hati

Apabila si kecil mula bergaya

Oleh Siti Zarinah Sahib

Melalui zaman peralihan kanak-kanak kepada peringkat awal remaja sememangnya memerlukan perhatian ibu bapa. Bagi kanak-kanak perempuan, emosi mereka mulai berubah disebabkan pertukaran hormon. Ada yang mulai datang haid seawal usia sembilan tahun ada pula ketika usia menginjak belasan tahun.

Oleh itu terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan tumpuan, bukan sekadar pengetahuan mengenai perubahan fizikal sebaliknya fesyen dan penampilan.

Ini kerana pada usia sebegini anak-anak remaja biasanya sudah mempunyai cita rasa sendiri dan kalau boleh mereka tidak mahu menggayakan padanan pilihan ibu bapa. Pakaian pula tidak lagi bersifat keanak-anakan sebaliknya lebih segar, menonjolkan gaya remaja dan tidak keterlaluan. Namun kesukaran mencari busana sesuai menyebabkan ada segelintir ibu bapa memberikan pakaian yang tidak sesuai dengan mereka.

Hal ini mendorong pemilik jenama Fathiyah’s Dreams Rodzi Mohamed mengeluarkan koleksi terkini remaja untuk mereka yang berusia lapan hingga 14 tahun.

Menurut Rodzi, dia sering mendengar rungutan ibu bapa mengenai kesukaran mendapatkan pakaian untuk anak remaja mereka. Jika ada ia terlalu meriah dengan warna sedangkan golongan ini jiwanya sudah beralih arah.

“Saya sedar remaja ada cita rasa sendiri. Mereka bukan lagi kanak-kanak juga bukan orang dewasa. Jadi pakaian mereka harus sesuai dengan usia. Pada umur begini mereka sendiri membuat pilihan rekaan yang diinginkan.

Gaya pula adalah gabungan antara kanak-kanak dan remaja namun lebih sopan dan menutup aurat. Apabila sudah mempunyai konsep ini lantas saya hasilkan rekaan menepati keinginan mereka,” katanya yang mula menghasilkan rekaan blaus berkonsepkan segar dan trendy.

Selain menampilkan koleksi blaus denim Laila dan tunik Tulip, terdapat juga selendang, baju kurung, skirt, palazo dan telekung. Memulakan perniagaan pada 2012 di rumah, pada asalnya idea hanya ingin membuat tudung tempahan untuk anak yang berumur enam tahun.

“Ketika itu terlalu sukar mendapatkan tudung berkualiti untuk kanak-kanak. Ramai kawan dan saudara suka rekaan yang saya hasilkan lalu membuat tempahan. Dari situlah kami bermula dan Alhamdulillah hari ini kami sudah mempunyai butik di seksyen 13, Shah Alam,” katanya.

Ujar Rodzi, kekangan modal membuatkan mereka mulanya hanya menjual menerusi media sosial Facebook seterusnya di laman sesawang.

“Permintaan yang tinggi menyebabkan kami merasakan perlunya membuka butik fizikal pertama bagi membolehkan pelanggan melihat sendiri pakaian yang kami hasilkan,” katanya.

Selain memberikan tumpuan kepada pakaian kanak-kanak dan remaja, keistimewaan busana Fathiyah’s Dreams adalah pada kualiti kain yang sangat selesa.

“Kami menggunakan kapas dan knit supaya kanak-kanak selesa dan senang diuruskan oleh ibu mereka. Kapas dan knit tidak panas dan menyerap peluh. Saya banyak menggunakan rona polos agar mudah disuai padan dengan seluar denim, skirt atau palazo,” katanya yang menyasarkan pelaburan perniagaan dengan membuka beberapa butik dalam masa tiga tahun akan datang. Untuk jangka masa lima tahun pula Fathiyah’s Dreams ingin menembusi pasar raya besar seperti Aeon Mall dan Sogo.

Lebih penting harga ditawarkan sangat berpatutan untuk tudung dan selendang dijual pada harga RM25 hingga RM39 manakala palazo, skirt dan blaus berharga RM59 hingga RM79.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 2:01am
d