hati

Sasaran 10,000 gambar

Oleh HM Digital

MYNIC dan Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM) melancarkan platform komersial pertama karya seni foto tempatan dalam talian, KREATIFMARKET bagi membantu komuniti fotografi Malaysia menjana pendapatan pasif.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Datuk Hasnul Fadhly Hasan, pihaknya menyedari kekurangan produk berorientasikan sentuhan tempatan dalam pasaran yang mencetuskan idea menubuhkan platform itu bagi memenuhi permintaan industri tempatan.

Sejajar dengan pelancaran platform terbabit, pihaknya turut menganjurkan 17 siri bengkel Latihan Fotografi dan KREATIF.MY membabitkan lapan negeri dalam memperkemaskan bakat belia sedia ada sebagai penyumbang kepada karya fotografi selain membantu mereka menjana pendapatan menerusi platform berkenaan.

“Seminar Latihan Fotografi dan KREATIF.MY berlangsung di Dewan Datuk Onn Bangunan UMNO Bahagian Hulu Terengganu, baru-baru ini ialah siri kedua membabitkan 150 peserta selepas Politeknik Kota Kinabalu pada 3 Februari lalu.

“Kami akan meneruskan program ini di beberapa lokasi terpilih membabitkan tujuh negeri yang bakal memberi manfaat kepada lebih 3,000 peserta.

“Bagi platform KREATIFMARKET.MY, ketika ini jumlah gambar dikenal pasti berpotensi menepati permintaan pasaran mencecah hampir 3,000 gambar dan kami menyasarkan 10,000 gambar bagi tahun ini sebelum membuka platform berkenaan kepada pelanggan berpotensi seperti dari bidang pengiklanan mahupun pemasaran.

“Ketika ini foto memaparkan wajah atau medium tempatan sangat kurang. Gambar yang digunakan untuk tujuan komersial selalunya daripada medium luar tidak mencerminkan estetika Malaysia. Kami berharap dengan platform komersial ini, ia akan membentuk atmosfera sihat dan selamat membabitkan penggunaan pengkarya foto atau gambar tempatan.

“Usaha ini penting selaras dengan landskap perniagaan global yang menjurus kepada peralihan ekonomi digital. MYNIC memainkan peranan dalam merancang pelbagai program dan inisiatif berteraskan ekonomi digital untuk terus kompetitif serta relevan kepada persekitaran perniagaan moden,” katanya.

Menerusi program itu peserta diberi pendedahan dan perkongsian asas seni fotografi yang secara tidak langsung membuka peluang mereka menjadi usahawan dalam talian.

Peserta seminar berkenaan, Ahmad Irman Hakimi Razak berkata, selaku peniaga dalam talian, dia amat mengalu-alukan kewujudan platform sedemikian yang boleh membantunya memperoleh pendapatan sampingan pasif.

“Sebagai peniaga kami sentiasa memuat naik gambar terbaru untuk menarik pelanggan. Ada masanya dikenakan bayaran untuk mempopularkan akaun kami.

“Kini dengan adanya KREATIFMARKET.MY sekurang-kurangnya kami boleh mencari pendapatan lain melalui perkara yang biasa kami lakukan iaitu memuat naik gambar. Ia boleh menjana pendapatan sampingan untuk mengukuhkan lagi perniagaan sedia ada,” katanya.

Pelajar Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu (HUTECS) Izzah Fatihah Mohd Sohardi berkata, menerusi bengkel ini isu berbangkit termasuk skil dan hak pemilik gambar dapat dilindungi.

“Isu perundangan membabitkan pemilik gambar kurang diketahui terutama golongan muda seperti saya. Penekanan aspek itu memberi gambaran jelas mengenai hak kami dan manfaat diterima apabila menggunakan saluran yang betul.

“Saya berharap dengan program ini lebih ramai memperoleh manfaat dan menjadikan platform ini sepopular platform antarabangsa lain. Pada masa sama ia boleh membantu mengetengahkan bakat tempatan ke peringkat nasional sehinggalah global,” katanya.

Sementara itu Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Terengganu Alias Abdullah berkata, pihaknya berharap penganjuran program sebegini dapat diteruskan kerana ia membantu peniaga dalam talian Hulu Terengganu.

“Saya rasa inisiatif ini lebih dekat dengan generasi muda yang dapat membantu mengenali peluang menjana pendapatan dan secara tidak langsung menyokong ekonomi isi rumah,” katanya.

Dalam program sama, 10 pengamal media turut berpeluang menggunakan platform KREATIFMARKET.MY. Pembaca yang berminat menyertai platform sama boleh melayari kreatifmarket.myatau www.mnic.my. -Nurul Husna Mahmud

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 11:34am
d