hati

Urutan awet muda

Oleh HM Digital

Tekanan di tempat kerja, kesibukan menguruskan suami dan anak-anak di rumah membuatkan wanita mengalami keletihan melampau. Akibatnya tubuh menjadi lesu, tidak bertenaga dan mudah mengantuk. Wajah pula kusam dan tidak bermaya disebabkan pengaliran darah kurang lancar.

Kesannya apa juga alat solek yang disapu ke wajah hasilnya tidak seperti yang diimpikan. Walaupun anda mungkin pernah menggunakan produk yang sama namun mekap dikenakan kurang serasi dan tidak menjadi. Jika kereta memerlukan penyelenggaraan selepas digunakan dalam jarak tertentu, wanita juga perlu mempunyai masa rehat sendiri untuk mengembalikan kesegaran tubuh.

Salah satu rawatan tradisional yang boleh dilakukan adalah berurut yang bukan saja dapat melegakan otot badan, juga menjadikan wajah tampil awet muda.

Menurut pemilik Spa Kayu Manis di Bangi Gateway, Rosmah Ibrahim, tanggapan mengatakan urutan hanya sesuai untuk wanita selepas bersalin adalah kurang tepat. Amalan turun-temurun ini jika dilakukan secara konsisten akan membolehkan badan memberikan tindak balas positif lantas menunjukkan keberkesanannya.

“Antara paling ketara adalah awet muda dan cergas sentiasa. Penggunaan minyak urut akan meresap ke dalam kulit seterusnya membuka liang roma menjadi lebih besar. Secara tidak langsung ia membantu menyingkirkan kekotoran. Belaian tangan ajaib pakar terapi pula memberikan kelegaan, sekali gus merehatkan fikiran daripada sebarang masalah.

“Muzik perlahan yang dimainkan bersama aroma rempah adalah kunci utama otak dapat ‘dikosongkan’ seketika. Ini membuatkan emosi wanita menjadi lebih stabil dan kembali normal,” katanya.

Tambahnya lagi, selain urutan seluruh anggota badan, rahim adalah kawasan yang perlu diberikan perhatian. Bagi wanita yang pernah melahirkan anak, suka mengangkat barang berat, mempunyai berat badan melampau, berasa sakit pada bahagian ari-ari dan sukar mengawal kencing, berkemungkinan peranakan sudah turun.

“Urutan bertujuan membetulkan kedudukan dan mengangkat kembali rahim sekiranya jatuh. Anda boleh meminta terapi memegang bahagian rahim dan memeriksa sama ada ia berada pada kedudukan betul atau sebaliknya. Jika tidak rahim boleh disengkak dan dilakukan mereka yang pakar. Sangat penting menjaga kedudukan rahim kerana peranakan yang sihat akan terpancar menerusi kulit yang segar dan berseri,” katanya.

Menyediakan urut tradisional dan Bali di spa, jelas Rosmah, kedua-keduanya ada kelebihan tersendiri. Urut tradisional kesannya lebih kuat manakala Bali memberikan kelegaan pada otot. Pelanggan boleh membuat pilihan sama ada inginkan urut tradisional atau aroma terapi.

Wanita amat digalakkan mendapatkan urutan kerana jika dijadikan amalan, perjalanan darah di dalam tubuh menjadi lebih lancar.

Begitu juga dengan sistem perkumuhan sama ada air besar, air kecil, peluh dan pernafasan turut menjadi lebih sihat. Apabila perjalanan darah di dalam tubuh berjalan lancar, seri kecantikan semula jadi akan terpancar dengan sendirinya menerusi wajah.

“Untuk tradisional, juruterapi akan melakukan sentuhan pada bahagian titik sentuh di badan. Hanya yang berpengalaman dan terlatih saja tahu mengenai kawasan ini dan mengurut mengikut tertib tertentu. Ia bermula daripada kepala, turun ke badan pinggang dan kaki,” katanya.

Setiap urutan akan mengambil masa satu atau dua jam. Malah wanita yang kesuntukan masa boleh mendapatkan ‘belaian’ menerusi perkhidmatan spa bergerak di kawasan sekitar. Ia disediakan untuk wanita selepas bersalin serta mereka yang inginkan urutan sekadar melegakan tekanan selepas penat bekerja.

“Disebabkan kebanyakan wanita bekerja, ramai yang tiada masa membelai diri di spa. Untuk itu kami menerima banyak permintaan perkhidmatan urut di rumah. Sebagai memenuhi permintaan wanita terutama golongan ibu, spa bergerak diperkenalkan dengan memberikan tumpuan kepada urutan dan penjagaan selepas bersalin,” katanya yang mempunyai empat cawangan spa di Lembah Klang dan satu di Janda Baik, Pahang.

RAWATAN WAJAH GUNA BUAH-BUAHAN

Sebagai kesinambungan mendapatkan wajah segar dan berseri, spa ini turut menyediakan rawatan topeng wajah menggunakan buah-buahan dan sayur-sayuran segar seperti pisang, lemon dan strawberi dicampur madu dan dadih.

Ujar Rosmah, ia bermula selepas menerima permintaan pelanggan yang inginkan bahan semula jadi untuk wajah mereka dan ia memberi ruang kepada pihaknya untuk tampil dengan topeng wajah buatan sendiri.

“Buah-buahan terkenal dengan kandungan vitamin C dan baik untuk kulit. Pisang misalnya selain tinggi karbohidrat ia juga kaya serat. Sejak zaman dulu kulit pisang digunakan bagi memudarkan parut jerawat, isinya pula dijadikan pupur wajah. Tanpa campuran bahan kimia, pisang memberikan 100 peratus kebaikan asli pada kulit. Campuran pisang, dadih dan madu memberikan keanjalan kulit,” katanya.

Sebelum rawatan topeng wajah dilakukan, kulit diurut bagi menaikkan seri wajah. Di Indonesia, urut muka atau totok wajah terkenal kerana ia berfungsi melambatkan kedutan, melancarkan perjalanan darah, menjadikan kulit lebih anjal dan meremajakan kulit.

Selepas urutan dilakukan selama 15 minit, bahan pupur ini disapu dan dibiarkan selama 15 minit. Hanya selepas topeng ini kering barulah wajah dibersihkan dengan air.

“Bagaimanapun, pelanggan boleh memilih buah-buahan lain bergantung kepada jenis kulit,” katanya yang mempunyai empat juruterapi berpengalaman dan seorang pengurus yang mengendalikan urusan di spa.

Untuk pakej penjimatan, pelanggan boleh memilih pakej rawatan pada harga berpatutan. Antaranya sauna dan urut aromaterapi pada harga RM188 manakala urut tradisional dan rawatan wajah pada harga RM208.

Rosmah turut membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat untuk sama-sama menyertai keluarga spa Kayu Manis dan menimba pengalaman sebagai juruterapi.

“Dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ini, wanita boleh mencuba kemahiran sebagai juruterapi kerana peluang kerjaya ini sangat luas. Kami mengalu-alukan individu yang ingin mendapatkan pengalaman berharga ini dengan bekerja sebagai juruterapi. Banyak keistimewaan diberikan selain menimba pengalaman dengan juruterapi berpengalaman, malah mereka juga boleh membuka perniagaan dalam bidang kecantikan suatu hari nanti,” katanya. - Siti Zarinah Sahib

Disiarkan pada: January 31, 2018 @ 12:12pm
d