hati

Mah Sing hulur sumbangan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Kegagalan buah pinggang tidak berlaku semalaman. Ia adalah hasil kehilangan fungsi buah pinggang secara beransur-ansur.

Apabila buah pinggang anda tidak dapat lagi menjaga keperluan badan, rawatan dialisis menjadi salah satu pilihan bagi mereka yang didiagnosis dengan kegagalan buah pinggang.

Dalam usaha untuk membantu pesakit mendapat akses kepada rawatan yang berkesan, Yayasan Mah Sing komited untuk membantu mereka yang memerlukan dengan menyumbangkan mesin dialisis ke Hospital Tanjung Karang di Selangor, baru-baru ini.

Mesin dialisis itu disampaikan oleh Pengerusi Yayasan Mah Sing, Datuk Indera Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman kepada Pengarah Hospital Tanjung Karang, Dr Mohd Zamri Wagiman @ Saim.

Syed Norulzaman berkata, yayasan itu percaya pelaburan untuk hari esok yang lebih baik boleh dicapai jika bekerjasama dalam membantu mereka yang memerlukan dengan menyokong program seperti itu.

Katanya, terdapat 54 pesakit yang menerima rawatan dialisis di hospital itu dan lebih banyak mesin dialisis diperlukan untuk merawat pesakit dengan berkesan.

“Pesakit yang menjalani rawatan dialisis lazimnya pergi ke hospital minimum tiga kali seminggu selama empat jam. Penambahan mesin dialisis baru ini akan membolehkan hospital merawat lebih banyak pesakit dan meningkatkan kualiti hidup mereka,” katanya.

Turut hadir pada majlis penyerahan itu, Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Tanjung Karang, Jailani Arshad dan kakitangan hospital.

Sementara itu, Dr Mohd Zamri berkata, mesin dialisis menapis darah pesakit untuk mengeluarkan lebihan air dan bahan buangan apabila buah pinggang rosak dan tidak berfungsi.

Katanya, fungsi mesin dialisis untuk menggantikan fungsi buah pinggang yang gagal. Mesin itu akan diletakkan di bawah Unit Hemodialisis di hospital yang menyediakan rawatan hemodialisis untuk pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang peringkat akhir.

“Unit ini juga menyediakan terapi penggantian buah pinggang yang berterusan untuk kegagalan buah pinggang peringkat akhir dan klinik nefrologi untuk pesakit yang menjalani dialisis dan juga untuk pesakit rujukan.

“Ini adalah sumbangan yang sangat bermakna daripada Yayasan Mah Sing. Kami sentiasa berterima kasih kepada penyokong kami yang sanggup menyumbang untuk membantu meningkatkan kemudahan hospital kerana ini akan memberi perbezaan besar kepada semua pesakit kami yang memerlukan rawatan dialisis,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2018 @ 1:19pm
d