hati

Penyeri majlis keraian

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Kelab tarian Rentak Cilik Raub (RCR) yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu semakin dikenali ramai terutama sekitar Raub, Pahang apabila kerap menerima jemputan mengadakan persembahan tarian tradisional di majlis rasmi, keramaian dan perkahwinan.

Lebih daripada itu, bakat kanak-kanak yang berusia sembilan hingga 12 tahun itu terus digilap oleh mereka yang berpengalaman dalam cabang seni untuk menyertai pelbagai pertandingan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Jurucakap kelab berkenaan, Faizeani Hamzah, 37, berkata, seramai 20 ahli yang terdiri daripada murid sekolah rendah sekitar bandar Raub itu memiliki bakat semula jadi, secara tidak langsung menjadikan mereka lebih mudah mengikuti gerak tari yang diajar ketika menjalani latihan.

“Penari muda ini obses dengan tarian tradisional, pantang dipelawa bertanding terus bersemangat untuk berlatih dan saya sebagai tenaga pengajar kagum melihat semangat mereka. Mereka mempunyai potensi yang tinggi dan boleh diketengahkan.

“Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya, disiplin dan kerjasama berpasukan mereka sangat tinggi untuk membawa tarian tradisional terutama tarian tradisional Melayu dan tarian rakyat ke pentas antarabangsa,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Faizeani yang juga jurutari kelab berkata, latihan selama dua jam diadakan setiap hari selepas waktu sekolah dan diteruskan pada Sabtu dan Ahad jika ada pertandingan.

“Walaupun berhadapan masalah kewangan setiap kali sertai pertandingan, RCR tidak menjadikannya sebagai halangan dan tetap berusaha mendapatkan sumbangan sama ada daripada orang ramai atau syarikat korporat yang bermurah hati.

“Saya bersama ibu mereka sanggup ‘tebalkan’ muka mohon sumbangan untuk menyediakan kelengkapan pakaian dan aksesori tarian serta perbelanjaan sewaktu pertandingan berlangsung dan kebiasaannya kami tidak pulang dengan tangan kosong,” katanya yang juga bekas penari kumpulan kebudayaan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Menurutnya, antara kenangan manis sepanjang bersama penari muda itu ialah ketika mengadakan persembahan di Majlis Ambang Merdeka 2017 dan Majlis Ramah Mesra bersama Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sementara itu, empat ahli yang ditemui ternyata begitu berminat dengan tarian tradisional kerana gerak langkah tariannya kemas dan cantik.

Sharifah Nur Syafina Idid Syed Azalan Idid, 13, mula meminati seni tarian tradisional Melayu sejak tiga tahun lalu, mengikut jejak arwah neneknya yang juga bekas penari kebudayaan, Badariah Mohd Idris.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan, Kuantan itu, menari adalah ‘kecintaannya’ dan akan diteruskan selagi masih diberi peluang.

Atlet pasukan Gimrama Majlis Sukan Pahang (MSP) sejak berusia enam tahun lagi itu menjalani latihan solo antara satu hingga dua jam beberapa hari seminggu di bawah pemantauan guru tari dan latihan secara berkumpulan di sebelah malam.

“Gimrama dan dan tarian kebudayaan adalah dua cabang seni yang berbeza tetapi saya suka gabungkan kedua-duanya ketika menyertai pertandingan kerana ia menghasilkan satu pergerakan yang amat unik dan berbeza dengan persembahan lain.

“Saya juga lebih suka tarian kebudayaan yang berseni dengan pergerakannya tersusun cantik dan lemah gemalai berbeza dengan tarian moden yang rancak dan lincah,” katanya. Dia kerap dijemput mewakili Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chai, Semambu dalam membuat persembahan dan pertandingan yang disertainya.

Nur Adha Asrina Mohd Kamal, 7, pula obses dengan tarian sejak berusia empat tahun lagi dan berhasrat bergelar penari tarian tradisional terkenal suatu hari nanti.

Katanya, dia gembira dan teruja setiap kali dibawa keluarga menyaksikan persembahan tarian tradisional malah selalu meniru gaya penari sekembali daripada menonton.

“Saya kecil lagi dan masih banyak yang perlu dipelajari tetapi ia bukan masalah kerana saya amat meminati bidang ini dan seronok dapat menggayakan pakaian tradisional yang cantik dan berwarna warni,” kata murid Sekolah Rendah (SK) Sungai Karang itu.

Nurul Amiera Syahira Zulkifli, 11, pula berkata, dia mula meminati bidang tarian sejak di Tadika lagi dan sukakan tarian tradisional berbanding moden.

Katanya, dia teruja setiap kali berpeluang menyertai pertandingan tarian yang disertai kumpulannya kerana dapat memperkenalkan pelbagai jenis tarian tradisional pelbagai kaum yang wujud di negara ini.

“Saya suka tarian tradisional kerana ia terdiri daripada pelbagai rentak inang, zapin, joget dan Melayu asli. Semoga tarian ini akan terus diwarisi dan tidak luput ditelan zaman,” kata murid SK (Perempuan) Methodist, Raub itu.

Berbeza dengan rakannya, Nurul Alya Natasha Jamaludin, 11, yang akan meletak ‘titik noktah’ untuk hobinya itu apabila meneruskan persekolahan di peringkat menengah.

“Saya mencintai tarian tetapi minat itu terpaksa diketepikan untuk memberi fokus kepada pelajaran dan mencapai cita-cita bergelar doktor haiwan suatu hari nanti.

“Dalam apa juga bidang yang diceburi, kerjasama berpasukan memainkan peranan penting dan saya bersyukur sangat kerana kawan-kawan sentiasa memberi yang terbaik untuk mencapai kemenangan dalam setiap pertandingan yang disertai,” katanya.

Pencapaian

• Sharifah Nur Syafina Idid Syed Azalan Idid memperoleh dua anugerah emas di International Youth Arts Festival 2016 di Beijing, China dan anugerah emas dan perak di Spring International Youth Arts Festival 2017 dan anugerah perak di Summer International Youth Arts Festival 2017 di Kuantan, Pahang.

• Rentak Cilik Raub menyertai Pertandingan Tarian Tradisional Antara Sekolah Kluster Peringkat Kebangsaan 2016.

• Juara Keseluruhan, Koreografi Terbaik dan Busana Terbaik Pertandingan Moh Joget Pahang 2016 sempena Tahun Melawat Pahang 2017.

• Juara keseluruhan dan Koreografi terbaik Pertandingan Tarian Tradisional peringkat Daerah Raub 2017.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 12:18pm
d