hati

Bimbingan mentor lonjak hasil bisnes

Oleh Zaitie Satibi

Individu yang baru menceburi dunia perniagaan disarankan mencari pembimbing atau mentor sendiri kerana ia adalah kaedah yang bijak untuk berjaya dalam perniagaan. Selain membantu usahawan baru mencapai matlamat dalam perniagaan, mereka turut menjadi rujukan termasuk memberi khidmat nasihat dalam urusan perniagaan serta dunia keusahawanan.

Bagi Pengarah Eksekutif Pemasaran Grand Million Bodywork Jason Teo, dia percaya untuk berjaya membina empayar perniagaan sendiri, dia perlu mencari mentor yang bukan saja sanggup berkawan dengannya, malah membimbing dan memberikan khidmat.

Belajar daripada kesilapan lalu, Jason, 27, mengakui perlukan khidmat mentor untuk membimbingnya menjadi usahawan muda dan mengurangkan risiko melakukan kesilapan.

“Selepas tamat belajar di Universiti Tun Abdul Rahman, saya ingin memulakan perniagaan tetapi tiada modal. Jadi saya bekerja dahulu di sektor hartanah selama dua tahun untuk mencari modal dan pengalaman sebelum berani membuka perniagaan perisian komputer.

“Perniagaan dalam talian ini diusahakan bersama seorang rakan, namun saya ditipu hampir RM40,000 oleh rakan terbabit. Pun begitu, saya tidak serik dan menceburi perniagaan import daging lembu tetapi berdepan isu aliran tunai menyebabkan ia juga terpaksa ditutup.

“Walaupun ada ijazah dalam perakaunan, saya akui kurang ilmu keusahawanan menjadikan perniagaan sebelum ini gagal. Kesusahan itu menjadikan saya lebih kuat untuk menempa nama dalam perniagaan,” katanya.

Pemuda berasal dari Shah Alam, Selangor ini menjadikan ahli perniagaan berjaya dalam pelbagai bidang, Datuk Ryzal Jamaludin, yang juga pengasas Wonder Glow Cosmetics Sdn Bhd (Wonder Glow) dari Kluang, Johor, sebagai mentornya.

“Selama setahun saya mengkaji dan mendapatkan maklumat menerusi Internet mengenai usahawan berjaya dalam negara dan mengaguminya yang mampu meraih jualan tinggi hasil jualan produk kesihatan dan kecantikan.

“Saya yakin jika mahu cepat membina kejayaan dalam perniagaan, saya perlu dapatkan bimbingan mentor berpengalaman. Walaupun saya masih boleh merujuk buku atau melayari Internet panduan bidang usahawan, tetapi ia tidak sama dengan mendapat bimbingan secara terus daripada mentor yang terbukti berjaya.

“Saya bersyukur kerana beliau sudi menerima saya sebagai anak didik dan mencurahkan ilmunya. Kini, saya mampu tersenyum apabila produk minuman tambahan, Gracinia Maxx, keluaran sendiri berada di pasaran sejak akhir Disember lalu,” katanya.

Jason berkata, beliau membuat kajian di pasaran untuk mencari perniagaan yang sesuai dan memilih untuk menghasilkan produk untuk membantu mengurangkan masalah berat badan berasaskan buah asam gelugur.

Pengarah Pemasaran Wonder Glow, Shahrulnizam Ahmad Shah, 44, berkata, beliau tidak akan mampu sampai ke tahap sekarang tanpa sokongan dan bantuan majikan sendiri yang membentuk dirinya sebagai usahawan berjaya.

“Sebelum ini saya bekerja makan gaji di syarikat barangan kecantikan antarabangsa. Namun, selepas 15 tahun berkhidmat saya terfikir untuk berhenti kerja dan menjalankan perniagaan sendiri.

“Saya buka kedai di ibu negara dan menjual pelbagai produk kesihatan dan kecantikan. Pendapatan yang diperoleh cukup-cukup makan, namun saya tetap berpuas hati kerana mendapat hasil daripada titik-peluh sendiri dalam bidang ini yang menjadi cita-cita selama ini.

“Pada 2013 saya bertemu rakan lama, (Ryzal) yang ketika itu sudah bergelar usahawan kosmetik. Beliau mempelawa saya menjadi ejen jualannya, malah sanggup mendahulukan produknya tanpa perlu saya mengeluarkan modal,” katanya.

“Langkah saya dalam perniagaan ini semakin panjang apabila Ryzal membuka cawangan di Kuala Lumpur dan ini memudahkan saya mendapatkan produk.

“Saya berusaha keras sehingga produk ini mendapat tempat di hati pelanggan. Susulan itu, beliau menawarkan saya bekerja di bawahnya dan mengendalikan urusan di ibu negara.

“Berbekalkan pengalaman dan galakan Ryzal yang sentiasa memberi semangat dan latihan, saya berupaya memindahkan cawangan di ibu negara dari kedai yang sangat kecil kepada premis lebih besar. Kini, kami mempunyai enam kaunter jualan di pusat beli-belah seluruh negara,” katanya.

BIMBINGAN MENTOR PERNIAGAAN

Bagi Ryzal atau nama sebenarnya Mohd Izal Jamaludin, 41, istilah mentor perniagaan bukanlah baru dan sudah lama dipraktikkan secara tidak langsung dalam lingkungan perniagaan.

Mentor perniagaan adalah pengamal perniagaan berpengalaman yang menurunkan ilmunya kepada pengusaha baru. Ia banyak diamalkan dalam masyarakat kita seperti ibu bapa yang membimbing anaknya.

“Mentor perniagaan memainkan peranan yang cukup penting terhadap kejayaan seorang usahawan. Usahawan muda dapat belajar dan mencontohi pengalaman seorang mentor yang sudah berjaya.

“Semua usahawan yang berjaya mempunyai mentor masing-masing kerana pembimbing ini menjadi rujukan untuk mendapatkan khidmat nasihat dalam urusan perniagaan dan perusahaan mereka.

“Saya sendiri sudah melahirkan ramai usahawan dan ada yang bergelar jutawan. Malah, kakitangan sendiri pun saya gilap hingga bersinar,” katanya.

Katanya, beliau mahu melahirkan lebih ramai jutawan terutama dalam bidang kosmetik dan kecantikan sama ada sebagai rakan strategik atau pun stokis. Malah, beliau mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menyertai skim usahawan Mikro Online Shop yang dibangunkannya dengan kerjasama dengan pasar raya, Mydin.

“Persediaan paling utama adalah ilmu dan ia sangat penting sebelum kita buat pelaburan. Mereka juga perlukan bimbingan guru selain nasihat yang betul daripada orang yang ikhlas hendak membantu.

“Saya berniaga kerana cintakan dalam bidang ini, bukan untuk untung semata-mata. Wang boleh menyebabkan seseorang hilang pedoman dan saya tidak mahu jadi gila kerana wang.

“Perniagaan saya menjadi selepas balik umrah pada 2011. Pada tahun itu, ibu meninggal dunia menyebabkan saya jadi tidak keruan, tidak boleh kerja dan asyik teringat arwah.

“Oleh itu, saya berdoa depan Kaabah supaya dimurahkan rezeki dan diberi kebahagiaan. Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan dan akhirnya saya sedar kadang-kadang yang kita cari tidak jumpa, tetapi bila Allah hendak beri, memang rezeki itu hadir sangat luar biasa,” katanya.

Minat berniaga sudah tertanam sejak kecil, pada usia lapan tahun dia menjaja karipap dan pisang goreng dari rumah ke rumah. Beliau mengambil langkah drastik terbabit dalam perniagaan kosmetik pada 2011 kerana mahu pembaharuan dalam hidupnya yang ketika itu bertugas sebagai guru.

“Saya mengajar rekaan fesyen di Politeknik Sultan Ibrahim, Johor Bahru selama empat tahun mulai 2003. Saya pernah koma 10 hari kerana dirompak dan ditikam pada 2006. Setahun saya trauma dan mengambil keputusan pulang ke kampung di Kluang, mengajar geografi dan seni lukis di sekolah menengah.

“Ketika di politeknik, saya sudah mula berniaga dengan menyediakan khidmat perunding acara seperti pertunjukan fesyen yang berkaitan dengan kepakaran saya dan membuka butik selepas kembali ke Kluang.

“Saya nekad letak jawatan selepas melihat guru senior yang sudah tua masih lagi naik tangga untuk mengajar,” katanya.

Berbekalkan RM5,000, Ryzal mulakan perniagaan dengan produk pembungkusan semula. Ryzal juga tidak meletak keuntungan pada hierarki yang tinggi. Dia bimbang akan kecewa jika gagal. Kerana tidak mahu rugi, dia merangka perniagaan yang ada organisasi.

“Bukan setakat jual beli barang, saya terap seni dalam pemasaran dan pengurusan. Produk saya diperagakan dengan seni agar beri impak luar biasa kepada orang ramai.

“Selain memiliki strategi pemasaran yang bagus, usahawan juga perlukan kestabilan dan ia perlu digarap dengan ilmu. Orang Melayu kurang ilmu perniagaan berbanding kaum lain. Jadi kena banyak belajar dari segi pengurusan, kewangan dan perancangan.

“Saya pun bukannya hebat, tetapi sentiasa belajar benda baru setiap hari, jadi pemerhati apa yang usahawan lain buat. Apa yang penting, perniagaan dijalankan perlu bersistem dan pengusaha tidak boleh hendak buat semua kerja kerana setiap bahagian ada rezeki orang lain,” katanya.

Disiarkan pada: January 15, 2018 @ 2:30pm
d