hati

Kemeriahan berganda

Oleh Siti Zarinah Sahib

Bergelar mualaf tidak menjadi halangan bagi Bibi Aisyah Tan Abdullah dan pasangannya, Mohd Redzwan Shujauddin meraikan sambutan Tahun Baru Cina. Bahkan kehadiran Alicia Tan yang baru berusia tiga minggu pasti menambah kemeriahan perayaan diraikan untuk kali kelapan selepas menjadi umat Islam.

Bibi yang masih berpantang di rumah mengakui kali ini sambutan lebih menyeronokkan kerana Alicia adalah cucu ketiga dan cucu perempuan pertama bagi keluarga Tan Boon Bin. Sudah pasti kemeriahan perayaan lebih dirasai dengan kehadiran si comel yang amat dinanti-nantikan.

Ujar Bibi, seperti tahun sebelumnya dia akan pulang ke kampung meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga. Perayaan ini lebih bermakna kerana dia bebas meraikannya bersama keluarga dan menikmati hidangan enak sama ada disediakan ibu atau ditempah di restoran.

“Seperti biasa sebaik bangun pagi saya akan menyiapkan ketiga-tiga anak dengan pakaian baru. Seperti masyarakat Melayu, kami juga akan bersalaman antara satu lain dan memberikan angpau kepada ahli keluarga. Kemudian akan bersarapan bersama sebelum berkunjung ke rumah saudara-mara. Pada hari kedua atau ketiga kami akan melakukan aktiviti keluarga bersama seperti menonton wayang,” katanya.

Mengakui melalui pengalaman yang positif dan menggembirakan sejak memeluk Islam sehingga sekarang, bagi Bibi pergaulan dengan rakan Muslim dan pekerja Islam ketika berkhidmat di syarikat pengangkutan memberi banyak kelebihan kepadanya untuk mendalami Islam. Dia percaya hidayah Allah datang tepat pada masanya.

Menceritakan lebih lanjut bagaimana boleh terpikat dengan Islam, Bibi menjelaskan, ketika itu dia ditugaskan menguruskan hal ehwal pekerja terutama pemandu kenderaan dan pada masa sama suami Mohd Redzwan Shujauddin pula mengendalikan syarikat pengangkutan di bawah projek yang sama.

Pertemuan demi pertemuan bagi membincangkan hal kerja membuatkan mereka menjadi rapat. Disebabkan keserasian kedua-duanya mengambil kata sepakat untuk meneruskan hubungan dengan lebih serius.

Ujar Redzwan, dia senang berurusan dengan Bibi yang sangat memahami dan bertanggungjawab. Sepanjang bertugas Bibi dan Redzwan cuba memahami hati budi masing-masing, terbuka menerima kelebihan dan juga kekurangan pasangan.

Bibi pula melihat Redzwan sebagai lelaki yang mampu mengetuai keluarga. Jadi persefahaman ini membuatkan mereka mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

“Ketika menyatakan hasrat ingin melamarnya, Bibi tidak mengambil masa lama menyatakan persetujuan. Cuma dia bimbang sekiranya keluarga tidak bersetuju dengan pilihan hatinya kerana ibu bapanya masih lagi dengan anggapan lama mengenai orang Melayu yang dikatakan kahwin banyak, panas baran dan gemar memukul pasangan seperti yang sering dipaparkan di akhbar dan televisyen.

“Saya juga cuba menjelaskan setiap perkara negatif sebenarnya tiada kaitan bangsa sebaliknya diri sendiri. Mungkin paparan yang banyak di media masa membuatkan dia membuat anggapan begitu,” katanya.

Bagi meyakinkan keluarga, Bibi membawa Redzwan bertemu ibu bapanya di Klang. Pertemuan pertama sudah tentu banyak perkara yang dibualkan, terutama hal keluarga, kerjaya sehingga kepada agama.

Melihat kesungguhan Redzwan menyebabkan ibu bapa Bibi merestui pilihan anaknya. Mereka lebih yakin apabila Redzwan sendiri mempunyai darah campuran Melayu dan India, jadi perkahwinan campur adalah sesuatu yang biasa bagi mereka.

“Keluarga saya terbuka dalam soal perkahwinan campur. Ayah saya berasal dari India dan berkahwin dengan ibu dari Johor Bahru. Masih ramai keluarga yang menetap di India dan mereka juga kerap berkunjung ke sini. Oleh itu apabila saya menyatakan keinginan berkahwin dengan Bibi, mereka terus bersetuju,” katanya.

Bibi yang memeluk Islam pada 11 Februari 2011, tidak menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan kehidupan baru kerana Redzwan banyak memberikan tunjuk ajar terutama hal berkaitan agama. Paling menggembirakan apabila mereka dikurniakan cahaya mata pertama, Adam Tan pada 2012 yang mengukuhkan ikatan silaturahim dalam keluarga.

“Dalam keluarga Bibi, hanya dia yang sudah berkahwin. Jadi kehadiran cucu sulung sudah pasti mengeratkan lagi perhubungan keluarga, malah Adam ditatang bagai minyak yang penuh. Dia menjadi cucu kesayangan dalam keluarga dan sering dirindui sekiranya mereka jarang pulang ke Klang,” katanya yang menerima cahaya mata kedua Aaron Tan pada 2016.

Sambut dua perayaan

Bibi bertuah kerana ibu bapanya memahami larangan Islam membabitkan makanan. Sebagai anak yang manja dan rapat dengan ibu, seboleh-bolehnya ibu Bibi ingin memberikan yang terbaik kepada mereka sekeluarga. Oleh itu setiap kali pulang ke kampung, ibu bapanya akan membawa mereka keluar makan di restoran yang menyajikan makanan Muslim atau membeli makanan di luar.

“Kami sekeluarga memang penggemar makanan laut. Jadi setiap kali berkumpul ibu akan menempah meja di restoran makanan laut Muslim untuk kami sekeluarga. Saya akui makan bersama sememangnya mampu mengukuhkan perhubungan di antara satu sama lain.

“Sejak kelahiran Adam dan Aaron setiap bulan atau dua minggu sekali kami pasti pulang ke Klang atau bertemu di mana-mana lokasi. Biasanya Putrajaya menjadi lokasi pertemuan kerana berdekatan dengan Klang dan Nilai,” ujar Redzwan yang juga pengasas syampu Aura Hijab.

Meraikan kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina di Klang pada tahun ini, seperti biasa acara makan malam diadakan di restoran makanan halal bagi membolehkan Bibi dan Redzwan menyertainya. Setiap tahun acara makan besar diadakan di dua kawasan berbeza sama ada Klang atau Johor.

“Pada tahun lepas kami meraikan Tahun Baru Cina di Johor kerana masih ramai ahli keluarga sebelah ayah menetap di sana. Tahun ini kami meraikannya di Klang. Tambahan pula Bibi sedang berpantang dan tidak boleh berjalan jauh,” katanya yang turut membawa keluarganya pada hari ketiga ke Klang untuk menziarah keluarga Bibi.

Bibi mengakui berasa gembira mengenangkan kedua-dua anaknya dapat meraikan dua perayaan serentak iaitu Tahun Baru Cina dan Aidilfitri. Untuk Tahun Baru Cina kemeriahan sudah tentu menerima angpau daripada datuk dan nenek serta dapat bermain mercun dengan saudara yang lain.

“Banyak kebaikan diperoleh daripada perkahwinan campur. Anak dapat belajar dua budaya yang berbeza. Mereka faham mengapa perlu menyambut Tahun Baru Cina dan Aidilfitri. Pada masa sama mereka juga boleh menguasai lebih banyak bahasa,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 2:05am
d