hati

Peka kehendak kulit selari usia

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Sekali imbas, wanita ini nampak begitu yakin dengan gaya dan personaliti diri. Bentuk wajahnya, tutur kata, gaya solekan, setiap bahagian pada dirinya seolah-olah bercerita mengenai latar belakang dan perwatakan Noriana Mohamad Nazuir.

Tidak perlu menonjolkan sisi manja atau paras menggoda, pesona wanita ini lebih terserlah dengan gayanya yang bersahaja. Mungkin kerana kerjayanya sebagai jurumekap artis, Noriana punya lebih banyak masa untuk memahami trend dan kehendak fesyen semasa. Justeru, wanita ini nampak lebih matang dalam meniti usia muda.

Melihat gaya dandanan santai Noriana, Hati tertarik untuk mengajak wanita ini bercerita, sekali gus berkongsi petua kecantikan yang diamalkan sejak usia remaja hingga kini. Jujur katanya, dia mencuba hampir semua pilihan yang ada bermula daripada bedak sejuk, ais hinggalah kepada produk penjagaan kulit yang diuji secara klinikal.

“Apa yang penting adalah kepekaan terhadap kehendak kulit dan tubuh kita sendiri. Setiap petua atau produk penjagaan diri yang kita guna hari ini perlu selari dengan perubahan usia untuk memastikan kulit sentiasa anjal, lembap dan sihat,” katanya.

Mengimbau zaman remajanya, Noriana berkata, dia mula menumpukan perhatian kepada penjagaan diri dan wajah ketika di sekolah menengah.

“Pastinya setiap wanita tahu betapa anehnya perubahan yang dialami ketika melalui zaman remaja. Ketika usia belasan tahun itulah saya mula mengambil berat soal kulit wajah.

“Segala jenis jerawat mula tumbuh, berpanas terik tanpa krim pelindung matahari, produk penjagaan wajah yang ada hanya pencuci muka saja. Pelbagai cara dan petua saya cuba untuk mengembalikan keadaan kulit yang asal.

“Jika difikirkan kembali, zaman dulu dan sekarang memang lain. Saya langsung tidak tahu mengenai tip kecantikan. Jika hendak tahu mengenai penjagaan kulit dan kecantikan, kawan-kawan yang akan menjadi sumber rujukan. Merekalah yang akan beri cadangan, sementara saya mengikut saja,” katanya sambil ketawa.

Rasional dalam memilih

Menidakkan dirinya sebagai seorang yang cerewet dan hanya memilih produk organik semata-mata, Noriana mengakui dia lebih cenderung kepada produk penjagaan kulit yang selamat dan bebas toksik.

“Apabila umur sudah mencapai angka 30, biasanya wanita akan melalui tempoh perubahan hormon. Jadi, tidak semua produk rawatan kecantikan kulit akan memberi kesan perubahan yang cepat.

“Selain mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kesihatan, melakukan senaman, saya gunakan produk penjagaan yang sesuai dengan kulit dan usia. Jika diteliti, kita sebenarnya boleh tahu apa isi kandungan dalam produk dan sukatannya. Umpamanya, kalau memilih serum, sudah pasti kita tahu isi kandungan dan fungsinya kepada kulit.

“Ada waktunya, kita mungkin perlukan kesan rawatan yang cepat. Jadi, cuba kaji produk bersesuaian dengan keperluan kulit. Untuk diri, saya lebih suka bersikap rasional dalam memilih untuk kesan yang terbaik. Paling utama, usah abaikan kecantikan dalaman dan makan secara sihat,” katanya.

Jelas Noriana, dia mempunyai rutin penjagaan wajib setiap hari untuk kekal awet muda. Namun, dalam mendisiplinkan diri, ada waktunya wanita ini terlupa berikutan terlalu sibuk dengan tuntutan kerja.

“Sebaik bangun dari tidur, saya akan minum segelas air kosong. Kemudian barulah saya mulakan rutin regangan tubuh dan menikmati pemandangan hijau di luar tingkap. Saya percaya tabiat merenung kehijauan memberi sedikit aura positif dalam diri, terutama sebelum melalui hari yang sibuk.

“Paling mencabar adalah untuk mengekalkan pengambilan vitamin kerana kerap terlupa. Tiga kali seminggu, saya akan tetap mengadakan masa untuk bersenam,” katanya.

Tidak banyak berbeza dengan wanita seusianya, Noriana berkata, rutin pagi di bilik air biasanya dimulakan dengan mencuci muka, sebelum mandi dan bersiap-siap.

“Mencuci muka adalah bahagian paling penting setiap pagi. Saya gunakan pembersih wajah dengan kandungan pH rendah. Usai membersihkan diri, saya akan gunakan penyegar wajah, esen, serum dan akhir sekali semburan eliksir.

“Sebelum bersolek, saya akan pastikan kulit cukup asas pelembap. Ini yang akan membuatkan solekan tampak semula jadi. Biasanya saya akan letak beberapa lapisan pelembap pada kulit wajah dan bawah mata untuk mengelakkan kesan rekah dan munculnya garis wajah yang ketara sepanjang mengenakan solekan,” katanya.

Ditanya bagaimana dia mendapatkan wajah cantik berseri, Noriana mencadangkan pengambilan sayur, buah dan air secukupnya.

“Senaman jangan lupa! Saya percaya kecantikan bermula daripada dalam. Cuci muka dengan cara yang betul dan pastikan semua kesan solekan dibersihkan dengan sempurna. Terutama sekali di bahagian mata dan bibir.

“Sebelum tidur, pakai serum untuk menaikkan seri wajah atau esen. Malam adalah masa paling sesuai untuk kita pakai produk penjagaan kulit kerana waktu itulah ia menjalankan fungsinya membaiki kulit.

“Selebihnya, saya tidak ada petua atau rahsia lain. Mungkin jika masing-masing sudah serasi dengan produk yang biasa digunakan, mereka boleh terus guna. Hanya selang-selikan dengan bedak sejuk apabila ada jerawat. Bedak sejuk dan ais paling berkesan untuk mengecutkan jerawat semalaman,” katanya.

Kata Noriana, mereka yang tidak mempunyai masalah kulit boleh memilih bahan semula jadi untuk rutin penjagaan harian. Malah pilihan itu bagus untuk mengelakkan kulit terus bergantung kepada produk penjagaan di pasaran.

Tip kecantikan

• Sesekali, biarkan kulit wajah bebas daripada solekan.

• Sentiasa peka kepada keperluan kulit.

• Amalkan pemakaian pelembap bersesuaian walaupun anda memiliki kulit berminyak

• Elakkan solekan tebal

Disiarkan pada: March 14, 2018 @ 10:28am
d