hati

Wanita perlu bijak urus masa

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Belum hilang penat menguruskan anak dan soal rumah tangga di rumah, disambung pula dengan lambakan tugasan di pejabat.

Kadangkala kesibukan dalam rutin harian seorang wanita menyebabkan dia tidak sempat menjamah makanan.

Namun demi kasih dan tanggungjawab, wanita tetap berdiri teguh dan melupakan segala kepenatan dirasai demi memastikan kebahagiaan hidup berkeluarga dapat dikecapi.

Mungkin golongan itu sekadar mengeluh dalam diam terutama demi menjaga hati si suami namun wanita juga manusia biasa yang mempunyai batas kesabaran.

Dalam senario itu, langkah terbaik adalah dengan memberikan golongan itu waktu berehat sebentar khas untuk dirinya sendiri sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Berapa lama masa yang diluangkan untuk diri sendiri itu, terpulang kepada penilaian masing-masing.

Waktu itu boleh digunakan sebaik mungkin untuk melakukan apa juga aktiviti yang digemari sekali gus menghilangkan sedikit tekanan dan kepenatan dirasai.

Mungkin ia dianggap remeh, namun percayalah kebahagiaan sesebuah keluarga bergantung kepada wanita yang bergelar isteri juga ibu kepada anak-anak. Jika gembira mereka maka gembiralah seluruh keluarga.

Pastinya ramai yang pernah berdepan dengan situasi atau mendengar cerita keadaan rumah menjadi huru-hara apabila ibu yang menjadi peneraju utama rumah tangga ‘terpaksa’ berehat di bilik kerana demam.

Berkongsi rutin harian dalam menguruskan enam cahaya mata yang semuanya masih kecil, wanita hebat, Tuan Norsuzlia Idayu Tuan Hussin, 35, berkata, dia mempunyai cara tersendiri untuk melegakan tekanan dan kepenatan dirasai.

“Bohonglah jika saya kata tidak penat, saya perlu menguruskan enam anak termasuk suami dan hal ehwal rumah seperti memasak, mengemas juga membasuh pakaian.

“Saya bangun seawal jam 5.45 pagi setiap hari dan tidur pada jam 12 tengah malam atau 1 pagi. Saya perlu susun setiap rutin sebaik mungkin untuk memastikan semuanya berjalan lancar terutama berkaitan anak-anak,” katanya.

Dia bersyukur, walaupun sibuk namun dia berjaya menguruskan semuanya tanpa bantuan pembantu rumah.

Memandu sendirian hilangkan penat

Jika orang lain cuba mengelak daripada memandu, namun bagi Tuan Norsuzlia, itu adalah saat yang ditunggu apatah lagi selepas anak-anak ke sekolah. Memandu bersendirian sambil mendengar radio menjadi terapi buat ibu sibuk itu walaupun pemanduan solo berkenaan hanyalah dari rumah ke kedai berhampiran.

Menurut Tuan Norsuzlia Idayu, dengan cara itu sedikit sebanyak tekanan dan kepenatan yang dialami dapat diatasi.

“Saya gembira dianugerahkan cahaya mata yang ramai tetapi ada kala terasa penat menguruskan semua hal rumah tangga dan anak-anak. Saya perlukan masa untuk diri sendiri.

“Anak semua masih kecil, iaitu dari usia enam bulan hingga 11 tahun. Sebelum masuk waktu Subuh saya kejutkan anak-anak bangun untuk mandi, menunaikan solat, bersiap, bersarapan dan pergi ke sekolah.

“Selepas itu saya terus mengemas rumah sambil menguruskan dua lagi anak yang berusia tiga tahun dan enam bulan. Saya juga perlu pastikan siap memasak sebelum jam 11 pagi. Saya juga perlu sediakan bekalan makanan untuk anak-anak ke sekolah petang dan bekal suami sekiranya dia tidak makan di rumah,” ujarnya.

Tambah Tuan Norsuzlia Idayu, rutinnya tidak berhenti di situ kerana dia perlu menyiapkan anak-anak ke sekolah sesi petang.

“Memang tugas saya tidak berhenti, dari pagi hingga ke lewat malam. Pada waktu malam, saya temankan anak menyiapkan kerja sekolah.

“Saya tetapkan peraturan di rumah dan anak perlu tidur pada jam 10 malam. Ketika itu barulah saya boleh duduk tenang sedikit dan biasanya masa berkenaan digunakan untuk menggosok dan mencuci pakaian,” katanya.

Inilah jadual harian Tuan Norsuzlia Idayu setiap hari. Walaupun penat namun dia tetap bersyukur kerana boleh melakukannya sendiri sambil melihat anak-anak membesar.

Suami banyak membantu

Bantuan yang dihulurkan suami memang ditunggu dan disambut dengan senyuman manis. Dia mengakui beruntung dianugerahkan suami yang rajin membantu dan menghargai jasa isteri.

“Ada kala suami suami pergi ke tempat kerja agak lewat dan dialah yang menguruskan anak-anak ketika saya sibuk memasak.

“Seronoknya, kadang-kala suami memberi keizinan kepada saya pergi ke spa atau pusat kecantikan untuk saya berurut atau menjalani rawatan wajah. Itu adalah masa untuk saya memanjakan diri dan boleh berehat sebentar daripada memikirkan soal anak-anak,” katanya.

Dalam sibuk itu, dia masih ada masa untuk menjalankan perniagaan sambilan dengan menjual brownies yang disediakan sendiri.

“Memang ada yang bertanya bagaimana saya menguruskan masa, kerana jika dilihat saya seolah-olah tiada waktu berehat. Masa itu ada, cuma kena pandai memanfaatkannya. Saya sering melihat kalau orang lain boleh melakukan banyak kerja dalam sehari, tentu saya juga boleh apatah lagi melakukan perkara yang diminati.

“Mungkin inilah sebabnya saya masih boleh menyiapkan tempahan pelanggan. Hilang rasa penat dan tertekan apabila melihat brownies yang ditempah pelanggan terhasil dengan baik. Selain seronok, dapat juga duit poket sendiri,” ujarnya.

Pun begitu, Tuan Norsuzlia Idayu mengaku, bukan semua wanita bertuah mempunyai suami yang memahami. Bagaimanapun pada pendapatnya, suami zaman moden ramai yang terpelajar dan sepatutnya mereka boleh memberi kesempatan kepada isteri mempunyai masa rehat khusus untuk dirinya sendiri terutama pada hujung minggu.

“Bagi saya ia amat penting bagi mengelakkan isteri daripada menanggung kepenatan melampau yang akhirnya boleh menjejaskan kesihatan dan emosinya. Jika dihargai begini, saya yakin semua isteri akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan ikhlas. Semua ini memberikan kesan yang amat besar dalam hubungan sebuah keluarga,” katanya.

Antara tugas yang boleh dilakukan suami untuk membantu isteri bagi meringankan bebanan tugas harian:

• Lakukan perbincangan dengan baik mengenai pembahagian tugas.

• Sediakan barang dapur yang mencukupi supaya ia memudahkan isteri untuk memasak juadah berbuka dan bersahur.

• Sesekali luangkan masa untuk menyediakan juadah makanan bersama-sama isteri terutama pada hari anda tidak bekerja.

• Sekiranya anda tidak tahu memasak atau tidak mahir di dapur, cuba lakukan tugas lain seperti membasuh pakaian, menjaga anak atau mengemas meja makan.

• Sesekali bawa isteri dan anak-anak makan di luar bagi meringankan tugas isteri (dan mengambil hatinya!)

• Jangan tunggu sehingga isteri merungut atau menyuruh. Ringankan tulang untuk sama-sama berada di dapur menyediakan semua keperluan.

• Jika nampak isteri dalam keadaan penat atau tertekan, carilah cara untuk menggembirakannya atau mengurangkan tekanannya. Berikan dia waktu untuk diri sendiri seperti pergi ke pusat kecantikan atau melakukan apa saja yang disukai.

• Jangan menambah kepenatan isteri dengan mengarahkan melakukan pelbagai tugas dalam satu waktu.

• Jika tidak tahu cara untuk membantu, cukuplah sekadar menunjukkan keprihatinan supaya mereka rasa dihargai serta disayangi.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 11:07am
d