hati

Lambang kecantikan sebenar

Oleh Siti Zarinah Sahib

Pernah melihat iklan di kaca televisyen atau media sosial yang memaparkan seorang wanita ditampar teman lelaki hanya kerana memiliki kulit gelap? Paparan dengan aksi sebegini seolah-olah memberi gambaran hanya wanita berkulit cerah mampu didampingi teman lelaki, sebaliknya kaum hawa berkulit gelap atau hitam manis ditinggalkan pasangan hanya kerana ton kulit mereka.

Sebenarnya iklan tanpa kawalan terutama di media sosial sering melalui suapan berita di Facebook atau Instagram individu. Sama ada rela atau tidak iklan ini pasti menjengah halaman Facebook hingga lama-kelamaan ia dianggap sesuatu yang diterima ramai.

Pada mereka berilmu mungkin boleh mengabaikan iklan sebegini, tetapi bagaimana dengan remaja yang masih tercari-cari jati diri. Akibatnya anggapan bahawa putih itu cantik sering bermain dalam fikiran hingga menenggelamkan perkara yang perlu diberikan perhatian iaitu mendapatkan kulit segar dan sihat.

Bercakap berkenaan perkara ini, menurut Pengasas Skin Valet Bangi, Dr Ismaliza Ismail, kehadiran media sosial sememangnya membawa banyak kebaikan kepada orang ramai terutama daripada segi kecepatan berita dan teknologi pemasaran perniagaan, namun apa yang membimbangkan iklan kecantikan dengan ayat-ayat keterlaluan tidak menggambarkan situasi sebenar. Akhirnya ia akan mempengaruhi pembaca hingga mereka merasakan apa yang dilihat dan dibaca adalah benar.

“Inilah yang berlaku dalam industri kecantikan hari ini apabila cabaran paling besar adalah mendidik masyarakat berkenaan kepentingan penjagaan kesihatan kulit dan bukannya mendapatkan kulit yang cerah. Mengatakan putih adalah cantik sesuatu yang salah. Ia berlaku disebabkan kurang kefahaman rakyat Malaysia berkenaan definisi kulit yang sihat dan diburukkan lagi dengan stereotaip kempen pengiklanan produk kecantikan melampau hanya memberi tumpuan kepada pemutihan kulit semata-mata,” katanya.

Berhasrat mendidik masyarakat berkenaan penjagaan kulit sebenar Dr Ismaliza melancarkan kempen #lawagembira menerusi media sosial bertujuan memberikan informasi kepada kaum hawa kaitan antara kecantikan dan kegembiraan. Ini bermakna biar apa rona kulit mereka, wanita perlu menghargainya.

“Wanita seharusnya cantik dalam versi mereka sendiri sama ada berkulit gelap atau cerah. Kulit sihat pula adalah bebas jerawat, jeragat dan masalah lain. Apabila kedua-duanya digabungkan wanita akan lebih menghargai kecantikan diri sebenar tanpa mengubahnya. Kulit sihat juga dapat mengurangkan komplikasi kulit dan merasai kegembiraan yang sebenar. Berbeza sekiranya wanita hanya inginkan kulit yang cerah, tapi mengabaikan penjagaan kesihatan kulit seperti jerawat adakah mereka berasa gembira?” katanya.

Berbanding kulit cerah, kulit yang lebih gelap mempunyai melanin yang berfungsi memberi perlindungan daripada sinaran ultra ungu. Ia juga sebahagian daripada DNA atau asid dioksiribonukleik yang tidak boleh diubah dan diperturunkan ibu bapa kepada anak.

“Namun apa yang berlaku kebanyakan orang mengukur kecantikan kulit itu pada warna padahal realitinya kulit cantik itu adalah kulit yang sihat dan bukan kulit cerah. Paling penting kesihatan kulit itu boleh dinikmati semua orang tanpa mengira warna,” tegasnya yang memilih tema #lawagembira sebagai satu cara memperkasakan wanita.

Kempen ini juga sebagai seruan kepada pengusaha produk untuk lebih bertanggungjawab dalam penghasilan produk mereka bukan hanya meraih keuntungan semata-mata. Situasi terlalu banyak iklan khususnya produk kecantikan yang seolah-olah merendahkan martabat kaum wanita, Pihaknya terpanggil untuk melaksanakan kempen ini sebagai pembudayaan nilai baru dalam bidang kecantikan.

Skin Valet yang beroperasi pada Oktober tahun lalu membariskan lima pengasas iaitu Dr Ismaliza Ismail, Radziq Jalaluddin, Narqes Mohd. Raimi, Dr Shauqi Shukri dan Kamarul Ariffin yang mempunyai kepakaran dalam latar belakang berbeza seperti perubatan, farmaseutikal, undang-undang, kejuruteraan serta pemasaran. Malah kelima-limanya sebelum ini pernah berkecimpung dalam perniagaan medispa selama hampir dua tahun di bawah satu jenama yang sama.

“Matlamat kami adalah untuk menentang keras eksploitasi golongan wanita dalam pengiklanan, sebaliknya ingin memaparkan ketelusan dalam mempromosikan kecantikan kulit secara sihat. Malah gabungan kami berlima sebagai pakar dalam bidang kecantikan mampu memberikan pendidikan baru kepada orang ramai mengenai pentingnya memiliki kulit yang sihat,” katanya.

Dr Ismaliza percaya wanita akan lebih menyerlah, bukan saja menerusi solekan (apabila memiliki kulit sihat) malah yakin bertemu orang ramai. Masyarakat juga harus menyedari hakikat kulit itu adalah organ terbesar pada tubuh manusia jadi sewajarnya diberikan perhatian sepenuhnya.

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 11:26am
d