hati

Larian tingkat kesedaran isu obesiti

Oleh HM Digital

Herbalife Nutrition, syarikat nutrisi global memulakan acara Hari Nutrisi Tahunan yang keempat dengan mengumpul lebih 2,000 peserta terdiri daripada semua ahli, tetamu dan orang awam untuk bersama-sama mengeluarkan peluh melalui program larian ceria sejauh lima kilometer di Avenue K di Kuala Lumpur.

Larian ceria yang diberi nama Fun Run 5KM itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat berkenaan bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu obesiti yang sedang melanda negara.

Dalam masa sama, peluang itu turut dimanfaatkan untuk menunjukkan kepada warga Malaysia bahawa mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif bukan saja penting untuk menjaga kesihatan, tetapi ia juga boleh menjadi aktiviti menyeronokkan yang boleh dilaksanakan bersama teman dan ahli keluarga.

Pengurus Besar Sub-Wilayah Herbalife Malaysia & Singapura Sridhar Rajagopalan berkata, peningkatan kadar obesiti di Malaysia yang semakin membimbangkan sejak beberapa tahun lalu mendorong pihaknya menjalankan usaha bagi membendung masalah ini kerana obesiti boleh mengakibatkan pelbagai kesan negatif jangka panjang termasuk sindrom metabolik, diabetes dan tekanan darah tinggi.

“Melalui aktiviti larian ini, kami berharap dapat menggalakkan semua golongan untuk mula mengamalkan tabiat pemakanan yang lebih sihat dan menjadikan gaya hidup sihat dan aktif sebagai agenda penting setiap keluarga.

“Menurut laporan Menangani Obesiti di ASEAN oleh Economist Intelligence Unit, pada tahun ini kadar obesiti dalam kalangan warga Malaysia mencecah 13.3 peratus, manakala berat badan berlebihan adalah pada kadar 38.5 peratus dan keadaan ini amat membimbangkan,” katanya.

Tambahnya, sebagai menyokong gaya hidup yang aktif dan sihat, pihaknya gembira dapat menganjurkan Fun Run 5KM Hari Herbalife Nutrition kerana inilah cara syarikat itu berhubung dengan masyarakat di sekeliling di samping menggalakkan mereka untuk mengambil langkah pertama dalam memerangi obesiti.

Selaras dengan usaha untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, Herbalife Nutrition juga melancarkan pusat kecergasan bagi memastikan kakitangannya diberi kemudahan menjaga kesihatan melalui pemakanan seimbang dan senaman yang teratur.

Disiarkan pada: January 9, 2018 @ 10:25am
d