hati

Kentang hilangkan kelaparan

Oleh Siti Zarinah Sahib

Dalam masakan Melayu kentang biasanya dijadikan bahan tambahan hidangan. Kari ayam, kurma daging, kentang goreng bersama tempe dan masak lemak antara menu yang menggunakan kentang sebagai bahan utama penambah khasiat dan keenakan.

Namun bukan itu sahaja, kentang juga bersifat serba guna kerana boleh digunakan untuk menyediakan pelbagai hidangan unik sama ada barat atau timur. Kentang boleh dibakar, dilenyek, direbus, ditumis, dipanggang kemudian dihidangkan dengan cara yang cukup menyelerakan. Malah deretan menu boleh dicipta bermula daripada pembuka selera, sup, hidangan utama sehinggalah pencuci mulut.

Di Amerika Syarikat, kentang dihasilkan dengan cara yang cukup berkualiti bermula dengan penyediaan tanah yang subur, musim penanaman, suhu bersesuaian, bekalan air mencukupi dan industri yang komited ditunjangi oleh penyelidikan dan teknologi terkini.

Terdapat lebih 100 jenis kentang dijual di seluruh Amerika Syarikat. Setiap jenis ini termasuk dalam salah satu daripada tujuh kategori jenis kentang iaitu russet, merah, putih, kuning, biru dan ungu, saiz jejari dan kecil. Perbezaan dari segi saiz, warna, tekstur dan rasa menyediakan pilihan meluas untuk setiap penggunaannya.

Terdapat juga pilihan produk kentang Amerika Syarikat (AS) sejuk beku mengandungi rasa semula jadi dan khasiat kentang AS segar seperti ‘wedges’, ‘hash brown’, jejari kentang goreng dan jejari ‘waffle’.

Dari segi khasiat pula, kentang bersaiz sederhana (kira-kira 148 gram) menyediakan 30 peratus pengambilan vitamin C harian yang disarankan. Ia juga rendah kalori hanya 110 kalori dan mengandungi 26 gram karbohidrat, 3 gram protein penuh, tidak mengandungi lemak, sodium dan kolesterol serta kaya potassium atau kalium berbanding pisang.

Bagaimanapun ramai yang mempunyai tanggapan salah dengan mengatakan kentang sebagai makanan menggemukkan. Ini disebabkan kandungan karbohidrat kentang yang tinggi.

Salah tanggapan ini perlu dibetulkan kerana kentang adalah antara pilihan yang baik untuk dimasukkan ke dalam rejim pengurusan berat badan. Beberapa kajian menunjukkan kentang adalah salah satu makanan paling mengenyangkan dan menghilangkan kelaparan atau lebih baik daripada hidangan sampingan lain.

Justeru, ramai menggunakan kentang sebagai sebahagian daripada program mengurangkan berat badan disebabkan kandungan kalorinya. Sama ada anda menjalani kehidupan aktif atau sebaliknya, terdapat pilihan kentang yang sesuai untuk memberi tenaga kepada tubuh dan otak sepanjang hari.

DERETAN RESiPI KENTANG

Di atas kepelbagaian khasiat dan rasa yang unik, Potatoes USA menganjurkan Fiesta Kebaikan Kentang AS yang mempamerkan deretan resipi kentang menggunakan pelbagai jenis kentang segar dan sejuk beku sebagai bahan utama.

Terdahulu Potatoes USA mengundang orang ramai mengundi resipi kentang yang dicipta oleh lebih 10 penggiat media sosial Malaysia dengan menandakan ‘like’ pada sajian mereka di Facebook. Mereka mencipta sendiri sajian kentang AS yang menyihatkan dan memilih menggunakan kentang AS sama ada russet, merah bulat atau ungu atau potongan kentang sejuk beku.

Selepas seminggu pengundian, orang ramai membuat pilihan tiga hidangan utama yang dicipta oleh penggiat media sosial. Hadiah utama dimenangi oleh Kelly Chin dengan menu nasi lemak menyihatkan dengan kentang AS. Tempat kedua pula dimenangi oleh Ivy Kam dengan hidangan kentang AS berkeju manakala Mahadi Mohamed yang menghasilkan hidangan cawan kentang dipilih sebagai pemenang tempat ketiga.

Pada masa sama, penata gaya makanan terkenal Rohani Jelani turut hadir menunjukkan empat resipi istimewa berasaskan kentang AS segar dan sejuk beku dalam hidangan tempatan Malaysia.

Antara menu yang dihasilkan adalah gulungan kubis bunga, kacang kuda dan kentang AS pedas, murtabak hash brown, kentang AS sambal hijau dan kek lapis kukus kentang AS ungu. Untuk maklumat mengenai resipi boleh melayariwww.potatoesusa-malaysia.com.

Disiarkan pada: January 19, 2018 @ 10:04am
d