hati

Pemakanan lebih kepada protein

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Penganjuran program kecergasan dan penurunan berat badan, I Fit Weight Loss Challenge 2017 oleh Hospital Columbia Asia Setapak disertai 30 peserta melabuhkan tirai pada November tahun lalu sekali gus membawa berita gembira buat dua pemenang dengan jumlah penurunan peratus lemak tertinggi.

Menariknya, faktor umur bukan penghalang buat pemenang kategori lelaki, Mohd Zullaimy Muhammad, 51, untuk menewaskan peserta lain dengan penurunan berat dan peratus lemak dalam badan tertinggi berbanding pesaingnya yang lebih muda.

Dengan penurunan berat sebanyak 8.3 kilogram (kg) dan tujuh peratus lemak, Mohd Zullaimy membuktikan sesiapa pun pada usia sepertinya belum terlambat mengubah gaya hidup ke arah yang lebih baik.

Apatah lagi bagi bekas pesakit kanser sepertinya, tiada lagi alasan untuk mengatakan tidak pada aktiviti kecergasan dan gaya hidup sihat.

"Saya bekas pesakit kanser. Selepas menjalani pembedahan, rawatan kemoterapi dan radioterapi, berat badan mencapai lebih 100 kilogram (kg) dan keadaan saya amat lemah ketika itu.

"Dikesan menghidap kanser payudara kira-kira lapan tahun lalu, saya perlu menjalani rawatan kemoterapi dan bayangkan selepas selesai rawatan dan kembali pulih, berat badan saya pula naik mendadak sehingga 100kg.

“Disebabkan keadaan badan yang besar ketika itu saya berasakan banyak kesukaran dalam melakukan aktiviti dalam kehidupan. Pemeriksaan darah yang dibuat juga didapati kandungan kolesterol yang agak tinggi.

“Untuk mengelak keadaan ini berterusan, saya buat keputusan mengubah cara hidup. Doktor juga menyarankan saya mengurangkan berat badan dan menguatkan semula otot tubuh. Dari situ, saya terpaksa menyertai aktiviti sukan dan mengawal pemakanan untuk terus sihat,” katanya.

Meskipun bersyukur dengan kemenangan tidak disangka itu, dia tidak langsung menyasarkan untuk mendapat tempat pertama.

Baginya, dia hanya perlu fokus kepada pengambilan makanan sihat dan seimbang selain mengikuti jadual latihan yang sudah ditetapkan serta melakukan senaman dengan cara betul.

Di samping itu, katanya, dia juga melakukan riadah sendiri sekiranya tidak terbabit dalam program dengan bermain badminton dua kali seminggu dan berjoging lima kilometer (km) seminggu.

Menurut Mohd Zullaimy, setiap hari dia memastikan pemakanannya lebih kepada protein selain wajib melakukan aktiviti senaman selama sejam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan mengelakkan pengambilan makanan tinggi garam, gula dan minyak berlebihan.

JIHAD BAIKI DIRI

Sementara itu, bagi kategori wanita, Alina Norhaida Mohammad Ramly, 37, meraih kemenangan dengan penurunan berat sebanyak 10kg dan lemak badan 7.3 peratus sepanjang 12 minggu program berlangsung. Kemenangan itu membolehkan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 dan trofi.

Alina berkata, dia menyertai program itu bukan untuk mengejar kemenangan sebaliknya mahu mendapat sedikit ilmu yang betul mengenai amalan pemakanan sihat.

Namun, katanya, video mengenai anak Syria yang kelaparan akibat krisis di negara itu, situasi anak Palestin yang tidak cukup makan sering menghiasi laman Facebooknya turut menjadi inspirasinya untuk berubah.

“Bayangkan melihat kekuatan mereka tanpa makanan dalam situasi seharian yang amat sukar, ia secara tidak langsung turut mendorong saya untuk berjihad terhadap diri saya sendiri dalam mengawal nafsu makan hingga berjaya menjadi pemenang.

“Kesedaran datang kira-kira dua bulan sebelum hari lahir saya. Saya terfikir ada tak perkara baru atau pencapaian peribadi yang boleh dilakukan apabila menginjak umur.

“Mempunyai anak yang semakin membesar juga membuat saya bertekad mahu menukar gaya hidup agar dapat menjadi contoh yang baik kepadanya. Sebagai ibu saya rasa bertanggungjawab memberi pendedahan dan didikan mengenai isu ini kepada anak,” katanya.

Menurut Alina, tiada rahsia tertentu yang diamalkan sebaliknya setiap hari akan dimulakan dengan segelas air masak apabila bangun dari tidur.

Katanya, sebagai orang yang ‘suka makan’ sebelum ini, dia masih menikmati nasi cuma dalam kuantiti yang lebih kecil dan melebihkan sayuran hijau.

Adakalanya dia turut berpuasa sunat Isnin dan Khamis selain menukar kebiasaan mengunyah jajan dan biskut kepada pilihan kekacang dan buah-buahan.

“Dari segi senaman saya masih mengamalkan konsep senaman dan rehat bagi memberi peluang tubuh untuk pulih dari apa-apa kesakitan secara semula jadi.

“Sesekali saya menyertai maraton dan juga ahli kelab pelari KLCC (KLCCRG) yang memanfaatkan hari bebas kenderaan Kuala Lumpur setiap bulan untuk acara larian beramai-ramai,” katanya.

Nasihat ibu kepada seorang cahaya mata ini, jika mahu berubah, cari saluran dan ilmu yang betul untuk memulakan misi diet sihat kerana belajar perlu berguru.

Katanya, perbetulkan niat dan matlamat, berubahlah untuk anda lebih menyayangi diri sendiri bukan untuk menunjuk-nunjuk siapa yang lebih hebat.

“Jangan tinggal solat. Jika kita sanggup bangun awal pagi untuk bersenam seharusnya kita mampu bangun pagi untuk bersolat. Solat mengandungi senaman ringkas dan meditasi yang sangat baik untuk tubuh.

“Sentiasa berada bersama sahabat yang mempunyai misi yang sama agar mudah berkongsi tip dan aktiviti. Perubahan memang memakan masa, ia tidak akan terjadi semalaman, jadi bertolak ansur dengan diri sendiri.

“Jangan terlalu mengecam atau mengkritik diri jika gagal. Teruskan berusaha dan beri diri peluang menikmati perubahan. Insya-Allah, inilah yang saya amalkan hingga beroleh kejayaan,” katanya.

AJAR TEKNIK SENAMAN, PEMAKANAN

Bertujuan memupuk kesedaran mengenai kesihatan dan mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, program selama 12 minggu itu khusus untuk mereka yang ingin melihat jarum mesin penimbang menurun ke angka lebih kecil.

Hampir 30 peserta dilatih jurulatih bertauliah, Mohd Fadzil Sharuddin bermula 26 Ogos hingga 12 November lalu dengan memfokuskan transformasi gaya hidup lebih sihat. Pada masa sama, peserta dapat melakukan aktiviti diatur dengan menyeronokkan.

Pengurus Besar Hospital Columbia Asia Setapak Ng Ju Lin berkata, cara hidup yang semakin merosot disebabkan obesiti, meningkatkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) selain kehidupan masa kini dengan pelbagai tekanan menjadikan gaya hidup sihat perlu diberi perhatian segera.

Oleh itu katanya, Unit Fisioterapi hospital itu mengambil inisiatif untuk mengadakan program senaman berkala dua kali seminggu itu bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyertai program ini dengan tujuan menangani obesiti dan kesedaran cara hidup yang sihat dalam komuniti.

“Hospital ini sering menganjurkan pelbagai program gaya hidup sihat dan I FIT Weight Loss Challenge antara yang menunjukkan prestasi cemerlang.

“Dengan matlamat menggalakkan kehidupan sihat di samping diet yang betul, peserta juga akan mempelajari teknik senaman supaya ia boleh dilakukan sendiri di rumah atau di luar selepas program tamat.

“Kelebihan dalam program ini, peserta akan melakukan pemeriksaan berat badan dan pengukuran peratusan lemak badan sebelum dan selepas program. Setiap sesi senaman dilakukan oleh pelatih senaman yang sama dan berpengalaman.

“Fisioterapi akan mengawasi sebarang kecederaan semasa sesi dijalankan. Wang sagu hati untuk pemenang juga disediakan adalah sebagai semangat untuk menggalakkan peserta berusaha ke arah penurunan lemak badan yang ideal.

“Setiap peserta juga menunjukkan peningkatan dari segi tahap kecergasan dan kesihatan masing-masing. Ini satu permulaan yang baik untuk kita meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Ng, obesiti akan memberi impak penyakit berbahaya sebaliknya buat yang melakukan senaman, mereka akan mempunyai badan yang lebih sihat dan minda yang cergas berbanding dengan individu yang kurang atau tidak bersenam.

Katanya, dengan mengubah pandangan orang ramai bahawa senaman itu mudah dan menarik untuk dilakukan, peserta I FIT akan dapat menjadikan senaman sebahagian rutin mereka.

“Pemikiran positif amat penting untuk mengubah kehidupan yang lebih baik dan sihat. Bukan saja aspek senaman dan pemakanan perlu diubah, tetapi sikap untuk mengamalkannya secara berterusan perlu dicapai,” katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 12:19pm
d