hati

10 NGO jayakan Projek Pasar Percuma

Oleh Aniza Zainudin

Hanya bayar dengan senyuman! Harga perlu dilangsaikan pembeli yang terdiri daripada gelandangan atau lebih mesra dipanggil rakan jalanan di tapak Projek Pasar Percuma.

Pakaian lelaki, wanita, kasut, beg, permainan terpakai, produk penjagaan diri, khidmat menggunting rambut dan makan percuma antara produk serta servis disediakan sepanjang Projek Pasar Percuma di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) pada 24 Februari lalu.

Senyuman menzahirkan keseronokan yang tidak terucap dengan kata-kata itu membuktikan usaha sama 10 badan bukan kerajaan (NGO) demi meringankan bebanan ditanggung rakan jalanan ini disifatkan berjaya.

Disokong sepenuhnya PTGKL, 10 NGO yang merealisasikan projek ini terdiri daripada Kindness Malaysia, Happy Bank, Mustard Seed, Happy Caring Hearts, Preloved Charity, Humanity, The Gagaks, Caring Hearts, Empire Project dan iGunner Malaysian Football Community.

Pengarah projek, Ratna Sarini Kamal, berkata projek julung kalinya membabitkan penyertaan 10 NGO ini bertujuan memberi semangat dan motivasi kepada rakan jalanan supaya berasakan mereka tidak disisihkan dalam masyarakat.

“Kebanyakan rakan jalanan ini berasa rendah diri untuk menjalani kehidupan bermasyarakat sedangkan mereka sebahagian daripada komuniti.

“Menerusi projek ini, kami berharap mereka mampu berdiri dengan lebih positif. Pada masa sama, kami dapat mengerat dan merapatkan jurang hubungan antara rakan jalanan dengan ahli masyarakat yang lain.

“Projek ini dirancangkan sejak sebulan lalu, dijangka mampu mengurangkan kos sara hidup rakan jalanan yang kebanyakan mereka bekerja, namun berpendapatan kecil.

“Menerusi Projek Pasar Percuma ini juga, mereka boleh memilih barang sedia ada mengikut cita rasa masing-masing. Barangan ini juga boleh dijual semula secara ‘bundle’ (terpakai) demi menjana pendapatan tambahan buat mereka.

“Saya berterima kasih kepada rakan NGO, sukarelawan, orang persendirian dan rakan jalanan yang menjayakan projek ini.

“Kami juga berharap pihak penaja atau penderma boleh mempelbagaikan kategori tajaan bagi melengkapi keperluan lain,” katanya yang menyifatkan program berkenaan sebagai projek penyatuan kaum apabila ia membabitkan penyertaan lapisan masyarakat Malaysia.

Sementara itu, pengasas Empire Project Mohd Ashraff Khan Md Najib mengakui peranan NGO dapat dimaksimumkan apabila gabungan pelbagai NGO diadakan kerana masing-masing memiliki misi, objektif, kekuatan dan kelebihan tersendiri dalam membantu masyarakat.

Katanya, penganjuran program di PTGKL dapat mempromosikan kewujudan pusat berkenaan sekali gus membuka lebih banyak peluang kehidupan baru kepada rakan jalanan termasuk pendidikan kepada anak jalanan bagi mencapai sasaran gelandangan sifar.

Pegawai Operasi PTGKL Amirrudin Abdul Rahman turut mengalu-alukan program anjuran NGO, syarikat korporat, institut pengajian tinggi dan individu persendirian yang prihatin dalam membantu rakan jalanan.

Penganjuran program berbentuk kaunseling, motivasi dan penyesuaian kerjaya antara usaha yang mampu membangkitkan moral rakan jalanan.

Setakat ini, PTGKL menempatkan seramai 146 rakan jalanan dan kitaran perubahan penghuni dengan kekerapan tiga ke empat bulan sekali.

Disiarkan pada: March 13, 2018 @ 7:31am
d