hati

Jual ikan online

Oleh Siti Zarinah Sahib

Hanyir ikan, ayam dan makanan laut menjadi ‘permainan’ harian bagi pasangan suami isteri Muhammad Fathullah, 31, dan isterinya, Nur Diyana Mazlan, 30. Sejak dua tahun lalu, mereka diibaratkan pasar bergerak yang menyediakan keperluan harian seperti ikan, ayam, daging dan makanan laut segar menerusi dalam talian.

Bermula dengan hanya 10 tempahan, kini meningkat kepada 50 pesanan sehari dan bertambah sekali ganda pada hujung minggu. Menurut Nur Diyana, idea menjalankan perniagaan pakej barangan basah bermula sebaik sahaja menamatkan pengajian peringkat Sarjana Kejuruteraan Alam Sekitar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Disebabkan anak sulung ketika itu baru berusia lapan bulan Nur Diyana berhasrat menjaga anak sendiri di rumah. Pada masa sama mencari-cari perniagaan yang mampu memberikan pendapatan sampingan.

“Secara kebetulan saya terlihat seorang wanita memuat naik beberapa keping gambar di Facebook yang memaparkan barang basah yang disimpan kemas di dalam bekas untuk kegunaan seminggu. Saya tertarik apabila membaca komen pembaca.

“Ramai meminta agar diwujudkan satu perkhidmatan penjualan barangan basah yang siap dibersihkan. Perkara ini saya sampaikan kepada suami namun dia tidak yakin akan berjaya,” katanya yang tekad mencuba kerana percaya akan ada hasilnya.

Perkara pertama dilakukan Nur Diyana adalah membuka akaun Instagram khas Barang Dapur Basah dan mengiklankan selama dua minggu. Malangnya tiada seorang pun tampil membuat pesanan. Sifat tidak mahu mengalah yang menebal mendorongnya mengiklankan kepada kumpulan berbeza di Facebook.

“Hasilnya saya memperoleh 10 pesanan pada hari itu. Ia memberi semangat untuk saya terus memasarkan barang basah termasuk ayam, udang, ikan dan sotong dengan pakej serendah RM50,” katanya yang menyasarkan kepada wanita berkerjaya dan suri rumah terutama mereka yang tidak boleh memandu kenderaan sendiri.

Apa yang memberikan kelainan perkhidmatan ditampilkan pasangan suami isteri ini agak unik kerana mereka bukan sahaja menyediakan keperluan barang basah sebaliknya semua tempahan siap disiang dan dicuci bersih oleh pekerja tempatan sebelum dihantar sehingga ke pintu rumah pelanggan.

“Ia tentunya memudahkan kerja wanita kerana barang dipesan boleh disimpan terus dimasak atau disimpan dalam peti sejuk,” katanya.

Ke pasar setiap hari

Bagi mendapatkan stok barangan basah yang segar dan berkualiti, jelas Nur Diyana, dia dan suami perlu ke pasar borong setiap pagi. Seawal jam 5 pagi mereka sudah berada di Pasar Borong Selangor bagi mendapatkan ayam, daging dan makanan laut seperti sotong, kerang, udang serta pelbagai jenis ikan dengan jumlah 200 hingga 300 kilogram sehari.

“Awal-awal dulu memang saya turut ke pasar, tetapi kini dilakukan suami sepenuhnya. Kerja pemprosesan seperti menyiang ikan, memotong ayam, membersihkan sotong dan udang dilakukan dua pekerja. Selepas siap barang basah ini ditimbang mengikut berat yang sama kemudian dimasukkan dalam plastik dan dibekukan,” katanya.

Sambil pekerja menjalankan kerja pemprosesan barang basah, Nur Diyana mengambil pesanan pelanggan sehingga jam 5 petang dan pada jam 2.30 petang sekali lagi suami ke pasar bagi menambah barang basah untuk penghantaran pada waktu malam. Penghantaran bermula pada jam 5.30 petang dan 8 malam di sekitar Lembah Klang termasuk Nilai, Negeri Sembilan yang dilakukan enam penghantar.

“Kami terpaksa membeli barang basah dua kali sehari bagi memastikan kesegaran barangan yang dibekalkan kepada pelanggan. Setakat ini pelanggan berpuas hati dengan setiap kualiti barang. Ada juga pelanggan meminta kami menyediakan sayur-sayuran, tetapi kami menolak disebabkan ruang pemprosesan yang terhad,” katanya yang turut mendapatkan bantuan ibu mentua menyiapkan tempahan pelanggan.

Cabarannya hebat

Ujar Nur Diyana, pada awal menjalankan perniagaan, dia sendiri tidak menyangka sambutan diterima sangat memberangsangkan sehingga ada ketikanya telefon pintarnya berhenti berfungsi disebabkan mesej WhatsApp yang masuk ‘menderu-deru’. Malah dia sedar setiap kali memuat naik status dan gambar barang basah selepas itu pasti tempahan diterima akan berganda.

“Setakat ini kami menerima tempahan daripada pelanggan setia yang mendapatkan barang basah secara mingguan. Pelanggan baru juga bertambah setiap hari,” katanya.

Jelas Nur Diyana, sebelum membuka perniagaan dia mengakui ada rasa malu kerana menjual ayam dan ikan yang diibaratkan tidak sesuai dengan taraf pendidikannya. Tambahan, pula dia memiliki ijazah sarjana manakala suami ijazah dalam bidang kejuruteraan. Namun selepas melihat masa depan dan permintaan yang tidak pernah surut Nur Diyana yakin apa yang dilakukannya adalah betul.

Dia dan suami juga pernah kehilangan pekerjaan dan mengharapkan bantuan kewangan keluarga di Pulau Pinang. Ia sangat memeritkan kerana mereka terpaksa menjual baju sendiri, biskut dan pakaian untuk mencari sesuap nasi. Ketika itu nilai ringgit amat berharga walaupun untung yang diperoleh sangat kecil.

Kini, walaupun kerjaya ini nampak mudah dan tidak mengeluarkan modal besar, namun cabarannya besar terutama dari segi mental dan fizikal kerana ia sangat memenatkan.

“Sebelum ada pekerja, kamilah bos dan kuli. Bayangkan suami setiap pagi ke pasar, kemudian ke pejabat sehinggakan bau hamis sudah sebati dengan dirinya. Pulang dari pejabat dia perlu menghantar tempahan kepada pelanggan dan hanya tidur tiga atau empat jam sehari. Saya juga pernah rasa serik dan ingin berhenti berniaga, tetapi memikirkan ada ‘perut’ yang perlu diisi serta tanggungjawab kepada pekerja membuatkan saya dan suami kembali bersemangat.

“Malah sokongan keluarga, kawan-kawan serta pelanggan setia membuatkan kami merasakan harus terus menjalankan perkhidmatan ini kerana ia turut menambah nilai kepada kehidupan orang lain,” katanya.

Bagaimanapun kini perkhidmatan Barang Dapur Basah terpaksa dihadkan memandangkan ruang pembersihan di bahagian dapur sangat kecil dan peti sejuk yang tidak lagi boleh ditambah.

“Insya-Allah apabila lokasi baru sudah sedia digunakan, kami akan membuat penghantaran ke pejabat kerana terdapat permintaan daripada wanita berkerjaya yang ingin mendapatkan barang basah lebih awal. Selain barang basah kami turut menyediakan kelengkapan dapur seperti cili, bawang besar, bawang putih dan halia kisar serta hirisan bawang besar dan bawang putih bagi memudahkan tugas memasak. Semua tempahan turut diambil menerusi dalam talian,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 2:39pm
d