hati

Berjuang lawan penyakit

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Melihat personaliti dan kecergasan dua wanita ini pasti tidak ada siapa yang menyangka kedua-duanya menghidap dua penyakit kronik dan pernah berjuang untuk meneruskan kehidupan suatu ketika dulu.

Seorang daripadanya bekas penghidap jantung berlubang kronik dan seorang lagi melalui kehidupan sukar akibat kerosakan buah pinggang yang memerlukan mereka perlu menjalani rawatan susulan dan pemeriksaan rapi serta mengambil mengambil pelbagai jenis ubat setiap hari.

Namun hari ini, mereka berjaya membuktikan dengan semangat dan kesungguhan, segalanya dapat diatasi walaupun pada mulanya sukar untuk menerima kenyataan itu.

Menceritakan detik awal apabila disahkan menghidap masalah jantung berlubang pada 2008 yang memerlukan dia menjalani rawatan susulan setiap minggu, Juliah Hitam@Itam Md Daham berkata, dia terkejut apabila mengetahui mengenai penyakit dihidapi.

“Tipulah jika saya katakan tidak sedih dengan kenyataan ini namun saya bangkit daripada kesedihan atas bantuan dan sokongan suami, anak, ahli keluarga serta rakan.

“Selain menjalani rawatan susulan mengikut jadual ditetapkan doktor, saya juga dinasihati supaya mengamalkan gaya hidup sihat terutama membabitkan pengambilan makanan dan senaman,” katanya.

Juliah berkata, disebabkan tidak mahu terus terlantar, dia tekad mengikut saranan doktor.

“Penyakit yang saya hidapi bukanlah penyakit biasa dan ia dikategorikan sebagai kronik tetapi saya tidak mahu berterusan susah hati memikirkannya. Saya perlu berikhtiar untuk teruskan kehidupan yang sihat.

“Ketika itu hospital sudah menjadi rumah kedua saya. Walaupun terpaksa berulang-alik ke hospital, saya tetap cari masa sesuai untuk bersenam terutama dengan berzumba,” katanya.

Menurutnya, dia juga mahu buktikan individu yang berpenyakit perlu bergerak aktif dan bukan hanya duduk bersedih meratapi nasib.

“Siapa mahu sakit? Jadi, saya gunakan ketentuan ini sebagai pendorong untuk berubah ke arah kebaikan terutama berkaitan gaya hidup.

“Saya dan sahabat baik mula aktif berzumba untuk sihat dan mengikut segala saranan doktor. Walaupun faktor kesihatan pada ketika itu memerlukan kami membataskan pergerakan, lama-kelamaan semuanya berubah kerana saya semakin beransur sihat dan cergas,” katanya.

Zumba ubah kehidupan

Bagi Ida Kamaruddin, disahkan menghidap sakit buah pinggang 10 tahun lalu memberi satu tamparan hebat buatnya.

“Ketika itu badan sentiasa tidak sihat, lemah tidak bermaya, loya dan tidak ada selera makan. Selepas disahkan mempunyai masalah buah pinggang, saya perlu menjalani dialisis mengikut waktu ditetapkan.

“Seperti Juliah, saya juga dinasihatkan untuk kekal aktif dan menjalani gaya hidup sihat sebagai antara cara melawan penyakit ini,” katanya.

Ida berkata, atas sebab itu juga dia bersama sahabat karibnya memilih untuk berzumba bersama-sama walaupun ketika itu kedua-duanya dalam keadaan tidak bermaya.

“Kami sama-sama nekad melawan penyakit. Sama-sama memberi dorongan dan sokongan. Walaupun bukan mudah, kami berjaya buktikan dan lakukan senaman dengan teratur.

“Syukur, selepas lapan tahun menjalani dialisis kesihatan saya menunjukkan perubahan positif dan semakin sihat bertenaga,” ujarnya.

Menurut Ida, zumba banyak membantu dirinya dan rakan kembali sihat bertenaga sekali gus berubah menjadi seorang yang gembira dan positif.

“Namun saya sekali lagi diuji apabila sepanjang 2016, terpaksa tinggal di hospital akibat masalah alahan antibiotik yang menyebabkan badan menjadi terbakar dan lumpuh.

“Kini selepas sihat sepenuhnya, saya kembali aktif berzumba dan ia banyak membantu saya kekal cergas dan membantu menurunkan berat badan. Saya cukup seronok mengenangkan pencapaian diri dan dengan berzumba berat badan saya turun 20 kilogram!” katanya sambil tersenyum riang.

Kata Ida, dia amat gembira kerana berjaya mengharungi dugaan hidup apabila disahkan mempunyai penyakit dan bersama-sama sihat bersama rakan karibnya.

“Kini saya dan Juliah bersama-sama menguruskan kumpulan zumba dan senaman di sekitar ibu kota. Sambutan yang diberikan penduduk setempat juga menggalakkan. Kami berjaya membuktikan penyakit bukan penghalang untuk terus hidup gembira terutama bersama insan tersayang,” ujarnya.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 1:51pm
d