hati

Biar cantik berilmu

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Siapa kata wanita yang memiliki tubuh bersaiz besar tidak cantik? Sekiranya tepat gaya solekan dan bijak menyesuaikannya dengan busana pasti penampilan lebih menyerlah dan menyenangkan.

Penampilan harian yang menawan memberikan aura luar biasa yang dapat meningkatkan tahap keyakinan diri seseorang. Ketepikan isu bentuk badan kerana keyakinan diri itu adalah elemen yang lebih penting dalam mengharungi kehidupan dan cabaran bagi setiap wanita.

Istilah ‘Beauty With Brain’ lebih diperlukan oleh wanita era kini memandangkan segala perkara memerlukan ilmu. Atas faktor itu juga wanita kini bukan hanya perlu tampil cantik, malah perlu sentiasa menonjolkan diri dengan personaliti yang hebat.

Pun begitu tidak dinafikan, sampai hari ini bentuk tubuh masih menjadi antara ciri yang dinilai oleh masyarakat menyebabkan ramai wanita berbadan besar merasakan kekurangan hingga hilang keyakinan untuk berdepan dengan khalayak.

Perunding Imej Bertauliah, Nor Fazidah Abd Samad berkata, bagi memastikan diri tidak ketinggalan dalam pelbagai aspek dan kehidupan semasa, wanita perlu bertindak bukan hanya berdiam diri.

“Tidak ada gunanya memiliki wajah cantik semata-mata tetapi tidak berkeyakinan ketika berdepan dengan orang ramai. Perlu diingatkan wanita bersaiz besar juga memiliki kelebihan tersendiri yang dapat ditonjolkan.

“Wanita kini perlu lebih ke depan dan membuktikan istilah cantik itu luas, tidak hanya tertumpu pada wajah putih gebu serta bentuk badan langsing saja.

“Yakin pada diri sendiri dan penuhkan aura positif dalam kehidupan seharian. Paling penting sentiasa berusaha menyerlahkan lagi personaliti diri dan jangan terus kekal di takuk lama,” katanya.

Menurut Nor Fazidah, membina keyakinan diri adalah penting supaya wanita tidak dipandang rendah masyarakat. Ia sekali gus membuktikan wanita bukan sekadar golongan yang sinonim dengan kepakaran di dapur.

“Jangan sesekali malu dengan diri sendiri walaupun anda bersaiz besar. Yakinlah anda mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri yang membezakan anda dengan wanita lain.

“Tonjolkan diri dengan kepelbagaian personaliti diri yang hebat supaya anda lebih disenangi dan dihormati. Jangan bersikap malu tidak bertempat dan tidak yakin pada kemampuan diri. Kena sentiasa ingat, setiap orang itu dianugerahkan dengan kelebihan tersendiri,” katanya.

Tip tonjolkan keistimewaan diri

Nor Fazidah berkongsi lima panduan untuk wanita berbadan besar menyerlahkan keunikan diri masing-masing.

• Pilih busana sesuai

Selain keyakinan diri, aspek pemilihan busana amat penting dalam menonjolkan imej yang baik dan menutup kekurangan. Jangan sesekali memakai baju yang terlalu longgar atau ketat. Baju yang longgar akan menampakkan tubuh anda lebih besar. Oleh itu, pilihlah yang sesuai dengan tubuh.

• Gunakan rona gelap

Warna menjadi elemen penting untuk mengalihkan pandangan insan di sekeliling. Warna gelap memberi ilusi lebih kecil, tetapi jangan hadkan pemilihan kepada warna hitam saja. Hijau zamrud, biru tentera laut, merah hati, ungu manggis dan oren mustard juga dikategorikan dalam warna gelap.

• Bersikap lebih menonjol

Hakikatnya, individu berbadan besar memang lebih menonjol dan mendapat perhatian. Jadi ambil peluang ini untuk ‘mengeluarkan’ nilai positif dalam diri anda. Sentiasa amalkan sikap positif, riang dan mudah mesra dengan semua orang bagi mencerminkan personaliti anda yang menarik dan disenangi.

• Yakin anda juga cantik

Istilah cantik itu sangat luas dan subjektif. Tiada manusia yang dilahirkan tidak cantik kerana masing-masing ada kecantikan tersendiri yang tidak harus diukur daripada sudut fizikal semata-mata. Wanita yang cantik adalah wanita yang selesa dan yakin dengan dirinya sendiri.

• Gunakan solekan sesuai

Tidak perlu keterlaluan dan cukup sekadar mengenakan solekan asas yang ringkas, ia juga dapat membantu menyerlahkan lagi penampilan diri. Tidak kiralah anda memiliki tubuh bersaiz besar atau sebaliknya, aspek solekan juga membantu anda tampil cantik dan sedap mata memandang.

Langkah mudah tingkatkan personaliti

• Kenali personaliti diri anda

Belajar untuk kenali diri sendiri terlebih dulu. Kaji kekurangan dan kelebihan diri yang akan membantu anda lebih berketerampilan sekali gus meningkat semangat untuk sentiasa ke hadapan.

• Tetapkan matlamat personaliti yang jelas

Matlamat yang jelas membantu hala tuju seseorang untuk tampil lebih yakin dan memukau. Dalam hidup, seseorang itu perlu ada matlamat yang tepat untuk memudahkannya mencapai apa diinginkan.

• Berpakaian sesuai mengikut T.O.P (masa, acara dan tempat atau ‘time, occasion, place’)

Berpakaian sesuai mampu menaikkan kredibiliti dan menjadi diri anda dihormati. Walaupun ini lebih kepada membina faktor dan tarikan luaran, namun perlu diingatkan penampilan harian memainkan peranan besar dalam mendapatkan kepercayaan orang lain sekali gus meningkat tahap keyakinan diri.

• Bahasa tubuh yang meyakinkan

Bahasa tubuh yang tepat mampu mempengaruhi tanggapan pertama orang di sekeliling anda. Sentiasa fokus dan yakin dengan diri sendiri serta jangan bersikap malu tanpa sebab ketika berdepan dengan khalayak.

• Zahirkan karakter yang disenangi

Fahami etika dan sentiasa praktikkan dalam kehidupan seharian. Cuba bersikap riang dan memahami individu sekeliling. Jangan mengikut emosi anda sendiri terutama apabila berada dalam kelompok yang besar.

• Penggunaan bahasa atau komunikasi berkesan

Ia mampu memberi impak besar kepada orang lain dalam menyampaikan maklumat. Cara seseorang itu berkomunikasi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kerana ia menentukan sama ada individu itu mudah didampingi atau sebaliknya.

• Tambah ilmu dan kemahiran

‘Beauty with brain’ - kehebatan luaran seiring dengan kehebatan dalaman. Tidak ada gunanya memiliki wajah yang cantik namun tidak seimbang dengan cara pemikiran dan tingkah laku. Segalanya berkait rapat dan cuba jadikan diri anda individu yang bukan hanya cantik dipandang malah berpengetahuan serta mudah didampingi.

Disiarkan pada: January 24, 2018 @ 12:11am
d