hati

Serangan jantung

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Serangan jantung di tempat awam, kemalangan jalan raya, tercekik, lemas atau renjatan elektrik, semuanya boleh menyebabkan kematian mangsa tanpa bantuan kecemasan yang betul, dalam kadar segera.

Ironinya kes seumpama ini terlalu mudah menarik perhatian masyarakat yang cenderung mendahulukan rakaman video dan gambar untuk ditularkan, bukannya menghulurkan bantuan sepatutnya.

Mungkin ada segelintir yang ikhlas mahu membantu, namun terpaksa akur sebagai pemerhati berikutan tiadanya ilmu asas pertolongan cemas. Ada juga yang tahu selok-belok rawatan kecemasan, namun sengaja tidak mahu tampil ke depan.

Dalam situasi panik, biasanya orang di sekeliling mangsa hanya boleh memikirkan dua pilihan, sama ada menghantar ke klinik terdekat atau mendail talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan anggota penyelamat serta ambulans.

Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Perubatan Kecemasan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Shahrul Nizam Ahmad Zamzali berkata, bantuan awal kecemasan seperti CPR (resusitasi kardio pulmonari) cukup penting untuk menyelamatkan nyawa mangsa, terutama ketika di tempat kejadian.

“CPR ini adalah bantuan sokongan sementara untuk jantung dan paru-paru. Ia boleh dilakukan sesiapa saja, asalkan mereka dilatih dan tahu bagaimana untuk memberi bantuan kecemasan.

“Bantuan kecemasan ini perlu diberi segera, sebaik mendapati jantung dan paru-paru mangsa berhenti berfungsi (serangan kardio pulmonari). Apabila seseorang itu tampil melakukan CPR terhadap mangsa, dia bukan saja membantu, tetapi sebenarnya mengambil alih fungsi jantung sebagai pengepam darah dan memberi oksigen kepada paru-paru buat sementara waktu.

“Dalam situasi ini, biasanya jantung dan paru-paru sudah tidak berfungsi lagi. Jadi, kita perlu bantu dengan melakukan CPR supaya fungsi kedua-dua organ ini berjalan walaupun ia sendiri sudah berhenti.

“Bantuan ini, jika dibuat bersungguh-sungguh, mungkin boleh mengembalikan kira-kira 10 hingga 30 peratus daripada fungsi jantung normal. Seandainya rawatan awal ini lancar, ia juga mampu mengurangkan kerosakan tisu otak dan organ penting,” katanya.

Jelas Dr Shahrul, bantuan CPR bukan sekadar untuk menggerakkan semula jantung tetapi hakikatnya mengambil-alih fungsi kedua-dua organ ketika ia berhenti buat sementara waktu.

“Ia adalah bantuan masa tambahan sebelum tibanya risiko kecederaan otak terhadap mangsa. Dalam CPR sendiri, terdapat tujuh peringkat yang perlu kita ingat supaya penyelamatan dapat dibuat dengan lancar.

“Pertama sekali kenal pasti bahaya, kemudian, tindak balas, minta pertolongan, laluan pernafasan, bernafas, peredaran darah dan defibrilasi (pemulihan rentak jantung),” katanya.

Bahaya

Menurut Dr Shahrul, apabila melakukan CPR atau apa saja jenis pertolongan cemas, penyelamat perlu memastikan persekitaran mangsa dan dirinya dalam keadaan selamat. Antara perkara yang perlu diperhatikan adalah laluan trafik, ancaman barang atau objek yang tidak stabil dan punca elektrik.

Tingkatkan kepekaan terhadap keadaan di sekeliling, pastikan ia selamat dan kemudian barulah mulakan dengan rawatan kecemasan. Sekiranya terdapat sarung tangan dalam kotak kecemasan, penyelamat digalakkan memakainya sebelum memulakan sebarang prosedur penyelamatan.

Tindak balas

Sebaik saja pasti keadaan sekitar selamat, dekati mangsa dan periksa tindak balasnya. Ini boleh dilakukan dengan menepuk bahu mangsa dengan keras atau kejap. Menepuk tidak sepatutnya dilakukan secara lembut kerana tujuannya untuk menyedarkan mangsa. Jika mangsa beri tindak balas, tanya sama ada dia ‘okey’ atau tidak.

Mangsa mungkin hanya tertidur, jadi pastikan dia memberi tindak balas. Namun, jika mangsa tidak memberi sebarang tindak balas, penyelamat perlu pantas meminta pertolongan.

Minta pertolongan

Tanya orang di sekeliling sama ada mereka mempunyai kotak pertolongan cemas atau tidak. Dalam masa sama, minta mereka hubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan ambulans.

Ketika ini, mangsa perlu dipastikan sama ada masih bernafas atau tidak. Jalan terbaik adalah dengan memerhatikan salur pernafasan mangsa.

Laluan pernafasan

Jika mangsa tidak bernafas atau pernafasannya tersekat, penyelamat perlu bertindak pantas, membuka saluran udara dengan membetulkan dagu supaya lidah mangsa tidak jatuh ke belakang. Dongakkan kepala mangsa dan naikkan dagu.

Sekiranya ada bendasing dalam mulut mangsa, ia boleh dikeluarkan, tetapi jangan sesekali cuba mengoreknya.

Bernafas

Selepas dipastikan salur pernafasan mangsa lancar, periksa sekali lagi. Lihat sama ada mangsa masih bernafas. Ada kemungkinan mangsa dalam keadaan pengsan, tetapi masih boleh bernafas. Ini tidak memerlukan tekanan dada.

Salah satu cara mudah untuk melihat sama ada mangsa masih bernafas atau tidak adalah dengan melihat kepada dada, hidung dan mulut. Jika ada pernafasan, kita tidak boleh melakukan tekanan dada.

Peredaran darah

Bab ini yang kerap kali menimbulkan tanda tanya umum, sekalipun kerap melihat prosedur CPR di kaca televisyen, namun ramai yang masih tidak tahu bahagian sepatutnya ditekan untuk merangsang kembali fungsi jantung dan paru-paru.

Penyelamat sepatutnya menekan di bahagian tengah dada, kebiasaannya di antara dua garisan yang menyambungkan puting dada.

Tekan dengan kuat dan laju, serta pastikan adanya lonjakan dada itu sendiri. Mengikut prinsip CPR, kadar tekanan sepatutnya adalah daripada 100 ke 120 tekanan seminit. Ia tidak boleh terlalu laju atau terlalu perlahan.

Selepas 30 kali tekanan, penyelamat boleh memberi dua pernafasan bantuan. Bagi mangsa dewasa, picit hidung dan tiup mulut. Untuk bayi, tiup mulut dan hidung serentak.

Setiap 30 tekanan bersama dua bantuan pernafasan ini dipanggil satu pusingan. Biasanya CPR dilakukan sehingga lima pusingan. Selepas itu, mangsa perlu diperiksa semua. Jika penilaian semula masih tidak menunjukkan sebarang tanda mangsa akan sedar, sambung kembali CPR selama lima pusingan dan pantau keadaan mangsa.

Defibrilasi

Ia adalah istilah menggambarkan penggunaan elektrik untuk merawat jantung mangsa. Ketika ini, sudah wujud alat dipanggil AED atau automated external defibrillator. Alat ini boleh memberi kejutan elektrik kepada jantung yang sudah hilang fungsi.

Dalam dunia serba canggih ini, masyarakat seharusnya tahu mengendalikan mesin pintar seperti AED. Semakin ramai tahu mengenai AED, semakin tinggi peluang untuk pesakit jantung atau mangsa kemalangan diberi rawatan awal.

Begitupun, tidak semua kes memerlukan rawatan elektrik. Mesin ini bijak menganalisa mana satu pesakit yang memerlukan renjatan. Apabila mesin dihidupkan, AED akan mengeluarkan arahan, seterusnya merawat pesakit mengikut kiraan tertentu.

Bila CPR perlu dihentikan?

Menurut Dr Shahrul, ramai yang tertanya-tanya jawapan kepada persoalan ini kerana beranggapan proses penyelamatan perlu dilakukan sehingga mangsa sedar.

“Apabila mangsa sudah sedar, memang kita tidak perlu lagi melengkapkan pusingan CPR. Namun demikian, ada lagi beberapa sebab lain termasuk tibanya bantuan pihak profesional, penyelamat berasa penat dan jika diteruskan boleh membahayakan dirinya serta mangsa dipastikan meninggal dunia.

Tambah beliau, adalah penting sekurang-kurangnya seorang daripada setiap keluarga mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pertolongan cemas.

“Apabila berlakunya kecederaan, kemalangan atau serangan jantung dalam kalangan ahli keluarga, mereka boleh membantu.

“CPR antara prosedur penting yang perlu diketahui umum secara teori mahupun praktikal. Prosedur ini memerlukan pembelajaran dan latihan praktikal kepada sesiapa yang ingin mempelajarinya,” katanya.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 7:16am
d