hati

Jahit 3 telekung sehari

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Keselesaan ketika beribadat menjadi keutamaan yang dititikberatkan setiap Muslimah bagi memastikan solat dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Tidak hanya pada busana, kasut atau tudung, pemilihan telekung yang tepat dan selesa memainkan peranan penting kepada setiap Muslimah dalam menunaikan tanggungjawab harian di rumah mahupun di luar.

Telekung yang disarung bukan saja perlu dijahit kemas malah memberikan keselesaan kepada pemakai sepanjang mengerjakan solat.

Menitikberatkan aspek kekemasan pada setiap koleksi telekung yang dijahitnya sendiri, pengasas jenama ColorfulReben, Noor Sinaran Chaya Dolkefflee berusaha menghasilkan koleksi telekung terbaik untuk setiap pelanggannya.

Menurut Noor Sinaran Chaya, setiap koleksi telekung adalah hasil jahitannya sendiri dan pelanggan juga boleh menempah telekung mengikut ukuran masing-masing.

“Setiap koleksi telekung dijahit dengan penuh ketelitian bagi menjamin kekemasan dan keselesaan ketika ia dipakai.

“Untuk tempahan pula, saya akan menerimanya mengikut masa yang sesuai. Biasanya saya akan menjahit tiga helai telekung dalam sehari,” katanya.

Menurutnya, selain telekung bersaiz dewasa, dia juga menjahit dan menjual telekung bersaiz kanak-kanak.

“Terdapat lapan saiz telekung yang dijual di ColorfulReben iaitu, XS (setahun hingga dua tahun), S (dua hingga empat tahun), M (empat hingga enam tahun), L (enam hingga lapan tahun), XL (lapan hingga 10 tahun), XXL (10 hingga 12 tahun) dan dewasa XS (12 hingga 15 tahun) serta saiz dewasa.

“Selain itu, terdapat juga koleksi mini telekung untuk digunakan wanita yang mengerjakan ibadat umrah atau haji,” ujarnya.

Katanya, keistimewaan koleksi telekungnya adalah pada keselesaan kerana semua dijahit mengikut saiz dan usia.

“Saya menggunakan fabrik berkualiti yang memberi kesan sejuk ketika dipakai terutama kepada kanak-kanak.

“Dengan memfokuskan kemasan yang sempurna dalam setiap jahitan, telekung ini ditawarkan pada harga yang berpatutan iaitu bermula dari RM60 sehingga RM120 mengikut saiz pilihan,” katanya.

Disiarkan pada: January 6, 2018 @ 9:39am
d