hati

Antara penyeri, gangguan

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Bagi kebanyakan orang, memiliki tahi lalat di wajah sering dianggap sebagai ‘penyeri’. Lihat saja beberapa selebriti Hollywood yang tampil anggun dan berkeyakinan biarpun wajah dihiasi tahi lalat yang jelas ketara.

Namun ‘tanda’ itu jugalah membawa nama mereka gah di seluruh dunia seperti model antarabangsa dan pelakon, Cindy Crawford selain Marilyn Monroe yang digambarkan sebagai antara ikon wanita tercantik di Hollywood.

Kejelitaan mereka tidak dapat disangkal dan tambah indah apabila wajah dihiasi tahi lalat yang menjadi daya tarikan.

Tahi lalat atau daripada definisi perubatan ialah nevus pigmentosus. Setiap orang memiliki tahi lalat dengan ukuran yang berbeza-beza, dari kecil sehinggalah yang besar dan menonjol.

Ia juga petunjuk kepada pengumpulan pigmen di bawah kulit sejak lahir dan tahi lalat boleh bertambah banyak seiring peningkatan usia.

Pakar Estetika Dr Riza Hartini Razali berkata, secara umum sebahagian besar tahi lalat tak berbahaya namun ia boleh bertukar sifat menjadi tidak stabil dan melarat sehingga menyebabkan kanser kulit melanoma maligna.

Menurutnya, faktor keturunan juga tidak boleh dipandang remeh kerana banyak keluarga yang mempunyai tahi lalat atipikal yang boleh dikaitkan dengan frekuensi tinggi melanoma atau kanser kulit.

“Bagaimanapun, bintik hitam atau coklat pada permukaan kulit ini sering menimbulkan tanggapan sama ada membawa tuah atau sebaliknya.

“Ramai yang ingin membongkar rahsia atau maksud tersirat di sebalik tahi lalat anda. Bagi yang mempercayai ketumbuhan ini boleh memberi tuah akan membiarkannya tetapi yang berasakan kecantikannya tercalar atau mempercayai boleh membawa kemudaratan, akan berusaha untuk membuangnya,” katanya.

Dr Riza yang juga pengasas Butik Kecantikan Ariana Ming (AM Beauty) menjelaskan, beberapa tanda tahi lalat mencurigakan yang perlu kita perhatikan adalah ABCDE iaitu:

• A - Asimetri (simetrisitas)

• B - Border (permukaan) - Berbeza dan tidak rata daripada tahi alat asal

• C - Colour (warna) - Berdarah, gatal, merah, bengkak

• D - Diameter (berbeza)- Tahi lalat abnormal memiliki diameter lebih besar, boleh melebihi dari 6 milimeter (mm)

• E - Evolving (berkembang)- Membesar dengan cepat

Katanya, untuk mendapat kepastian sama ada tahi lalat yang dimiliki boleh mendatangkan mudarat, doktor perlu melakukan pemeriksaan sampel atau biopsi.

Rawatan

Katanya, tahi lalat boleh dibuang melalui pembedahan kecil di hospital dan klinik serta dikendalikan doktor pakar kulit, doktor perubatan estetika dan doktor am.

Menerusi pembedahan, cebisan yang dibuang itu akan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan lanjut bagi mengesahkan ia bebas sel kanser melanoma yang diuruskan pakar patologi.

Beliau berkata, tahi lalat yang tidak berbahaya dan hanya mengganggu penampilan biasanya cukup ditangani dengan pembedahan kecil menggunakan pelbagai teknik seperti melecuhkan (cauterization) menggunakan tenaga panas atau laser.

Kaedah laser bagi membuang tahi lalat dianggap lebih selamat dan cepat namun paling penting, ia meninggalkan kesan parut minimum, selain tiada pendarahan berlaku sewaktu prosedur dijalankan.

“Pemeriksaan perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan tahi lalat berkenaan bebas kanser melanoma. Selepas tidak menemui sebarang simptom kanser, baru prosedur menggunakan laser dapat dilakukan,” katanya.

Menjelas lanjut, Dr Riza berkata, melanoma adalah sejenis kanser kulit yang paling serius dengan penyebabnya adalah radiasi sinar ultra ungu (UV) yang berlebihan dan faktor genetik.

Jika didapati mempunyai risiko melanoma, pakar kulit akan menjalankan beberapa ujian saringan sebelum rawatan ekstensif seperti:

1. Pembedahan - untuk membuang sel terbabit dan sel di sekelilingnya bagi memastikan tiada sel melanoma yang tinggal. Bahkan bahkan kelenjar limfa yang terdekat juga akan dibuang jika melanoma sudah merebak.

2. Kemoterapi - untuk menangani melanoma yang sudah melarat ke bahagian tubuh lainnya.

3. Imunoterapi - bertujuan mendorong sistem kekebalan tubuh melawan sel kanser yang merebak.

Menurut Dr Riza, apabila seseorang individu memiliki banyak tahi lalat, ada beberapa faktor yang perlu mereka pastikan antaranya melindungi diri daripada sinar UV berlebihan kerana sinar UV adalah antara risiko mendapat kanser kulit.

“Jenis kulit dan pendedahan kepada sinar UV matahari menjadi faktor yang sangat berpengaruh dalam meningkatkan risiko kanser kulit selain sejarah keluarga yang pernah mengalami melanoma.

“Selain itu, individu yang berkulit cerah perlu lebih peka dengan risiko ini kerana melanoma terjadi apabila pigmen kulit mengalami pembahagian sel secara cepat dan kadar melanin yang rendah secara berlebihan.

“Jika khuatir dengan tahi lalat yang baru muncul atau melihat adanya perubahan seperti yang dinyatakan, segera temui doktor untuk memastikan keadaan kulit tidak menjadi lebih serius. Pencegahan sentiasa lebih baik daripada rawatan,” katanya.

Mitos tahi lalat

Adakah anda akan membuang atau mengekalkan tahi lalat, jika tahu maksudnya? Kepercayaan Cina kuno mengatakan tahi lalat mungkin bermaksud tuah atau malang, bergantung pada lokasi, warna dan saiznya.

Tahi lalat di muka dikatakan mempunyai maksud tertentu jika ia menonjol atau jika hanya ada satu. Tahi lalat yang banyak di muka dikatakan kurang bermakna kerana kehadirannya tidak unik.

Sekadar berkongsi kepercayaan mengenai kehadiran tahi lalat pada bahagian tertentu wajah dan badan, namun tidak dapat disahkan maksud ini benar atau tidak.

Wajah

• Tahi lalat di bawah kening dikatakan menandakan kecerdasan dan kreativiti. Kemahiran ini boleh membawa kemasyhuran, kejayaan, dan kekayaan.

• Tahi lalat yang terletak di bahagian tengah di atas bibir menunjukkan potensi untuk memiliki keluarga yang besar dan sokongan emosi berterusan.

• Tahi lalat pada kedua-dua belah mulut adalah petunjuk kehidupan yang seimbang dan berjaya. Individu itu bukan saja kaya, terkenal dan gaya hidup yang mewah, tetapi juga menikmati kepuasan di rumah. Wanita dengan tahi lalat ini mungkin sangat cantik.

• Tahi lalat di tengah dahi menunjukkan semangat kreatif, rajin, namun sangat riang. Individu ini adalah pemimpin yang hebat dan mungkin menjadi usahawan yang berjaya.

• Tahi lalat pada kedua-dua hujung kening menunjukkan individu yang kuat dan berkuasa besar. Individu ini mungkin menjadi pemimpin syarikat atau pemilik perniagaan yang ideal.

Selain itu, tahi lalat di anggota badan juga dikatakan membawa maksud atau sikap tertentu individu:

• Ketiak kanan - Dapat menyimpan rahsia

• Ketiak kiri - Jujur, banyak yang suka

• Pergelangan kaki kanan - Suka keluar rumah

• Pergelangan kaki kiri - Mempunyai kehendak yang kuat

• Tumit kanan - Jujur dan banyak kawan

• Tumit kiri - Baik budi

• Pangkal paha kanan - Ada kemahuan yang kuat

• Tapak kaki kanan - Tidak mudah mengeluh

• Jari kaki kanan - Suka menolong

• Jari kaki kiri - Berbudi, suka berbuat baik

• Bahu kanan - Cermat dalam membuat keputusan, banyak tanggungan

• Bahu kiri - Suka kerja keras, banyak tanggungjawab

• Lengan kanan - Setia dan taat pada atasan

• Lengan kiri - Menepati janji dan rajin

• Pusat - Cerdas, tangkas, tekun

• Pinggang kanan - Sayang pada pasangan hidup

• Pinggang kiri - Disayang pasangan hidup

• Jari tangan kanan - Selalu beroleh keuntungan

• Jari tangan kiri - Bekerja dengan baik

• Jari telapak tangan kanan - Banyak rezeki tapi boros

• Jari telapak tangan kiri - Banyak rezeki dan cermat

• Perut bawah kanan - Banyak rezeki, suka memberi maaf

• Perut bawah kiri - Baik hati, tenang hidupnya

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 3:05pm
d