hati

Waspada apabila kepala bayi terhentak

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Apabila si kecil sudah mula boleh bergerak seperti merangkak, bergolek atau bertatih, ia antara saat paling bahagia buat ibu bapa.

Ia menunjukkan si kecil tersayang melalui proses pembesaran yang normal namun bermula detik itu juga ibu bapa perlu lebih peka dan berhati-hati terutama membabitkan aspek keselamatan.

Terjatuh terutama dari sofa atau katil antara perkara paling kerap terjadi yang menyebabkan ibu bapa berasa runsing kemungkinan si kecil mengalami kecederaan terutama di kepala. Bagi kanak-kanak yang masih kecil dan belum mampu berjalan stabil, kemalangan lebih kerap berlaku di dalam rumah.

Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad berkata, pemeriksaan menyeluruh perlu dilakukan terhadap kecederaan yang mungkin dialami bayi terutama jika dia jatuh dan kepalanya terhentak, sama ada di depan atau belakang.

“Apabila terjatuh bayi mungkin tidak mengalami kecederaan serius kerana mereka mempunyai tulang yang lembut dan tidak mudah patah seperti orang dewasa atau kanak-kanak yang lebih besar.

“Pun begitu, apabila berlaku kemalangan, pemeriksaan perlu dilakukan bagi memastikan bayi tidak mengalami luka serius, patah tulang, kecederaan organ dalaman atau kecederaan kepala yang serius,” katanya.

Menurutnya, jika bayi kelihatan baik dan berkelakuan seperti biasa, berkemungkinan bayi tidak mengalami kecederaan serius.

Namun begitu Dr Zubaidi berkata, pemerhatian perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam. Sebarang kelakuan yang tidak normal terutama apabila bayi jatuh dan kepalanya terhentak, dia perlu dibawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

“Sebarang kecederaan kepala yang hanya membabitkan kulit kepala tidak mendatangkan sebarang kesan jangka panjang. Kecederaan pada kulit kepala yang biasa dikesan adalah luka, lebam dan bengkak atau benjol.

“Jadi bayi yang beberapa kali jatuh dan tidak mengalami kecederaan atau hanya mengalami kecederaan kulit kepala tidaklah perlu dibimbangkan,” ujarnya.

KECEDERAAN LEBIH SERIUS

Menurut Dr Zubaidi, antara kecederaan serius yang mungkin terjadi kepada bayi atau kanak-kanak yang terjatuh adalah gegaran otak.

“Gegaran otak adalah kecederaan pada fungsi otak, bukan pada struktur anatomi otak. Oleh itu, bayi yang mengalami gegaran otak, tidak dapat dikesan melalui ujian sinar-X atau imbasan CT.

“Bayi anda mungkin mengalami rasa pening, tidak memberikan tumpuan pada permainan mereka, mudah lupa, tidak dapat berjalan dengan betul dan seperti hendak jatuh apabila berjalan atau bangun,” katanya.

Beliau berkata, pada asasnya agak sukar untuk mengesan gegaran otak pada bayi berbanding orang dewasa kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dan memberitahu apa yang dirasakan.

“Namun jika ibu bapa melihat bayi tidak ceria atau tidak aktif, berkemungkinan besar bayi itu mengalami gegaran otak atau kecederaan otak yang lebih serius.

“Gegaran otak biasanya berlaku pada kemalangan yang lebih serius seperti hentakan pada kepala atau apabila badan mereka digoncang dengan kuat,” ujarnya.

Tambahnya, gegaran otak yang memberi kesan pada fungsi otak sebenarnya banyak bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami. Kecederaan ini memerlukan masa untuk sembuh dengan sempurna dan ada kalanya memberikan kesan apabila bayi itu semakin membesar.

“Langkah terbaik adalah melalui pencegahan. Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak kecil terutama yang masih tidak boleh berjalan dengan baik diharap perlu lebih peka dan berhati-hati.

“Jangan suka membiarkan anak kecil bermain sendiri tanpa kawalan atau pemantauan kerana ia akan mewujudkan risiko berlakunya kemalangan atau terjatuh,” katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2018 @ 12:25pm
d