hati

Busana raja sehari

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Indah memukau. Begitu kuat tarikan gaun pengantin Ezuwan Ismail di pentas peragaan The Wedding KL 2018, baru-baru ini. Kemilau perincian pada busana potongan duyung dan gaun kembang puterinya benar-benar menggamit perhatian khalayak.

Malah persalinan untuk pengantin lelaki juga cukup gah. Ternyata Ezuwan bijak mengatur gaya. Sekalipun mengangkat karya songket dalam gaya moden, namun masih ada terselit adat budaya yang memberi jiwa kepada setiap rekaannya.

Tidak hairanlah jika ada yang sampai termimpi-mimpi untuk menggayakan gaun kembang hasil sentuhan pereka muda ini pada hari bersejarah mereka nanti. Sudah pasti majlis yang dirancang berganda meriahnya!

Mengekalkan elemen mewah pada koleksi baru ini, Ezuwan berkata, dia teruja kerana buat julung kalinya mengeluarkan koleksi busana pengantin daripada songket.

“Ada banyak sebab mengapa songket menjadi pilihan untuk koleksi baru ini. Salah satu daripadanya adalah populariti hasil tenunan tradisional ini dalam penghasilan busana pengantin.

“Permintaan baju pengantin songket sangat tinggi. Dari dulu sampai sekarang, orang masih mengenakan songket pada hari persandingan. Namun, kebanyakan rekaan yang ada kini lebih kepada kurung moden dan kebaya.

“Jadi, saya cuba mengambil inspirasi daripada kepelbagaian adat, budaya dan bangsa di Malaysia untuk menghasilkan rekaan moden yang lebih segar, unik, namun masih kekal sopan, sesuai buat bakal merpati sejoli duduk bersanding di pelamin,” katanya.

Menurut Ezuwan, dia nekad membawa kelainan besar dalam rekaan busana songket dengan memperkenalkan gaun kembang puteri dengan perincian mewah di bahagian lengan, dada, pinggang dan kaki.

Jika diteliti semua 24 rekaan koleksi ini, nampak jelas bahawa Ezuwan begitu komited membawakan konsep percampuran budaya di Malaysia merangkumi Melayu, India, Cina, pengaruh Barat serta keunikan kelompok etnik.

“Sebelum ini, Ezuwan Ismail memang dikenali sebagai pereka busana pengantin songket. Tetapi biasanya saya buat busana ringkas. Kali ini, saya mengetengahkan keindahan budaya Malaysia yang sebenar dalam gaya yang lebih moden, kontemporari, sesuai untuk perkahwinan.

“Saya banyak bermain dengan hiasan dan perincian sarat yang mana ia berbeza daripada koleksi sebelum ini. Ada rekaan yang memperlihatkan perincian sarat di bahu, lengan dan dada. Tetapi ada juga busana ringkas dengan perincian sedikit.

“Setiap ciri pada rekaan membawa maksud tersendiri. Malah, saya percaya, setiap kekurangan dan kelebihan menentukan tahap populariti busana terbabit pada masa akan datang,” katanya.

Jelas Ezuwan, kepelbagaian kaum di Malaysia menjadikan masyarakatnya mempunyai banyak perbezaan dari segi minat, karektor dan budaya.

“Akan ada yang suka busana dengan perincian sarat, tidak kurang juga yang mahukan gaun ringkas. Jadi, saya beri lebih variasi untuk mereka pilih sendiri, sesuai dengan tema dan konsep perkahwinan masing-masing.

“Paling utama, saya harap busana songket ini menjadi pilihan rakyat, tidak kira kaum dan bangsa untuk digayakan pada majlis perkahwinan mereka. Saya yakin, koleksi ini sedikit sebanyak akan membuka mata banyak pihak untuk memilih songket sebagai fabrik pilihan mereka,” katanya.

Pecah tradisi songket

Tatkala gaun kembang puterinya diperagakan di pentas The Wedding KL 2018, ramai yang terpegun. Betapa indahnya songket asli diberi sentuhan moden yang sukar ditemukan di mana-mana negara.

Ada juga yang tidak berkelip memandang. Barang­kali kagum dengan kreativiti Ezuwan menghasilkan gaun indah berkenaan. Malah ada yang mengatakan rekaan itu hampir mustahil kerana jenis fabriknya yang diketahui tebal, berat dan sarat dengan budaya tradisi.

“Kebiasaannya memang orang buat busana songket mengikut bentuk tubuh. Tetapi saya mahu kelainan dalam koleksi ini. Jika orang buat gaun kembang dengan renda, sifon atau net, mengapa tidak songket?

“Keseimbangan rekaan menjadi kata kunci dalam menghasilkan idea baru ini. Selain songket, saya masih menggunakan renda, sifon, net dan krep untuk perincian tertentu.

“Sementara warna memainkan peranan penting dalam memenuhi kepelbagaian minat masyarakat. Ada yang suka warna terang, lembut dan pusam. Saya bawakan variasi warna yang pelbagai untuk mereka cuba serta padankan dengan tema majlis,” katanya yang akan mengeluarkan koleksi siap pakai mampu milik untuk hari raya nanti.

Disiarkan pada: January 27, 2018 @ 9:05am
d