hati

Didikan corakkan anak

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Keterujaan ibu bapa menimang cahaya mata kerap dikongsikan bersama rakan dan saudara menerusi laman media sosial. Pelbagai perkongsian menarik dalam rutin penjagaan bermula daripada bayi hinggalah mereka mencecah usia remaja.

Ketika bayi, semua perkara berkaitan anak nampak begitu comel, manja, mencuit perhatian sesiapa saja yang melihat. Apabila anak menginjak remaja, perhatian semakin berkurang dan banyak keluhan mengenai perilaku anak.

Ada waktunya, perkongsian sebegini ibarat melontar per­tanyaan sinis yang berbaur kenyataan, siapa tidak sayang anak? Selagi mampu tulang empat kerat bekerja, menyabung nyawa, berhutang keliling pinggang, selagi itulah kehendak anak diturutkan.

Hingga timbul pula persoalan baru, apakah ibu bapa kini tahu membezakan bagaimana untuk menyayangi anak atau mereka sebenarnya selesa memanjakan anak?

Ada kemungkinan, mereka ini terkeliru.

Betapa memanjakan anak menuntut terlalu banyak pengorbanan tidak kira kasih sayang, wang ringgit, harta, masa dan maruah diri. Berbeza dengan mengasihi anak yang lazimnya terbentuk dari ikatan sayang, perhatian dan ketegasan dalam mendidik.

Pakar keluarga dan kasih sayang, Dr Rozieta Shaary berkata, sejak dulu ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk menginterpretasikan kasih sayang terhadap anak mengikut asas didikan dan kepercayaan masing-masing.

Katanya, di dalam keibubapaan, terdapat empat corak yang menjelaskan bentuk perhatian dan kasih sayang terhadap anak. Ia berbeza dan mudah dibezakan dengan melihat kembali kepada diri (ibu bapa) serta hasil didikan mereka.

Empat corak itu adalah keibubapaan dominan, bersikap mengabaikan, keibubapaan permisif (bersikap tidak kisah) serta bersikap penyayang dan tegas. Berikut adalah penjelasan penuh berkaitan keibubapaan yang kerap dipandang mudah oleh golongan ibu bapa.

1. Keibubapaan dominan

Jenis ibu bapa sebegini cenderung mengawal kehidupan anak. Mereka sering menetapkan jangkaan tinggi terhadap anak, namun tidak memberikan sokongan yang cukup.

Anak diarah melakukan yang terbaik, perlu mendengar kata dan patuh pada setiap ucapan mereka tanpa ruang perbincangan atau tolak ansur.

Dalam tempoh anak membesar, mereka perlu mengikut semua pandangan dan nasihat yang disuarakan ibu bapa. Berikutan larangan dan ketegasan melampau ini, anak mula membantah dalam diam dan melakukan perkara yang dilarang.

Anak yang dilahirkan dalam bentuk didikan sebegini sering berada dalam ketakutan kerana dibebankan dengan pelbagai jangkaan tinggi ibu bapa termasuk cemerlang dalam akademik, aktif di sekolah atau mengungguli apa saja bidang yang diceburi.

Hal ini menyebabkan anak terperangkap dalam emosi dan mungkin menyimpan dendam berikutan kemarahan yang tidak dapat diluahkan.

2. Keibubapaan permisif

Ibu bapa begini lazimnya menyayangi sepenuh hati, sanggup berkorban apa saja, memberi sokongan diperlukan, namun lemah dalam mendisiplinkan anak serta meletakkan batas sempadan sewajarnya.

Sekalipun ibu bapa ini nampak begitu lembut dan penuh kasih sayang, namun sebenarnya ia boleh merosakkan peribadi, sikap dan masa depan anak. Terlalu berlembut dengan anak ibarat memberi ruang sebesar mungkin untuk mereka melakukan apa saja, tanpa kawalan atau had. Lebih membimbangkan, keibubapaan sebeginilah yang mendidik anak menjadi tuan.

Andai diturutkan semua kemahuan dan diberi kebebasan sepenuhnya, tidak mustahil suatu hari nanti ibu bapa dijadikan ‘alas kaki’ buat si anak. Manakala anak pula terus menjadi raja hingga dewasa.

Contoh terbaik anak dibesarkan dalam keibubapaan permisif adalah watak drama air mata Allahyarham P Ramlee, Anakku Sazali. Mereka membiarkan saja anak membesar tanpa sebarang garis panduan, teguran atau disiplin.

Apabila anak melakukan kesalahan, mereka tidak berusaha untuk membetulkan. Ini juga

cara ibu bapa menyatakan sayang kepada anak. Kesannya, anak gagal mengenai baik dan buruk perilaku, tidak menghormati ibu bapa, biadap dan EQ lembab kerana tidak memikirkan atau memahami kesusahan orang lain. Di akhirnya, anak menjadi seorang yang mementingkan diri sendiri.

3. Bersikap mengabaikan

Berbeza dengan keibubapaan permisif, ibu bapa kategori ini memang kurang menunjukkan kasih-sayang, perhatian, sokongan, pembelaan mahupun pengawasan terhadap anak mereka.

Dalam erti kata mudahnya, ibu bapa ini langsung tidak peduli dengan apa yang berlaku terhadap anak mereka, mudah rimas dan tidak mustahil memukul jika dirasakan terlalu mendesak.

Boleh dikatakan ibu bapa yang bersikap mengabaikan ini tidak suka dengan kehadiran anak. Mereka lebih senang menyerahkan tanggungjawab menjaga dan membesarkan anak kepada orang lain.

Sekiranya ada pembantu, mereka akan melepaskan penjagaan anak kepada pembantu. Begitu juga andai masih mempunyai ibu bapa di kampung. Mereka tinggalkan anak bersama datuk dan nenek dengan alasan sibuk dengan kerjaya.

Bahayanya hubungan ini, jalinan pertalian keluarga mungkin akan rosak. Anak tidak rapat dengan ibu bapa, tidak menghormati mereka, merasa terpinggir dari perhatian dan mudah meragui kasih-sayang kedua orang tuanya.

Hal ini kerap berlaku dalam kalangan bapa. Mereka terus menyerahkan tanggungjawab membesarkan anak sepenuhnya kepada isteri dan jarang bertanya khabar atau keperluan.

4. Bersikap penyayang dan tegas

Tidak boleh ada ‘tetapi’ di antara sikap penyayang ibu bapa dan ketegasan. Ia perlu selari supaya anak-anak boleh menjalani kehidupan lebih baik, sempurna dan menyenangkan di masa akan datang.

Ibu bapa sebegini sudah siap sedia menjelaskan kepada anak berkenaan peraturan, batas, sempadan, disiplin dan tingkah laku dalam kehidupan secara jelas. Mereka tidak berkompromi dengan had serta batasan ditetapkan namun sentiasa memberi sokongan, galakan, perhatian serta mempamerkan kasih-sayang yang seimbang buat anak-anak.

Mereka bijak mencorak keluarga supaya anak-anak akur dengan sistem yang diperkenalkan. Ibu bapa ini juga sanggup menghabiskan masa dengan anak, mendekati dan sentiasa berkomunikasi.

Anak-anak yang dididik dalam jenis keibubapaan ini lebih proaktif. Mereka tahu bagaimana untuk menguruskan diri, menyesuaikan keperluan serta sentiasa merasa yakin dan selamat.

BETULKAN DIRI

Tidak kira apa saja corak keibubapaan yang ditonjolkan, Dr Rozieta mencadangkan supaya ibu bapa sentiasa terbuka menerima teguran dan memperbaiki kesilapan dalam mendidik anak-anak.

Katanya, ibu bapa harus sentiasa tampil dengan sebab dan alasan mengapa mereka memilih kaedah didikan sedemikian untuk anak. Paling utama, mereka seharusnya tidak malu untuk membetulkan kesalahan diri.

“Beri anak sebab yang munasabah. Jika anak tidak solat, beritahu mereka bahawa ibu bapa boleh rotan. Usai solat, disiplinkan anak-anak untuk mereka menyimpan kembali telekung, pelikat atau sejadah yang digunakan. Dengan cara ini, ibu bapa kurang berdepan masalah.

“Jangan pilih mendidik anak dengan keibubapaan permisif. Anak akan menjadi seorang yang keras. Jika sering dimarah, dia akan mula rasa tidak selamat dan cenderung berfikir menggunakan lapisan otak paling bawah atau disebut otak reptilia (bahagian medula).

“Bahagian ini berfungsi menjaga keselamatan apabila mereka merasa terancam. Cara terbaik, puji kebaikan anak dulu, tegur kesalahan dan beri motivasi atau inspirasi untuk mereka berubah. Umpamanya, jika anak kerap bergaduh sesama adik-beradik, puji dulu kebaikan yang mereka pernah lakukan, kaitkan dengan kesalahan dan beri teguran secara berhemah.

“Beri motivasi kepada anak untuk menaikkan kembali semangat dan keyakinan mereka. Perlu diingatkan, apabila kita beri anak pujian, puji perkara yang betul. Ramai ibu bapa kecundang kerana memuji perkara yang tidak dilakukan anak, kemudian disertakan pula dengan perkataan ‘tetapi’ dalam teguran,” katanya.

FAHAMI PERKEMBANGAN

Jelas Dr Rozieta, selain hubungan kasih sayang dan perhatian, ibu bapa juga perlu memahami perkembangan anak dan kematangan mereka berfikir. Bagi bayi, mereka bukan saja dekat dengan ibu bapa, malah menyangka orang tuanya adalah sebahagian daripada dirinya.

“Sebab itu, apabila kita tinggalkan anak usia ini untuk melakukan pekerjaan lain, mereka akan menangis. Kecuali kalau ada orang lain yang membantu atau mengalih perhatian bayi. Ada sesetengah orang kata, tinggalkan saja anak dan biarkan mereka menangis kerana bimbang terlebih manja.

“Ini salah. Sepatutnya ibu kena tenangkan anak terlebih dulu, usaha mengalihkan perhatian dan wujudkan suasana selesa, seolah-olah ibu ada berdekatan. Mungkin ibu terpaksa merancang kaedah terbaik untuk berpisah sementara dengan anak. Apapun, ini bukan memanjakan anak.

“Tindakan ini bertujuan menimbulkan rasa selamat kepada anak, menyalurkan perhatian dan kasih sayang serta paling utama, menyokong perkembangan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 12:41pm
d