hati

Tidur mampu pengaruh emosi

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Bagi orang dewasa, tidur adalah waktu untuk badan berehat dan memulihkan tenaga dan bagi kanak-kanak inilah saat paling berharga. Mereka memerlukan tidur yang mencukupi untuk membolehkan proses tumbesaran dan pertumbuhan berjalan lancar.

Bagi mendapatkan tahap kecerdasan IQ yang tinggi, tidur mencukupi antara elemen paling utama dalam penyediaan dan pembentukan rangkaian saraf serta membantu perkembangan kelakuan dan menggalakkan bahasa asas serta pertuturan yang cepat.

Perunding Utama Psikologi ChildPsych, Dr Edward Chan berkata, kekurangan tidur boleh menyebabkan sel dan saraf tidak mampu berehat secukupnya. Kesan ini dialami oleh semua orang, tidak kira umur sama ada bayi, kanak-kanak mahupun dewasa.

Menurutnya, ia bakal mengakibatkan kerosakan otak pada jangka panjang yang tidak dapat dipulihkan dan masalah berkaitan tahap tumpuan atau pemprosesan maklumat.

“Apabila tidak dapat tidur mencukupi, seseorang itu mungkin mengalami masalah membuat keputusan, cara mengatasi masalah, mengawal emosi dan kelakuan serta mengendalikan perubahan semasa.

“Kekurangan tidur juga mempunyai kaitan dengan kemurungan yang menjurus kepada bunuh diri dan kelakuan berisiko melampau.

“Anak kecil yang tidak memperoleh tidur secukupnya pula lazimnya mudah marah, mengamuk dan bersifat mendadak, mengalami kemurungan, sedih dan tidak mempunyai motivasi diri,” katanya.

Dr Chan berkata, kekurangan tidur juga mungkin menyebabkan si kecil mengalami masalah kekurangan fokus, gagal dalam pembelajaran atau mudah tertekan.

“Selain itu, bayi yang kurang tidur juga boleh mengalami masalah emosi yang tidak stabil dan penurunan kemampuan untuk mengawal perasaan marahnya.

“Justeru, setiap ibu bapa perlu berusaha memberikan tidur yang cukup kepada si kecil bagi mengelak berlakunya semua kesan negatif dalam pembentukan dan tumbesaran minda anak,” katanya.

Menurutnya, selain memastikan bayi mahupun kanak-kanak memiliki tidur mencukupi, ibu bapa juga perlu menghormati perasaan mereka selain mengatur aktiviti untuk membantu diri menggunakan alat permainan kegemaran mereka.

Usaha yang dilakukan ibu bapa amat berkesan dalam mempengaruhi keperibadian anak-anak terutama dalam tumbesaran minda dan IQ mereka.

Ujian anak cukup tidur

Soalan di bawah adalah panduan untuk melihat sama ada anak anda mendapat tidur secukupnya. Jika anda menjawab ‘ya’ pada kebanyakan kenyataan, ia menandakan anak anda cukup tidur.

• Anak saya tidur dalam tempoh kurang 20 hingga 30 minit selepas waktu tidurnya.

• Anak saya boleh bangun tidur dengan senang pada waktu pagi. Dia bangun pada waktu yang sepatutnya.

• Anak saya kelihatan cukup rehat pada siang hari.

• Anak saya tetap cergas dan tidak mengantuk walaupun tidak tidur seketika pada waktu siang.

• Anak saya tidak mengantuk ketika aktiviti senyap seperti dalam kenderaan atau menonton televisyen.

Tanda tidak cukup tidur

Jika anda menjawab ya pada mana-mana kenyataan di bawah, ia menandakan anak anda tidak cukup tidur.

• Anak saya sukar bangun pada waktu pagi.

• Anak saya terlelap balik selepas dikejutkan pada waktu pagi dan perlu dikejutkan semula beberapa kali.

• Anak saya kerap menguap pada waktu siang.

• Anak saya sering mengadu berasa penat.

• Anak saya lebih suka berbaring pada siang hari dan tidak menyertai aktiviti bersama rakan atau keluarga.

• Anak saya mahu tidur sekejap pada waktu siang.

• Anak saya kelihatan kurang menunjukkan minat, motivasi atau perhatian.

• Anak saya tertidur atau mengantuk pada waktu persekolahan atau ketika menyiapkan kerja rumah

Kaedah bantu anak tidur

Antara kaedah yang disarankan Dr Chan bagi membantu anak anda memperoleh waktu tidur yang cukup:

• Sediakan tempat tidur selesa termasuk bantal, selimut dan cadar yang bersesuaian.

• Pakaikan pakaian yang sesuai digunakan untuk waktu malam. Paling utama ia tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk.

• Tetapkan waktu tidur anak. Kebiasaannya si kecil tersayang akan mengikut pola waktu tidur yang lebih kurang sama setiap hari.

• Jangan membuka lampu atau bunyi yang terlalu bising kerana ia mengganggu si kecil untuk mendapatkan tidur yang nyenyak dan berkualiti.

• Latih anak untuk penat bermain dengan pelbagai aktiviti pada waktu siang serta kurangkan waktu tidur pada waktu siang. Cara itu akan membantu anak tidur dengan nyenyak pada sebelah malam.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 11:18am
d