hati

Beri peluang anak suara pendapat

Oleh Susunan Intan Mas Ayu Shahimi

Pertelingkahan antara adik-beradik adalah perkara biasa yang tidak dapat dielakkan. Kalau diperhatikan, tiada orang yang tidak bergaduh dengan adik-beradik ketika kecil hanya kerana perkara remeh-temeh seperti berebut barang mainan.

Namun pergaduhan itulah yang sebenarnya merapatkan hubungan kekeluargaan kerana kita diajar untuk bertolak ansur, memahami keperibadian ahli keluarga dan belajar mengawal pertuturan ketika marah.

Bahkan, kerana pertelingkahan itu terbukalah ruang perbincangan antara ibu bapa dan anak untuk menghormati hak orang lain dan peluang si kecil meluahkan ketidakpuasan hatinya supaya boleh dicari jalan penyelesaian terbaik.

Pertelingkahan dalam keluarga ini juga boleh berlaku dalam kalangan orang dewasa dan biasanya ia mengambil masa yang lebih lama untuk berbaik semula apatah lagi jika ada campur tangan pihak ketiga.

Jika keluarga anda tidak pernah bertengkar, ini bermakna anda cuba menutup mata terhadap isu yang menimbulkan masalah dalam keluarga. Akibatnya, isu berkenaan akan berterusan kerana tiada siapa yang mahu namanya menjadi buruk kerana mengutarakannya.

Sebenarnya untuk menjadi individu dewasa yang produktif, kanak-kanak perlu diberi peluang menyuarakan pendapat mereka, walaupun ia bertentangan dengan pandangan anda. Tindakan anda mendengar pendapat anak akan membuatkan dia berasa dihargai.

Jadi, jangan terlalu bimbang jika anak-anak bergaduh kerana berebutkan barang mainan atau gajet. Anda perlu melihatnya dari sudut positif kerana inilah masanya untuk anda menyemai sedikit demi sedikit nilai murni dalam diri mereka.

Bagaimana pula jika anak sering melawan dan mempertikaikan kata-kata anda? Tentu sakit hati! Jangan cepat menghukum mereka kerana kehidupan dan pendidikan anak zaman milenium ini berbeza dengan kita.

Kurangkan impak negatif pertengkaran

Pertengkaran memang tidak dapat dielakkan tetapi ada banyak cara untuk meminimumkan kesan negatifnya. Akademi Paediatrik Amerika memberikan beberapa panduan untuk kita sebagai ibu bapa pertimbangkan.

1. Pilih isu

Anda perlu bersikap selektif dalam memilih isu yang diperdebatkan. Apabila timbul masalah, anda harus bijak untuk melihat sama ada ia benar-benar berbaloi untuk bertelingkah. Contohnya si anak mahu pakai baju biru, sedangkan pada mata anda, baju merah lebih menyerlah. Jika hal remeh seperti ini, lebih baik anda mengalah.

2. Bersikap terbuka

Sesekali, beri peluang untuk anak anda menang. Apabila berlakunya percanggahan pendapat, anda bukan sekadar perlu mendengar pandangan yang diutarakan. Beritahu kesediaan anda untuk mendengar dan beri ruang untuk dia meyakinkan anda dengan setiap hujahnya.

3. Sempadan alasan

Selagi alasan diberi masih dalam sempadan tertentu, cuba terima apa yang cuba diperkatakan. Beri anak ruang untuk menzahirkan setiap pendapat dan alasan yang dirasakan betul dan jangan sesekali mentertawakannya.

Jika anda tidak suka dengan hasil penulisan anak, buka ruang perbincangan untuk dia memperbaiki kesilapan yang dilakukan. Begitupun, anda perlu ingat bahawa gurunya yang wajar menghakimi hasil tugasan dilakukan. Sekiranya perdebatan anda berdua mula menyentuh isu peribadi, cuba ajak anak bertenang. Katakan padanya anda berdua akan kembali berbincang apabila keadaan kembali sejuk.

Sesetengah ibu bapa suka menangani situasi dengan meminta anak menyenaraikan lima fakta untuk menyokong pendapat mereka dan mengajak mereka kembali menegakkan pendapat selepas tempoh tertentu. Ada baiknya jika mengajar anak menghormati ruang waktu ketika masing-masing mengutarakan pendapat.

4. Konflik berulang

Jika konflik dalam sesuatu isu terus berulang dari semasa ke semasa, lihat kembali puncanya. Ambil masa untuk berfikir mengapa anda dan anak terus bertelingkah mengenai perkara terbabit dan cari jalan penyelesaian sesuai.

5. Rakan subahat

Sesetengah keluarga cenderung mengaitkan orang tengah dalam perbalahan. Tetapi perlu diingatkan bahawa ada kemungkinan pihak satu lagi bersikap berat sebelah dan akhirnya memburukkan lagi keadaan.

6. Kanak-kanak belajar dari pemerhatian

Usah lupa bahawa kanak-kanak cenderung menangani perselisihan mengikut apa yang dilihat dalam hubungan ibu bapa. Perhatikan kembali, bagaimana anda dan pasangan menangani rasa tidak puas hati. Adakah anda berjaya kembali tenang dengan mencapai kata sepakat atau berterusan dalam keadaan marah? Ingat, anak adalah cermin ibu bapa. Jika dia menunjukkan perlakuan yang kurang menyenangkan, sebenarnya dia meniru tingkah laku kita!

Disiarkan pada: January 5, 2018 @ 10:44am
d