hati

Kasut kesihatan lebih trendy, moden

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Memilih kasut seharusnya tidak hanya dipandang pada gaya, sebaliknya perhatian khusus terhadap jenis dan bentuk kaki juga perlu diambil kira. Jangan hanya cantik dipakai, tetapi akhirnya menyebabkan kaki melecet, lebam, mengakibatkan sakit pinggang dan punggung jika penggunaan sepatu yang tidak bersesuaian dengan keadaan tubuh.

Tidak ramai yang menyedari pemilihan kasut yang bertepatan amat penting bagi menjaga sendi di bahagian bawah badan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia sepatutnya lebih utama daripada memilih baju.

Malah, tidak kurang juga yang mengambil ringan soal penjagaan kaki dengan mengabaikan aspek pemakaian kasut bersesuaian kerana rata-rata menitikberatkan penjagaan kaki hanya selepas mengalami masalah atau masalah kaki menjadi lebih serius.

Bagaimanapun, jika dulu kasut khusus untuk masalah kaki mempunyai rekaan yang agak ketinggalan zaman dan tidak banyak pilihan, jangan terkejut sekiranya kini terdapat pelbagai rekaan moden dan bergaya setanding jenama kasut terkemuka tapi dilengkapi ciri khas untuk penjagaan kaki.

Antara syarikat pengeluar kasut kesihatan menawarkan produk yang lebih bergaya dan sesuai untuk semua peringkat umur ialah Medshoe.

Pengusahanya Nur Diana Dzulkiply berkata, kasut kesihatan pada awalnya tertumpu kepada kasut khas buat pesakit kencing manis, artritis, sakit tumit dan lenguh, masalah lutut, belakang badan dan keletihan kaki akibat aktiviti harian, namun tidak banyak pilihan menarik kerana aspek keselesaan paling diutamakan.

Bagaimanapun, katanya, atas maklum balas mereka yang sudah mencuba kasut keluaran syarikat itu ramai yang mahu ia diberi sedikit sentuhan moden dan mengikut fesyen terkini.

“Walaupun ada masalah kaki atau menghidapi penyakit tertentu, tidak semestinya mereka perlu kelihatan sakit sebaliknya boleh tampil dengan penuh yakin termasuklah dalam soal pemilihan kasut.

“Jadi, kami pastikan semua ciri penting seperti keselesaan, teknologi dan kesihatan dikekalkan sebanyak mungkin dan mengubah rekaan agar lebih trendy dan moden,” katanya.

Menurutnya, kasut jenama terbabit sesuai untuk semua golongan baik lelaki dan wanita, malah kasut jururawat keluaran syarikat mereka antara yang paling mendapat sambutan hangat.

“Kerjaya sebagai jururawat menuntut mereka untuk selalu dalam keadaan bersedia selain perlu berdiri dalam tempoh lama. Mereka juga banyak berjalan, jadi sangat pentingnya untuk memakai kasut yang selesa,” katanya.

Katanya, lebih penting mengubah pemikiran masyarakat iaitu jika seseorang mengalami masalah kaki mereka harus memakai kasut kesihatan yang tidak bergaya atau ketinggalan zaman. Ini kerana kini ada bermacam pilihan untuk bergaya dengan kasut kesihatan yang cantik dan menarik.

Nur Diana berkata, idea untuk menawarkan kasut kesihatan bermula apabila dirinya sendiri mengalami kesukaran mendapatkan kasut sesuai dek kerana masalah obesiti dan cakera tergelincir.

Katanya, dengan berat badan berlebihan agak sukar mendapatkan kasut yang benar-benar menyokong pergerakannya sebaliknya dia selalu memilih kasut tidak bersesuaian hingga kakinya melecet dan sakit.

“Ramai orang lupa pentingnya penjagaan kaki seperti mana kita pentingkan penjagaan wajah. Kaki boleh dikatakan antara anggota paling penting sebaik saja kita bangun dan memulakan aktiviti seharian.

“Namun, ramai yang lupa untuk memberi perhatian khusus pada penjagaan kaki dengan memilih kasut yang tidak sesuai. Kebiasaannya kita baru mencari kasut yang betul apabila mengalami kesakitan.

“Sebenarnya, pencegahan awal lebih penting, sebab itu saya sering tekankan pemilihan kasut yang tepat dan sesuai perlu bermula sebelum kaki mengalami masalah lagi,” katanya.

Menurut Nur Diana, teknologi kusyen poron yang disertakan sebagai pelapik kasut mampu menyerap hentakan di samping bertindak sebagai antibakteria dan kulat berupaya memberi keselesaan optimum kepada kaki si pemakai.

Sementara, potongan bahagian depan yang lebar memberi ruang buat jari kaki, sekali gus mengelakkan tekanan dan bebanan ketika berjalan.

Tidak menggunakan kulit tulen, namun ciri lasak gentian mikro kasut itu tidak menjadikannya mudah lusuh, malah dijamin tahan hingga bertahun-tahun.

“Berbanding kulit, gentian sebenarnya lebih lembut dan selesa selain semakin lembut apabila makin lama dipakai. Saya pernah mengujinya dengan menjemur kasut di bawah matahari selain membiarkannya lencun dalam hujan dan meskipun begitu, kualitinya tidak terjejas,” katanya.

Bahkan, penjagaannya tidak rumit, iaitu ia hanya perlu dilap dengan kain lembap dan dikeringkan di bawah cahaya matahari.

Disiarkan pada: January 20, 2018 @ 3:09am
d