hati

Keluarkan potensi dalam diri

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Dari jauh, lelaki ini tenang berkerusi roda menghampiri lokasi pertemuan kami. Sesekali dahinya berkerut menahan silau pancaran matahari. Mohd Rizal Mat Noor, 31, bukan sembarangan orang. Walaupun dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) sejak hampir 17 tahun lalu, semangat juang yang dimiliki menjadikan dirinya lebih berharga dan istimewa.

Dalam keterbatasan diri untuk bergerak, anak kelapan daripada sembilan beradik ini berjaya meneroka sisi baru dalam hidupnya sebagai penyelam skuba. Tidak ada jalan mudah. Waima dalam kalangan orang normal sekalipun, bukan semua mampu mencabar kemampuan diri untuk berada di bawah laut. Inikan pula buat dirinya yang tidak mampu menggerakkan tubuh berikutan kesan kecederaan saraf tunjang dihadapi pada 2001.

Mengimbau saat keupayaannya sebagai manusia normal hilang, Mohd Rizal berkata, semua berlaku sekelip mata. Namun, kesannya mungkin akan terus kekal sepanjang hayat.

“Saya dilahirkan normal dan membesar seiring anak remaja lain tetapi perancangan Allah SWT tiada siapa yang tahu. Saya jadi begini selepas kemalangan. Ketika terjun ke sungai, kepala terhentak ke tanah dan mengakibatkan patah leher.

“Berikutan itu, saya disahkan mengalami kecederaan saraf tunjang dan terlantar lama di hospital. Syukur saya dikurniakan keluarga yang sentiasa mengambil berat.

“Atas dorongan dan kata-kata semangat mereka, saya akhirnya di sini. Mengambil Ijazah Sarjana Dasar Awam di Universiti Malaya (UM), menghargai dan menikmati seluruh kehidupan dengan keupayaan yang ada kini,” katanya.

KELUAR DARI DUNIA PERSEPSI

Menurut Mohd Rizal, walaupun berasakan kehidupannya lancar, dia tidak boleh menolak hakikat sebahagian daripada potensi yang ada dalam dirinya masih tersimpan kemas.

Banyak peluang dipandang sepi kerana kurangnya rasa yakin diri. Sejak kemalangan, dia nekad menjauhi sukan lasak kerana bimbang boleh mendatangkan risiko kecederaan yang lebih teruk.

Dia hanya fokus kepada pelajaran dan bergiat aktif dalam aktiviti persatuan untuk membantu golongan senasib. Sehinggalah doktor yang merawatnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memberitahu mengenai kursus Penyelam Skuba PADI dengan sokongan Diveheart USA dan Kids Scuba Malaysia.

“Saya tidak pernah tahu OKU seperti saya boleh menyelam skuba. Jadi, apabila dimaklumkan mengenai program ini, saya terus terfikir untuk mencuba. Saya beritahu keluarga dan mereka nampak tidak yakin. Bagaimanapun, mereka beri kebenaran dan peluang untuk cuba. Selebihnya, mereka letak sepenuh kepercayaan kepada diri saya untuk membuat keputusan.

“Apabila sudah cuba buat pertama kali (di kolam), saya mula rasa sukan lasak ini menyeronokkan. Bayangkan hampir 15 tahun saya menidakkan potensi diri dalam sukan kerana bimbang dengan pelbagai risiko, tetapi pada pertengahan 2016, saya memberanikan diri menyertai selam skuba.

“Malah, saya pernah terfikir selam skuba tidak sesuai dengan kemampuan diri kerana memerlukan individu menggerakkan kaki, boleh berenang dan mengimbangkan diri dalam air.

“Selepas itu barulah saya sedar sebenarnya, diri sendirilah yang meletakkan had pada minda untuk tidak mencuba. Saya sentiasa berasakan diri mustahil untuk melakukan itu dan ini,” katanya.

Mengakui dirinya bertuah kerana diberi ruang dan peluang, Mohd Rizal cuba menjauhkan dirinya daripada pelbagai persepsi dan rasa tidak yakin. Dia nekad mengosongkan fikirannya dan menikmati satu lagi corak perjalanan baru dalam hidupnya.

“Abang Syed (Pengarah dan Ketua Jurulatih Kids Scuba Syed Abd Rahman Syed Hassan) dan kru banyak membantu. Malah, doktor pakar fisioterapi yang merawat saya di PPUM juga banyak memberi sokongan dengan memantau setiap perkembangan sepanjang menyertai program berkenaan.

“Jika orang normal sekalipun berdepan cabaran sepanjang hendak bermula (selam skuba), apatah lagi saya. Memang susah untuk mengatur nafas dan menyesuaikan diri dengan aktiviti baru. Saya sentiasa ingatkan diri supaya tidak mudah panik dan cuba melakukan yang terbaik setiap kali melakukannya.

“Alhamdulillah, dengan bimbingan yang berterusan, saya berjaya mengatasi satu persatu cabaran sepanjang tempoh pembelajaran. Rasa seperti hendak lemas, sesak dada atau hilang imbangan, semuanya saya cuba atasi dengan memberi lebih tumpuan.

“Jika hendak tenggelam sekalipun, ada kru yang sedia membantu. Saya sedar mungkin agak mustahil untuk seorang OKU menyesuaikan diri di bawah permukaan air dalam tempoh singkat. Untuk itu, saya cekalkan diri dan tetapkan matlamat seiring dengan kemampuan diri,” katanya yang mengikuti latihan selama enam bulan.

TEROKA LAUT INDAH

Tiba saat yang dinanti, pada November 2016, Mohd Rizal bersama seorang lagi rakan, Basri Husin dibawa ke Pulau Tioman untuk menyempurnakan misi sebenar. Selain anggota Kids Scuba dan Diveheart Malaysia, rombongan turut disertai beberapa doktor dari Jabatan Perubatan Pemulihan PPUM.

“Empat kali saya turun ke laut. Perasaannya sukar hendak digambarkan dengan kata-kata. Suasana di kolam memang jauh berbeza dengan lautan. Di kolam, kita akan rasa terkongkong, sebaliknya di lautan pula cukup luas.

“Saya boleh bergerak jauh, melihat hidupan laut dan menikmati keindahan semula jadi sepuas-puasnya. Tubuh rasa begitu ringan. Saya mampu mengapungkan diri. Semuanya begitu indah dan menenangkan. Di darat rasanya terlalu banyak halangan dan kekangan untuk golongan berkerusi roda. Di laut, saya rasa seolah-olah mampu melakukan apa saja.

“Paling penting, saya tidak bimbang sepanjang di laut kerana ramai kru yang memerhati dan sedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan. Apa yang perlu hanyalah keyakinan diri untuk menyelam dan tidak panik ketika di dasar laut,” katanya yang berjaya melengkapkan semua ujian dan akhirnya mendapat lesen selam skuba laut terbuka daripada Professional Association of Diving Instructors (PADI).

BINA AURA POSITIF

Sejak aktif dalam latihan selam skuba dan memiliki lesen, Mohd Rizal mengakui sebahagian daripada potensi dirinya kian berkembang. Keyakinan dirinya bertambah, minda lebih terbuka dan pergaulan semakin luas.

“Saya percaya OKU perlu lebih berani untuk mencuba melakukan sesuatu. Usah meletakkan had atau persepsi negatif terhadap perkara yang belum pernah diteroka. Saya sendiri hanya sedar kemampuan diri selepas mencuba. Jadi, mengapa perlu kita meletak halangan sebelum berada dalam situasi berkenaan.

“Ini bukan sekadar OKU. Saya percaya, ramai orang yang hanya tahu menilai sesuatu dari sudut luaran tanpa mencuba. Tidak salah jika kita mencabar diri melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan. Mana tahu, rupa-rupanya kita masih memiliki potensi besar untuk menyinar.

“Dalam dunia skuba umpamanya, ramai lagi yang takut hendak mencuba kerana wujudnya pelbagai persepsi mengenai kesukaran untuk bertahan dalam air dalam, risiko lemas dan sebagainya.

“Percaya atau tidak, semua itu hanyalah perkara sampingan yang perlu diambil kira dalam situasi tertentu. Dalam hal ini, latihan, keyakinan diri, semangat dan kekuatan jiwa itu penting untuk kita berjaya. Kebiasaannya, kemampuan fizikal akan hadir apabila kekuatan jiwa itu ada.

“Saya berbangga kerana langkah yang saya ambil ini bukan sekadar membawa manfaat kepada diri, malah berjaya menimbulkan kesedaran kepada orang lain, terutama OKU. Lebih daripada itu, pihak Diveheart, doktor dan pakar perubatan juga boleh mengumpul banyak pengetahuan baru sepanjang mengikuti perkembangan diri saya,” katanya.

Kata Mohd Rizal, dia seboleh-bolehnya mahu OKU lebih positif dan yakin diri dalam mengejar impian hidup.

“Ramai orang hari ini cenderung menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan kepada OKU untuk ‘membantu’ kelompok itu meneruskan kelangsungan hidup. Asalkan ada cerita sedih membabitkan OKU, mereka fikir, perlu salur dana.

“Sebenarnya, banyak lagi jenis bantuan yang bersesuaian dengan OKU. Ada baiknya jika mereka mengambil sikap ‘tanya dulu’ sebelum terus bantu. Sesetengah OKU lebih senang menjalani hidup berdikari. Jadi, usah beri gambaran tidak sihat kepada OKU dengan menawarkan pelbagai pemberian dalam bentuk kewangan semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Abd Rahman berkata, pihaknya teruja bekerjasama dengan Diveheart Malaysia dalam melahirkan lebih ramai penyelam skuba OKU.

“Kami perkenalkan program khas direka ini untuk membolehkan OKU dan orang khas merasai pengalaman bawah air dalam persekitaran bebas graviti. Objektifnya adalah untuk membina keyakinan, kemerdekaan dan harga diri dalam kehidupan kanak-kanak, orang dewasa dan veteran kurang upaya, melalui sukan selam skuba, terapi skuba dan aktiviti berkaitan.

“Di sini, kami bekerjasama dengan PPUM, Jabatan Pemulihan Perubatan Profesor dan Doktor dalam Latihan Pelajar PWD dari Universiti Malaya serta PADI sendiri,” katanya.

Jelasnya, dia mahu menimbulkan lebih kesedaran mengenai faedah selam skuba untuk OKU, sekali gus menanam semangat ‘I Can Do and We Can Do’ kepada peserta.

“Kami mahu beri inspirasi kepada mereka untuk menyahut cabaran yang belum pernah dipertimbangkan sebelum ini. Menggunakan graviti sifar dan paradigma pengembaraan, dengan program ini kami membantu peserta percaya bahawa jika mereka boleh menyelam, mereka pasti mampu melakukan apa saja.

“Sebagai Pengajar Skuba dan Penyelam Profesional PADI selama 15 tahun, saya sangat percaya kita perlu sentiasa menjangkau komuniti lain dan membantu mereka yang memerlukan untuk turut merasa apa yang kita miliki serta berkongsi pengetahuan profesional dalam selam skuba. Sementara DiveHeart pula mempunyai program latihan lengkap untuk melatih dan membimbing OKU serta orang berkeupayaan khas dalam sukan skuba,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2018 @ 1:39pm
d