hati

Terapi dari hati ke hati

Oleh Zaitie Satibi

Ibu bapa kanak-kanak autisme perlu menggalakkan penyertaan anak istimewa mereka dalam aktiviti yang boleh meningkatkan kemahiran kognitif, penguasaan bahasa dan kemahiran bersosial bagi membolehkan golongan ini mencapai perkembangan sepatutnya.

Penghidap autisme hidup dalam dunianya sendiri dan ia memberi kesan kepada tiga komponen sosial, komunikasi dan tingkah laku. Oleh itu, mereka mengalami masalah dari segi pertuturan, emosi, pemikiran dan pola bermain.

Bantuan sewajarnya untuk kanak-kanak autisme perlu dilakukan secepat mungkin sebaik didiagnosis berikutan rawatan yang betul sejak peringkat awal boleh mencatatkan perkembangan lebih baik dan memberi impak jangka panjang yang positif.

Ada beberapa panduan mudah untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak autisme iaitu:

- Memberi arahan yang mudah dan jelas termasuk penggunaan isyarat atau bahasa badan

- Melakukan aktiviti digemari kanak-kanak berkenaan secara berulang-ulang

- Mengenal pasti atau mencipta permainan yang diminati

- Memberikan pujian atau ganjaran yang konsisten jika anak autisme membuat perkara positif.

Memandangkan tidak banyak pihak yang melaksanakan program kesedaran mengenai autisme termasuk aktiviti untuk penghidapnya, Bank Rakyat mengambil langkah untuk mendidik masyarakat dan menjalankan usaha membantu golongan berkenaan menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Antara aktiviti dijalankan adalah penganjuran program terapi yang berlangsung selama sehari bertujuan membantu kanak-kanak autisme meningkatkan kemahiran motor kasar dan halus menerusi terapi cara kerja seterusnya membantu pemulihan deria sentuhan mereka.

Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat Nizam Sani berkata, selain menggalakkan perkembangan sensori dan sosial kanak-kanak autisme, program yang dikenali sebagai Terapi Dari Hati Ke Hati itu juga memberi peluang kepada ibu bapa untuk mempelajari terapi berkesan serta menerapkan pembelajaran di rumah.

“Menerusi kelas terapi ini ibu bapa diajar secara langsung mengenai langkah mengendali terapi cara kerja oleh pakar terapi berpengalaman.

“Bank Rakyat berharap program ini akan menjadi platform kepada mereka untuk membantu anak autisme mencapai potensi melalui terapi yang dipelajari,” katanya.

Katanya, antara manfaat terapi cara kerja termasuk membantu mengawal tingkah laku agresif meningkatkan fokus hubungan mata dan mengurangkan kesan negatif terhadap rangsangan deria kanak-kanak autisme.

Program berkenaan bermula dari Februari hingga Ogos ini membabitkan beberapa kelas terapi iaitu cara kerja, pertuturan, akuatik, muzik, permainan Lego dan basikal yang dilatih terapi profesional.

Selain itu, Nizam berkata, Bank Rakyat turut mengumumkan penganjuran Anugerah Dari Hati Ke hati yang berlangsung pada 2 April ini sempena sambutan Hari Autisme Sedunia.

Program julung kali diadakan itu bertujuan menghargai individu, media, organisasi dan persatuan autisme yang sentiasa menyokong golongan autisme dalam memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap autisme melalui hasil kerja program dan laporan berita.

“Anugerah ini satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Bank Rakyat sebagai platform untuk memberikan penghargaan kepada mereka yang komited memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai anak autisme di Malaysia,” katanya.

Anugerah yang bakal dipertandingkan seperti Ikon Autisme, Penyokong Autisme Individu Terbaik, Penyokong Autisme Pelajar Terbaik, Individu Autisme Terbaik, Tanggungjawab Sosial Autisme Persatuan Terbaik, Tanggungjawab Sosial Autisme Organisasi Terbaik, Foto Autisme Terbaik dan Media Sosial Autisme Terbaik.

Turut dipertandingkan kategori untuk media yang sentiasa prihatin dan memberi sokongan dalam program autisme iaitu Anugerah Kewartawanan Autisme Terbaik terdiri daripada radio, akhbar dan televisyen.

Sehubungan itu, Bank Rakyat menggalakkan orang ramai yang berminat untuk menghantar penyertaan dengan mengisi borang yang boleh diperoleh dalam lama web milik bank itu bermula 19 Februari hingga 19 Mac ini.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 10:21am
d