hati

Anak tidak membesar sempurna

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Ibu bapa mana yang tidak bimbang apabila si kecil tidak membesar dengan sempurna dan mengalami masalah tumbesaran. Lebih merunsingkan apabila anak turut menunjukkan pelbagai simptom tidak sihat seperti cirit-birit, muntah dan sakit perut yang ketara.

Pelbagai andaian mula timbul dalam minda ibu dan bapa selain situasi itu cukup mengerikan apabila mengalami kesakitan itu disebabkan parasit yang menjadikan tubuh manusia sebagai perumah tanpa disedari.

Menurut Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik di Institut Farmakogenomiks Integratif (iPROMISE), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam Dr Tengku Shahrul Anuar Tengku Ahmad Basri, jika dulu masyarakat sering didedahkan dengan bahaya cacing tularan tanah seperti cacing gelang, cacing cambuk, cacing kait dan cacing benang, namun kini jangkitan protozoa pada usus manusia terutama kanak-kanak perlu diambil serius.

Malah bagi individu yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, kehadiran parasit dari pelbagai jenis faktor terutama protozoa boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi dan menjadikan keadaan lebih serius.

Apa itu protozoa?

Dr Tengku Shahrul Anuar berkata, perkataan protozoa berasal daripada bahasa Yunani ‘protos’ yang bererti pertama dan ‘zoon’ bererti haiwan.

“Protozoa adalah haiwan peringkat rendah yang mempunyai satu sel (unisel). Ia bersifat mikroskopik, ukuran tubuhnya di antara tiga hingga 1,000 mikron.

“Habitat protozoa adalah di tempat yang berair dan basah. Jika keadaan persekitaran tempat hidupnya tidak menguntungkan, protozoa akan membentuk membran tebal dan kuat yang dipanggil sista. Dalam keadaan seperti ini, protozoa dapat bertahan dengan lebih lama,” katanya.

Menurutnya, perkara ini bukan sesuatu yang baru dalam penyelidikan berkaitan parasit menjadi ancaman kepada kesihatan manusia.

“Bagi pesakit AIDS atau kanser yang sedang menjalani rawatan kemoterapi, kebarangkalian untuk dijangkiti protozoa adalah lebih tinggi.

“Oleh itu, bukan saja golongan berisiko termasuk kanak-kanak perlu lebih berhati-hati, namun setiap individu perlu berwaspada dan mempunyai pengetahuan mengenai penyakit ini,” katanya.

Protozoa pembunuh

Jelas Dr Tengku Shahrul Anuar, jangkitan protozoa terhadap golongan yang mempunyai sistem imun badan lemah dapat dikenali melalui simptom cirit-birit yang berpanjangan, hilang selera makan dan penurunan berat badan.

Katanya, protozoa usus daripada kumpulan koksidia seperti Cryptosporidium parvum dan Isospora belli serta kumpulan mikrosporidia menjadi penyebab utama cirit-birit berpanjangan.

“Secara amnya, jangkitan protozoa usus sering ditemui dalam masyarakat namun penghidapnya tidak menunjukkan sebarang gejala yang jelas. Oleh itu, kes jangkitan protozoa ini jarang sekali dikesan di klinik kesihatan dan hospital.

“Hasil kajian mendapati hampir 80 peratus jangkitan protozoa usus ini menular secara senyap kerana tiada gejala khusus. Keadaan ini sangat berbeza dengan jangkitan yang disebabkan bakteria atau virus,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun Malaysia adalah negara yang sedang membangun, masalah jangkitan protozoa usus masih membelenggu penduduk di beberapa kawasan tertentu.

“Oleh kerana protozoa ini menular melalui makanan dan air yang tercemar dengan najis manusia, taburan penyakit ini lebih banyak ditemui dalam kalangan penduduk yang tinggal di pedalaman tidak mempunyai sistem pembuangan najis baik serta bekalan air bersih seperti di perkampungan Orang Asli,” katanya.

Gangguan tumbesaran kanak-kanak

Hasil kajian dijalankan Dr Tengku Shahrul Anuar pada 2013 menunjukkan jangkitan protozoa usus terutama Giardia intestinalis boleh mengganggu tumbesaran kanak-kanak.

“Terdapat beberapa mekanisma bagaimana protozoa usus boleh menyebabkan kebantutan tumbesaran terhadap kanak-kanak malah juga kepada golongan dewasa.

“Selain mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, pesakit juga akan mengalami cirit-birit yang kronik, muntah serta sakit di bahagian abdomen. Kesan inilah yang akan menyebabkan pertumbuhan dan perkembangan fizikal serta mental kanak-kanak terbantut,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Tengku Shahrul Anuar berkata, kawalan dan pencegahan jangkitan protozoa usus mungkin memerlukan pendekatan lebih baik kerana kajian terbaru membuktikan sumber jangkitan protozoa seperti Giardia intestinalis bukan saja mampu disebarkan daripada manusia ke manusia tetapi juga melalui anjing.

“Walaupun jangkitan protozoa usus ini mempunyai kadar kematian yang rendah dan jarang diperkatakan umum, kawalan dan pencegahan harus dipertingkatkan dari semasa ke semasa kerana ia mampu mengganggu kualiti hidup seseorang.

“Paling penting, setiap ibu bapa perlu memerhatikan tumbesaran anak-anak mengikut peningkatan usianya supaya dapat mengesan sekiranya berlaku sebarang kemungkinan dijangkiti protozoa usus ini”, ujarnya.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 7:01am
d