hati

Tomato penaik seri muka

Oleh Siti Zarinah Sahib

Apabila memperkatakan mengenai kecantikan, ramai antara wanita sanggup berhabis duit untuk mendapatkan kulit cerah, licin dan sempurna. Bahkan ada yang rela mempertaruhkan kulit muka dengan menggunakan pelbagai produk kecantikan yang digembar-gemburkan bagus semata-mata mahu mendapatkan wajah idaman.

Namun begitu tidak semua produk membawa kebaikan. Ada yang tidak memberikan kesan, ada pula menyebabkan kulit rosak sehingga memerlukan rawatan hospital.

Pada zaman dulu, sebelum adanya produk kecantikan moden wanita menggunakan bahan semula jadi daripada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan yang terbukti berkesan.

Misalnya petua membasuh wajah menggunakan air basuhan beras berfungsi menghalus dan menjadikan kulit lebih segar dan bermaya. Begitu juga untuk menghilangkan parut jerawat dengan menggosok menggunakan kulit pisang turut diakui memberikan kesan yang diinginkan.

Meskipun sudah lama, petua yang menjadi khazanah turun-temurun ini tidak lapuk dek zaman dan bersifat malar segar. Walaupun ada yang mungkin agak tidak masuk akal, namun ia kekal sebagai petua. Jadi tiada salah mencuba petua lama demi untuk kesihatan dan kecantikan diri.

Menurut Misliah Iskandar, 39, sebagai wanita kecantikan kulit amat penting. Oleh itu selain rangkaian produk penjagaan wajah, menggunakan petua tradisional turut menjadi amalannya. Memiliki kulit berminyak menyebabkan wajahnya ditumbuhi jerawat. Ia juga disebabkan perubahan hormon terutama setiap kali datang bulan.

“Saya gemar mencuba petua lama kerana ada keberkesanannya. Antaranya pucuk jambu yang dihancurkan dan disapu pada kulit muka bagus untuk mengecutkan jerawat.

“Saya juga mencuba amalan meletakkan ais pada kulit bagi mengecilkan liang pori. Caranya dengan mengambil beberapa ketulan ais kemudian digosokkan pada jerawat dengan lembut. Ia boleh mengurangkan bengkak dan kemerahan pada wajah. Selain itu, ais juga boleh mengimbangkan pengeluaran minyak berlebihan dan membantu mengecutkan jerawat,” katanya.

Dia yang melakukan amalan tradisional setiap dua minggu sekali merasai kesannya kepada kulit. Walaupun hasilnya tidak serta-merta namun jika dilakukan secara konsisten kulit menjadi lebih mulus dan berseri. Amalan lama tanpa mengeluarkan modal ini seharusnya dilakukan bersama dengan penjagaan kulit harian.

Bagi Noor Sholihah Mohamed Daud, keterujaan mengamalkan petua lama bermula sejak zaman remaja kerana beranggapan kulit harus dijaga seawal mungkin. Bermula dari situ, dia banyak membaca menerusi majalah dan melayari Internet bagi mendapatkan maklumat mengenai amalan orang terdahulu yang boleh dipraktikkan.

“Antara petua yang saya amalkan adalah memakai bedak sejuk pada waktu malam yang dihasilkan sendiri oleh opah. Bedak sejuk turun-temurun ini menjadi pupur terbaik untuk kulit berjerawat. Tidak menggunakan sebarang bahan kimia dan jika dipakai kerap kulit menjadi licin dan cerah. Parut jerawat juga akan pudar sedikit demi sedikit. Bedak sejuk juga tidak memerlukan belanja yang besar malah boleh dihasilkan sendiri,” katanya.

Selain bedak sejuk, Noor Sholihah turut menggunakan tomato sebagai topeng wajah. Caranya hancurkan tomato yang sudah masak kemudian gosok pada kulit muka. Biarkan selama 15 minit dan bilas dengan air bersih. Lakukan dua kali seminggu untuk kesan optimum.

“Tomato sangat berkesan mengecutkan jerawat dan menghaluskan liang pori. Ini kerana kandungan antioksidan seperti likopena dan zeaxanthin dalam tomato mampu melawan kesan kerosakan sel kulit oleh radikal bebas.

“Biji tomato pula berkhasiat dan mampu merawat pelbagai masalah kulit. Ia melambatkan penuaan. Caranya dengan menyapu tomato kisar ke wajah sebelum tidur dan hanya basuh keesokan paginya,” katanya.

Melihat wajahnya ramai beranggapan dia masih muda dan belum mencecah angka 30. Hakikatnya wanita ini sudah memasuki penghujung usia 30-an dan mempunyai empat cahaya mata. Mengakui tidak mempunyai petua khusus untuk tampil muda, menurut Kam Haryatie Abdul Mutalib, amalan minum air kosong dua liter sehari, pantang air manis, berkarbonat dan berais menjadi amalannya sejak zaman remaja. Jika ada pun hanya sekali dua dalam sebulan demi melepaskan keinginan di hati.

“Saya mengelak mengambil ais dan biasanya minum air suam setiap hari. Sebelum tidur saya amalkan minum segelas air dan segelas lagi sebaik bangun tidur. Saya juga tidak memakai sebarang solekan cuma krim pelindung matahari. Jika ada majlis atau acara yang memerlukan saya berdandan cantik barulah saya bermekap nipis saja,” katanya.

Percaya kepada makanan tambahan terutama produk yang melalui penyelidikan bertahun-tahun lamanya, bagi Kam Haryatie ia sangat penting kerana produk yang bagus akan memberikan kesan yang baik kepada tubuh. Dia juga sering berkongsi panduan dengan pembaca mengenai pemakanan sihat menerusi blog mommyshabah.com.

Tambahnya lagi, dengan rutin harian yang padat sebagai pekerja, ibu dan isteri sudah pasti tekanan sentiasa dihadapinya. Namun wanita ini sentiasa bersikap positif dengan memperbanyakkan beristighfar, senyum dan bersyukur dengan apa yang ada.

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 10:39am
d