hati

Baju sukan selesa

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Lambakan baju sukan wanita di pasaran kebanyakannya mempunyai rekaan hampir sama, tidak versatil dan ada yang kurang selesa disebabkan saiznya terlalu ketat.

Masalah itu menyebabkan golongan terbabit terpaksa menyarung pakaian yang agak tidak sesuai dengan aktiviti lasak dan menimbulkan rasa kurang selesa ketika bersukan atau bersenam.

Memilih konsep ‘powerful vision’ jenama EliaZain tampil dengan koleksi pakaian sukan terbaru khususnya untuk wanita yang gemar bersukan namun masih mahu tampil sopan dengan gaya terkini.

Pengasasnya, Elia Md Zain berkata, koleksinya sesuai untuk wanita berusia antara 16 hingga 50 tahun yang gemar bersukan dan beriadah namun mahu tampil dengan gaya sopan serta tidak terlalu ketat.

“Menerusi perincian ‘piping’ yang menggunakan 100 peratus kulit kambing, ia memberi satu kelainan berbanding koleksi pakaian sukan sedia ada di pasaran.

“Kami menawarkan pilihan warna menarik antaranya hitam, kelabu, putih dan biru muda untuk menampakkan keharmonian dalam rekaan kali ini,” katanya.

Elia berkata, dengan menggunakan material sesuai seperti spandex, kulit asli, microfiber, mesh dan kain kapas 100 peratus, koleksi ini direka mengikut kehendak pengguna serta perkembangan fesyen semasa.

“Harga untuk setiap koleksi antara RM100 hingga RM200 dan ia bergantung kepada pemilihan fabrik serta rekaan yang dipilih pelanggan.

“Namun kami menjanjikan kepuasan dengan kualiti terbaik.

“Setiap rekaan kami juga dijahit dengan teliti bagi memastikan tidak berlaku sebarang masalah berkaitan kualiti bagi setiap helaian koleksi,” katanya.

Tambah Elia, semua koleksi pakaian sukan ini mempunyai pilihan saiz bermula S hingga XL.

“Kami menjanjikan satu kelainan dalam pakaian sukan ini dan ia antara koleksi yang dapat memberi satu kepuasan luar biasa kepada pemakai.

“Sambutan diterima juga sangat memberangsangkan untuk permulaan 2018 ini dan rata-rata pelanggan berpuas hati dengan rekaan, perincian serta keselesaan koleksi ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 8:50am
d