hati

Kembali langsing lepas bersalin

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Mengekalkan kecantikan wajah dan tubuh selepas melalui proses kehamilan dengan faktor usia yang semakin meningkat bukan satu perkara mudah dan ia antara cabaran terbesar bagi setiap wanita.

Ramai mengakui selepas melalui perubahan hormon, untuk mendapatkan wajah cantik dan bentuk badan diidamkan bukan sekadar melakukan senaman rutin kerana ia perlu disokong pelbagai usaha lain.

Pertambahan usia menjadi antara faktor yang boleh menyumbang kepada keadaan ini. Ia memberi lebih cabaran kepada wanita yang sudah beberapa kali melahirkan anak.

Mungkin ada yang memilih untuk memejamkan kata ‘melabur’ di mana-mana pusat kecantikan yang menawarkan pelbagai kaedah rawatan wajah dan pelangsingan bagi mendapatkan kembali bentuk badan ketika bujang dahulu.

Berkongsi pengalaman dalam menjaga kecantikan diri, wanita berusia 46 tahun dan memiliki dua cahaya mata lelaki berusia 21 dan 12 tahun ini mengakui perjalanan untuk mendapatkan bentuk badan idaman tidak mudah.

Namun demi mengekalkan kecantikan diri, sekali gus memberi tenaga konsisten membuatkan Julia Mohamad berusaha sedaya mungkin demi merealisasikan impiannya.

“Saya pernah memiliki berat badan mencecah 128 kilogram (kg) yang menjadi antara detik paling menyedihkan dalam hidup saya. Selepas melahirkan anak pertama, berat badan ‘memecut’ naik. Pada mulanya saya tidak kisah sangat, tetapi apabila melihat betapa besarnya diri sendiri di depan cermin, saya mula rasa tidak selesa.

“Saya perlu berbuat sesuatu kerana kegemukan itu secara perlahan-lahan meragut keyakinan diri saya. Saya selalu berasa rendah diri, tidak kira sama ketika bersama ahli keluarga atau berada di tempat awam. Apabila badan terlalu besar, saya kelihatan jauh lebih tua berbanding usia sebenar dan ia juga menghalang saya untuk bergaya,” katanya.

Julia berkata, oleh itu, dia mula bertekad untuk berubah dengan melakukan senaman dan menjaga pemakanan hariannya.

“Ramai senasib dengan saya terutama selepas melahirkan anak. Walaupun sedih namun saya tidak mahu segalanya berakhir begitu saja. Jadi saya membuat jadual, dalam seminggu saya akan bersenam lima kali dan mengawal pengambilan nasi.

“Syukur, berkat kesungguhan saya berjaya menurunkan berat badan dan kini memiliki berat 65kg. Bagaimanapun, saya tidak boleh berpuas hati dengan tidak mengawal pemakanan harian,” katanya.

Tambahnya, bukan mudah untuk mengawal nafsu makan terutama apabila melihat pelbagai juadah enak.

“Saya mengamalkan empat perkara iaitu jaga pemakanan, senaman secara teratur, cukup tidur dan elakkan tekanan bagi memastikan kecantikan diri terpancar secara semula jadi.

“Apa yang penting adalah sentiasa positif dan berusaha mencapai impian menggunakan kaedah yang selamat. Bagi wanita yang mengalami pertambahan berat badan selepas bersalin, jangan tergesa-gesa untuk kurus. Tiada jalan pintas untuk kurus dan cantik. Berusaha dari sekarang secara konsisten dan jangan cepat putus asa,” katanya.

Rutin sibuk bantu kekal kecantikan

Bagi Hasnita Taharim, 41, melalui lima kali proses kehamilan dan melahirkan memberi cabaran besar kepadanya untuk kekal cantik.

Untuk mengawal berat badannya, dia mengamalkan minuman tanpa gula dan mengelakkan makanan manis.

“Sama seperti wanita lain, saya juga mahu kekal cantik, sihat dan bertenaga terutama dalam menguruskan rutin harian yang sentiasa sibuk.

“Namun saya bersyukur kerana kesibukan harian mengendalikan tugas sebagai isteri, ibu dan menguruskan perniagaan membantu saya kekal langsing,” katanya.

Tambahnya, dia juga percaya pengambilan gula berlebihan dalam diet harian boleh mengundang pelbagai risiko kepada kesihatan.

“Sebaiknya elakkan daripada mengambil makanan atau minuman manis, banyak lemak dan tinggi kandungan garam kerana semua sedia maklum ia tidak baik untuk kesihatan.

“Saya percaya dengan kesihatan yang baik dapat menyerlahkan kecantikan diri secara semula jadi,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 7:49am
d