hati

Menepis dakyah antivaksin

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Keraguan sama ada vaksin halal atau tidak membawa kepada penentangan dalam kalangan segelintir anggota masyarakat hingga wujud gerakan antivaksin yang semakin menular dan kian lantang memberikan hujah dangkal berkaitan amalan pemvaksinan di negara ini.

Kewujudan golongan ini nyata bertentangan dengan sains dan perubatan malah lebih membimbangkan apabila gerakan ini giat menyampaikan dakyah dan teori tanpa memikirkan kesan buruk kepada manusia menerusi laman sesawang dan jaringan media sosial.

Cetusan ideologi baru ini pastinya menjadi kebimbangan kepada pengamal perubatan kerana ia secara tidak langsung meningkatkan risiko kepada kesihatan manusia sejagat.

Gerakan antivaksin ini bukan saja giat menyampaikan doktrin dan maklumat tidak tepat mengenai vaksin malah ada menggunakan status halal sesuatu vaksin yang dikatakan mengandungi DNA babi untuk meyakinkan orang ramai.

Terbaru, vaksin untuk pengendali makanan bagi mencegah jangkitan kuman kepialu (Salmonella thypi) menerusi suntikan (thypim) atau pil (vivotif) turut menjadi mangsa penyebaran maklumat di media sosial kononnya ia mengandungi DNA babi.

Pakar Perubatan Keluarga KKM Dr Suhazeli Abdullah menegaskan, vaksin kepialu (tifoid) sama ada menerusi kaedah suntikan atau pil, bebas daripada DNA khinzir dan selamat digunakan manakala kapsul gelatin bagi vaksin pil vivotif pula adalah bersumberkan lembu bukannya babi.

Menurutnya, statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati pada 2014 sebanyak 21 juta kes kepialu berlaku di seluruh dunia dengan lebih 222,000 kematian dan jika seseorang dijangkiti, risiko maut mencecah 10 ke 30 peratus.

“Kenapa vaksin ini penting? Adakah hendak kayakan syarikat vaksin seperti yang sering dilaungkan gerakan antivaksin? Jawapannya tidak sama sekali. Penyakit bawaan makanan dan minuman amat kerap berlaku.

“Ia boleh mendatangkan kesengsaraan kepada pesakit malah mungkin membawa maut. Demam kepialu adalah penyakit bawaan makanan dan minuman yang paling ditakuti.

“Setakat ini kes kepialu di negara kita masih terkawal hasil daripada vaksinasi yang diwajibkan mengikut peruntukan undang-undang. Namun, sebelum era vaksin, negara kita bergelut dengan penularan kes dan kematian.

“Demam kepialu bukannya penyakit baru dalam dunia. Ia sudah wujud sejak sekitar ke 430-424 Sebelum Masihi. Pada masa itu demam kepialu mengorbankan hampir satu pertiga penduduk Athens termasuk pemimpin mereka iaitu Pericles.

“Ahli sejarah kuno Thucydides juga tidak terkecuali dijangkiti namun dia terselamat daripada penyakit itu dan menulis mengenainya.

“Pada 1897, Edward Wright Almorth menemui vaksin yang berkesan dalam menangani penyakit ini. Pada 1909 pula, Frederick F Russell, seorang doktor tentera Amerika Syarikat membangunkan vaksin tifoid dan selepas dua tahun program suntikan vaksin antitifoid menjadi pertama apabila suntikan itu diberikan kepada semua anggota tentera Amerika Syarikat. Ini satu kejayaan yang menjadi titik tolak kepada sejarah perubatan pencegahan dalam masyarakat,” katanya.

Dr Suhazeli berkata, kewujudan gerakan antivaksin sejak kebelakangan ini yang giat menyebarkan maklumat tidak tepat menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengamal perubatan.

Katanya, menerusi laman sosial, mereka cuba berlagak pandai namun tidak sedar boleh merosakkan masyarakat yang ingin tahu apatah lagi golongan yang juga anti kepada perubatan moden dan antihospital ini bukan mahir dalam sesuatu persoalan yang dikemukakan.

“Tinjauan ringkas kami mendapati pengambilan vaksin dalam bentuk pil tidak dipatuhi pengendali makanan. Mereka tidak mengambilnya malah tiada pemantauan khusus diberikan. Lebih mendukacitakan, apabila segelintir pengendali makanan ini termakan hasutan golongan antivaksin.

“Maklumat yang diberikan tidak benar dan menakut-nakutkan masyarakat berkaitan perubatan moden. Mereka hanya mementingkan diri sendiri tanpa melihat kepunahan yang akan berlaku jika wabak kepialu merebak,” katanya.

Vaksin untuk pengendali makanan

Negara kita menyediakan kedua-dua kaedah sama ada suntikan atau pil. Mana-mana pengendali makanan dikehendaki mendapatkan pemeriksaan kesihatan di klinik swasta yang terpilih, kemudian vaksin akan diberikan sebelum kelulusan menjalankan aktiviti penyediaan makanan oleh pihak berkuasa majlis tempatan.

Vaksin kepialu (Tifoid) terdiri dari dua kaedah. Iaitu melalui pil dan suntikan.

1. Vaksin tifoid pil:

• Vaksin diberikan dalam bentuk kapsul. Diberikan tiga kapsul yang dimakan pada hari ke pertama, ketiga dan kelima

• Vaksin diberikan kepada individu yang berumur lebih enam tahun ke atas

• Imunisasi diberikan setiap tiga tahun bagi pengendali makanan

2. Vaksin tifoid suntikan:

• Vaksin disuntikkan di lengan atau paha

• Vaksin diberikan kepada individu yang berumur lebih dua tahun ke atas.

• Imunisasi diberikan setiap tiga tahun bagi pengendali makanan.

Pemberian vaksin ini tertakluk kepada Akta Makanan dan Akta Penyakit Berjangkit dan semua pengendali makanan di Malaysia wajib patuh kepada Akta Makanan 1983 (Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009) dan Akta Kawalan Penyakit 1988.

Akta ini memperuntukkan kepada setiap pengendali makanan di semua premis yang membabitkan orang awam menjalani pemeriksaan kesihatan serta suntikan wajib vaksin.

Klausa 31 menyebut:

1. Semua pengendali makanan hendaklah diperiksa dari segi kesihatan dan diberi vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar.

2. Mana-mana pengendali makanan yang menghidap, atau pembawa penyakit bawaan makanan atau yang disyaki menghidap, atau merupakan pembawa penyakit bawaan makanan hendaklah

(a) Tidak dibenarkan untuk memasuki premis makanan atau mengendalikan makanan;

(b) Melaporkan dengan segera kepada pihak pengurusan premis makanan berkenaan dengan keadaan kesihatannya; dan

(c) Digantung daripada bekerja di premis makanan sehingga dia disahkan sembuh daripada penyakit dan sihat dari segi perubatan untuk bekerja oleh pengamal perubatan berdaftar sebelum dia dibenarkan memasuki premis makanan itu atau mengendalikan makanan.

3. Mana-mana pengendali makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) atau (2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Disiarkan pada: January 4, 2018 @ 1:50pm
d