hati

Bukan pengalaman mudah

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Antara soalan pertama tatkala menerima berita kelahiran seorang bayi ialah jantina dan berat badannya. Selalunya berita kelahiran bayi dengan berat badan melebihi empat kilogram disambut dengan ketawa berganda gembira dan lucu. Boleh dibayangkan kesukaran si ibu untuk melahirkan si comel yang ‘besar’!

Berat bayi yang normal (dan dilahirkan pada usia kandungan 37 hingga 40 minggu) adalah di bawah empat kilogram. Bagaimanapun, bukanlah bermakna bayi besar itu tidak bagus, cuma si ibu mungkin menghadapi beberapa kesukaran dan risiko ketika proses kelahiran.

Malah ibu dan bayi turut berdepan situasi bahaya selain beberapa kesan jangka panjang ke atas bayi yang dilahirkan dengan berat badan melebihi empat kilogram itu.

Atas faktor itu, setiap wanita yang hamil perlu memantau perkembangan saiz dan berat janin sepanjang kehamilan bagi memastikan langkah tepat dapat dilakukan sekiranya mengesan sebarang kemungkinan.

Tidak semua kelahiran yang melebihi empat kilogram itu bakal mengalami masalah. Namun sebagai langkah berjaga-jaga, setiap wanita perlu mendapatkan pemeriksaan dan pemantauan rapi berkaitan tahap kesihatan serta perkembangan bayi itu sebelum dan selepas kelahiran.

Menurut Hafizati Aziz, pengalaman mengandung dan melahirkan anak pertamanya Hud Anaqi Mohd Ismail Hafiz yang kini berusia 10 bulan adalah pengalaman tidak dapat dilupakan.

“Anak saya dilahirkan dengan berat 4.02kg dan panjang 57 sentimeter secara normal ketika kandungan mencecah 40 minggu. Saiz itu hampir menyamai bayi yang sudah berusia sebulan. Ternyata ia bukanlah pengalaman mudah untuk melahirkan bayi dalam saiz itu namun saya bersyukur kerana berjaya melaluinya.

“Memang agak terkejut dengan saiz Hud Anaqi kerana sepanjang pemeriksaan rutin kandungan setiap bulan, saiz anak tidaklah besar dan dua hari sebelum dilahirkan saya turut menjalani pemeriksaan namun beratnya hanya 3.2kg. Entah bila dia membesar sehingga jadi begitu,” katanya sambil ketawa.

Dalam soal makan, Hafizati mengakui seleranya sentiasa terbuka sepanjang kehamilan. Semuanya nampak sedap dan ingin dicuba. Jadi tidak hairanlah berat badannya naik mendadak sehingga melebihi berat yang sepatutnya.

“Disebabkan berat badan naik mendadak, saya perlu menjalani pemeriksaan rutin dua minggu sekali namun syukur saya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan sepanjang kehamilan.

“Bayi dalam kandungan juga membesar secara normal mengikut graf perkembangannya dan saya hanya mengambil Obimin yang diberikan klinik kesihatan selain mengamalkan minum susu kambing setiap hari,” ujarnya.

Menurut Hafizati, dia juga bersyukur kerana dapat melahirkan bayinya secara normal walaupun bersaiz besar.

“Tipulah jika saya katakan proses melahirkannya mudah kerana saiz badannya yang agak besar tetapi syukur segalanya berjalan lancar.

“Saya diberitahu terpaksa menerima jahitan yang agak banyak tetapi kini semuanya sudah sembuh dan anak juga membesar dengan sihat,” katanya.

Katanya, saiz anaknya juga berkemungkinan mengikut genetik keluarga suaminya yang kebanyakannya dilahirkan dalam saiz yang besar.

“Suami dilahirkan dengan berat empat kilogram, begitu juga dengan adik-beradiknya yang lain. Jadi tradisi keluarga rupanya. Bagaimanapun, saya tidak mengambil sebarang vitamin atau makanan tambahan lain ketika hamil kecuali yang diberikan doktor.

“Kini ketika berusia 10 bulan, Hud Anaqi sudah mencapai berat 11 kilogram dan syukur dia membesar dengan baik tanpa sebarang masalah,” katanya.

FAKTOR PENENTU SAIZ JANIN

Menurut Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, ibu hamil cenderung melahirkan bayi bersaiz besar atas faktor baka atau genetik.

“Baka dan genetik keluarga yang bersaiz besar memberi kemungkinan paling tinggi untuk si ibu melahirkan bayi yang turut bersaiz besar.

“Selain itu, ibu yang menghidap kencing manis yang tidak terkawal ketika hamil turut berisiko melahirkan bayi bersaiz besar,” katanya.

Dr Muhammad Izzat berkata, disebabkan itu, pentingnya setiap ibu hamil menjalani pemeriksaan kandungan secara lengkap dan teratur supaya dapat mengetahui mengenai saiz dan ukuran janin dalam kandungan.

“Risiko untuk bersalin secara pembedahan amat besar dalam kes seperti ini dan kebiasaannya pihak hospital akan meminta ibu untuk bersalin lebih awal sekiranya mengesan sebarang kemungkinan terutama apabila ia berkait dengan keselamatan ibu dan anak.

“Namun, tidak semua ibu hamil yang memiliki saiz janin besar akan berdepan masalah atau komplikasi kerana ada kelahiran secara normal bayi yang bersaiz besar,” ujarnya.

Kata Dr Muhammad Izzat, selain faktor kesihatan, si ibu juga disaran untuk mengawal kuantiti makanan yang diambil dalam sehari kerana faktor makanan juga memberi kesan.

“Tidak kiralah saiz bayi yang dilahirkan itu besar atau kecil, apa yang paling diutamakan adalah keselamatan si ibu dan bayi ketika dalam proses kelahiran juga selepas dilahirkan.

“Perkembangan bayi selepas dilahirkan juga amat penting dan ibu bapa serta penjaga perlu peka sekiranya terdapat sebarang kelainan yang berlaku pada bayi dan bawalah bertemu dengan pakar,” katanya.

Disiarkan pada: January 18, 2018 @ 10:56am
d