo Germ bagi memberi secara visual kuman yang hanya kelihatan di bawah lampu UV.

Kanak-kanak berkenaan kemudian diminta melihat tangan menggunakan Glo Germ untuk memeriksa kuman pada tangan mereka.

Selepas itu, mereka diajar langkah yang betul untuk mencuci tangan dengan menggunakan air dan Pembersih Kulit Antiseptik Betadine sebelum tangan mereka diperiksa di bawah lampu UV sekali lagi.

Guru tadika turut diajar cara mencuci tangan yang betul bagi membimbing kanak-kanak sekiranya mereka memerlukan bantuan untuk mengingatinya semula.

Selain itu, mereka juga boleh mengingati semula langkah berkenaan dengan menggunakan aplikasi peranti mudah alih yang dicipta khas oleh Mundipharma. Aplikasi itu dimuat turun ke dalam tablet yang dipasangkan pada dinding berdekatan sinki bilik air.

Ia akan menayangkan gambar mengenai langkah mencuci tangan yang betul berserta lagu menarik sebagai panduan untuk kanak-kanak.

Setiap kanak-kanak yang berjaya mengikuti langkah mencuci tangan dengan betul akan diberikan bintang sebagai ganjaran dan markah berdasarkan jumlah langkah yang dilakukan dengan tepat.

Aplikasi berkenaan juga boleh mengenal pasti langkah mencuci tangan mana yang sering ditinggalkan oleh kanak-kanak dan melaksanakan pengukuhan pendidikan kebersihan tangan.

Data daripada aplikasi berkenaan akan dikumpul dan digunakan oleh pengkaji bagi membuat penambahbaikan ke atas metodologi atau bahagian pengajaran yang khusus.

Selain menggunakan aplikasi, poster yang mempunyai maklumat bergambar mengenai penyakit berjangkit biasa seperti HFMD dan influenza turut digunakan bagi meningkatkan kesedaran penjagaan kebersihan tangan, bila dan bagaimana mencuci tangan dengan betul turut digantung di tempat terbuka.

Poster berkenaan memaparkan maklumat bergambar seperti 11 langkah mencuci tangan, bilakah mereka perlu mencuci tangan selain fakta mengenai penyakit HFMD dan influenza.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 1:24pm
d