hati

Puri untuk si manja

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Menyediakan makanan bayi tidak sama dengan masakan untuk orang dewasa. Anda perlu memikirkan mengenai pilihan makanan yang boleh diberikan kepada si manja. Makanan untuk bayi biasanya perlu dimasak hingga menjadi lembut dan hancur, dikisar atau dilenyek terlebih dulu hingga menjadi puri.

Meskipun perlu meluangkan lebih banyak masa, berusahalah untuk menyediakan sendiri makanan untuk insan tersayang. Apa yang penting, bayi anda mendapat makanan segar dan berkhasiat.

Menyediakan sendiri makanan bayi bukan saja dapat memastikan ia bersih dan selamat untuk dijamah anak, ia juga menjimatkan perbelanjaan keluarga.

Tidak perlu membuang puluhan ringgit membeli makanan bayi yang sudah disimpan di dalam botol sejak berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya sedangkan makanan segar boleh disediakan dengan murah di rumah sendiri.

Apa yang diperlukan adalah kesungguhan ibu bapa menyediakannya, malah bahan segar juga mudah didapati di pasar raya.

Membuat puri sendiri tanpa bahan pengawet pasti menjadikan bayi anda lebih sihat. Berikut beberapa jenis buah segar yang amat sesuai diberikan kepada bayi berusia enam bulan ke atas.

Epal

Epal terkenal sebagai buah yang pertama kali diperkenalkan kepada bayi. Puri daripada epal merah biasanya lembut dan manis rasanya. Ciri inilah yang menjadikannya disukai kebanyakan bayi.

Epal juga tinggi vitamin C dan serat. Kajian menunjukkan epal memberikan perlindungan hebat terhadap asma. Buah yang serba guna ini sesuai dicampur dengan puri daripada buah-buah lain, sayur-sayuran, daging atau ayam.

Pisang

Buah yang kaya potassium ini juga sangat ideal diperkenalkan kepada bayi sebagai makanan pertama mereka. Puri pisang dipercayai boleh melegakan sakit perut dan mengatasi cirit-birit. Rasanya yang manis dan berkrim dapat menyeimbangkan rasa daripada buah yang masam seperti strawberi jika ingin dicampur bersama.

Pir

Rasanya yang manis pasti disukai kebanyakan bayi. Dengan pelbagai manfaat dan khasiat, buah ini sesuai dijadikan puri dan diperkenalkan kepada bayi.

Avokado

Buah ini kaya omega-3 dan membuat puri menggunakan avokado amat mudah kerana tidak perlu dimasak. Ia sememangnya enak dimakan begitu saja atau dicampur dengan puri pisang untuk memberikan khasiat terbaik buat bayi. Pilih buah yang masak dan lembut agar tidak pahit rasanya.

Mangga

Buah tropika yang enak ini kaya vitamin A dan pastinya disukai semua peringkat umur dan tidak terkecuali bayi. Membuatnya pun mudah kerana tidak perlu memasak sebelum melumatkannya menjadi puri. Puri mangga juga sesuai dan semestinya enak dicampur bersama sayuran manis seperti ubi. Bagaimanapun, puri ini hanya sesuai untuk bayi berusia 10 bulan ke atas.

Betik

Buah tropika ini antara buah yang banyak mengandung air dan tinggi folat. Tidak perlu dimasak, betik hanya perlu dilumatkan dan dicampurkan dengan bubur nasi atau puri pisang. Ia sesuai untuk bayi berusia 10 bulan ke atas.

Labu kuning

Buah berwarna kuning ini kaya dengan serat dan dapat membantu bayi membuang air besar secara teratur. Walaupun kelihatan keras, ia memiliki tekstur yang lembut sehingga mudah dicerna oleh bayi. Labu kaya beta karoten yang baik untuk menurunkan risiko kanser dan jantung.

Selain itu, buah ini juga banyak mengandungi vitamin A, C, K, zat besi dan protein yang baik untuk pertumbuhan tubuh bayi. Buah ini boleh diberikan kepada bayi berusia enam bulan ke atas dalam bentuk bubur, dikukus kemudian dikisar halus.

Disiarkan pada: January 26, 2018 @ 12:06pm
d