hati

Air masak rahsia awet muda

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Sekali pandang mungkin ramai tidak menyangka wanita bertubuh kecil molek yang lincah dan aktif ini sudahpun menjangkau usia emas.

Mana tidaknya, gerak langkahnya masih lincah, kulit wajahnya kekal anjal dan menawan manakala senyuman manisnya sentiasa terukir di wajah.

Ternyata, status sebagai ibu dan nenek tidak menghalangnya untuk terus menjaga kecantikan dan kesihatan. Dia akui untuk kekal cantik dan bertenaga memerlukan disiplin diri yang tinggi terutama berkaitan faktor pemakanan harian.

Menurut Rusmaini Kosnan, 60, dia mengamalkan diet sihat dengan mengurangkan pengambilan nasi setiap hari dan sentiasa menjadikan air masak sebagai ‘teman karib’.

“Ke mana saja saya akan membawa air masak kerana ia menjadi perkara wajib dalam hidup saya. Walaupun ia nampak mudah, namun tidak semua orang mampu mendisiplinkan diri dengan meminum air masak hampir setiap masa.

“Ini rutin saya sejak kecil, ibu mendidik saya untuk minum banyak air masak setiap hari. Agaknya ia mudah dilakukan kerana ibu turut mengamalkannya,” katanya.

Rusmaini berkata, dia percaya faktor pemakanan perlu dijaga sebaik mungkin kerana ia mempengaruhi kecantikan dan kesihatan diri seseorang.

“Pada masa sama, untuk mengekalkan kecantikan dan kecergasan diri, saya aktif melakukan aktiviti lasak terutama mendaki gunung dan bukit pada waktu terluang.

“Hobi ini memerlukan saya mengambil air secukupnya setiap hari untuk kekal cergas dan bertenaga,” katanya.

Tambahnya, kini selepas berusia 60 tahun, dia sendiri dapat merasai kesan daripada amalan pengambilan air masak secukupnya.

“Syukur, saya masih sihat dan mampu menjalani rutin harian dengan gembira. Selain kecantikan diri, kesihatan juga antara perkara paling penting dalam kehidupan.

“Pengambilan air masak ini membuatkan saya kekal bertenaga, sekali gus membolehkan saya melakukan ibadat dengan sempurna,” ujarnya.

Jadikan ibu sebagai idola

Sejak kecil, Rusmaini sudah dibesarkan dengan disiplin ketat untuk mengatur pemakanan harian bagi menjaga kecantikan dan kesihatan.

“Ibu sentiasa mengingatkan saya untuk minum air masak secukupnya. Dia bukan sekadar menyuruh kerana dia juga melakukan perkara sama.

“Sejak dulu, ibu memang tidak minum air manis dan syukurlah, melalui amalan yang baik itu, sampai hari ini dia masih sihat dan cergas walaupun sudah berusia 89 tahun,” katanya.

Menurut Rusmaini, ibunya, Asira Maon adalah bukti paling tepat menggambarkan keberkesanan dan kehebatan pengambilan air masak secukupnya.

“Walaupun sudah mencecah usia 89 tahun, ibu masih sihat, kulit cantik dan penglihatannya masih jelas. Contoh hebat ini membuatkan saya terus mengamalkan pengambilan air masak dan cuba menghindarkan diri daripada minuman manis. Bukan langsung tidak minum air manis tetapi dalam jumlah yang sedikit,” ujarnya.

Tambah Rusmaini, mungkin amalan ini kelihatan mudah dan klise, namun tidak semua orang mampu melakukannya secara teratur dan berdisiplin.

“Insya-Allah selagi masih bernafas, saya akan meneruskan amalan baik ini. Inilah rahsia kecantikan dan kesihatan kami anak beranak.

“Jaga pemakanan, bersenam dan jalani kehidupan dengan gembira bagi menyerlahkan kecantikan secara semula jadi tanpa perlu membelanjakan banyak wang untuk tampil cantik,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 12:10am
d