hati

Pelihara khasiat makanan bayi

Oleh Siti Zarinah Sahib

Memberi anak makan adalah waktu paling mencabar bagi sesetengah ibu bapa. Bukan mudah memujuk si kecil menumpukan sepenuh perhatian kepada makanan.

Biasanya selepas dua atau tiga suap mereka mula mengelak apabila sudu dihalakan ke mulut. Ada pula menjuihkan bibir atau memuntahkan semula seolah-olah makanan disediakan itu tidak sedap.

Ini membuatkan ada dalam kalangan ibu mudah hilang sabar melihat telatah anak dan akhirnya ibu membiarkan si comel tidak menghabiskan makanan mereka. Di sini wujudnya kebimbangan mengenai pengambilan hidangan sihat dan sempurna untuk kanak-kanak.

Pengabaian makanan bernutrisi membuatkan masalah kurang berat badan berlaku.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata, Amalina Mohd Daud, 29, ketika melahirkan anak pertama Ahmad Atif, kini berusia dua tahun, dia mempunyai keinginan sama seperti ibu lain iaitu menyediakan sendiri makanan sihat apabila si kecil sudah berusia enam bulan.

Mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa, mendorong wanita ini mendapatkan maklumat menerusi Internet.

“Saya sangat teruja apabila Atif mula menunjukkan tanda ingin makan ketika berusia enam bulan. Namun kesibukan bekerja sebagai doktor di salah sebuah hospital di Ampang membuatkan masa bersama si kecil sangat terhad. Terutama apabila saya perlu menyediakan sendiri makanan di rumah dalam bentuk sejuk beku.

“Saya faham betapa sukarnya ibu berkerjaya mencari menu kesukaan anak mereka. Namun apabila hidangan sudah disediakan ada juga pengasuh tidak tahu mengendalikan makanan bayi yang sudah disejuk beku. Ini menyebabkan nutrisinya berkurangan jika dimasak terlalu lama,” katanya yang tekad menyediakan sendiri bekalan Atif untuk dihantar ke rumah pengasuh.

Sebaik sahaja Atif berusia tiga bulan, Amalina disahkan mengandung anak kedua. Kekangan masa menguruskan anak kecil ditambah tekanan di tempat kerja membuatkan Amalina mengambil cuti panjang sebaik sahaja melahirkan anak kedua, Ahmad Aisy Alwi.

“Pada masa itu saya sudah mula terfikir untuk melepaskan jawatan sebagai doktor dan memberikan sepenuh perhatian kepada Atif dan Aisy di rumah. Menjaga pemakanan dan memberikan didikan sepenuhnya.

“Apabila Aisy berusia enam bulan dan mula menjamah makanan pertama secara tidak sengaja timbul idea menghasilkan makanan bayi dalam bentuk serbuk (kering),” katanya.

Puas mencuba

Dapat memberikan sepenuh perhatian kepada dua anak lelaki di rumah memberi peluang kepada Amalina mencuba pelbagai resipi makanan bayi.

Dalam kesibukan menyediakan bubur Aisy setiap hari, dia terfikir mengenai kesukaran ibu berkerjaya yang terpaksa memberikan bubur segera kepada bayi mereka. Lantas terdetik alangkah mudahnya sekiranya ada puri dan bubur yang disediakan dalam bentuk serbuk supaya tahan lama dan mudah disediakan. Bermula dari situ jenama Toddible dilancarkan sekitar Januari 2017.

Menurut Amalina makanan bayi ini sangat berbeza kerana disediakan dalam bentuk serbuk. Bermula puri buah-buahan yang diperkenalkan kepada Aisy, Amalina mula menghasilkan puri labu, lobak merah, brokoli dan kentang yang kemudian dikeringkan dan dikisar menjadi bentuk serbuk. Tanpa campuran, gula, garam, bahan pengawet dan perisa, setiap makanan mengekalkan rasa yang hampir sama seperti buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

Sebelum diperkenalkan kepada pelanggan setiap produk akan melalui proses pengubahsuaian bagi memastikan kualiti dan selamat dimakan. Atif dan Aisy menjadi bahan uji kaji dan mereka akan menikmati semua jenis perisa.

“Untuk Aisy saya menghasilkan bubur nasi daripada beras putih, beras perang dan juga gandum. Sekiranya Aisy tidak suka ini menandakan ia tidak sesuai untuk kanak-kanak lain, lalu saya mencari resipi baru,” ujarnya yang memilih sayur-sayuran paling tinggi khasiat seperti labu dan brokoli yang enak dicampurkan ke dalam bubur bayi.

Mudah disediakan

Menurut Amalina, makanan bayi yang disediakannya mudah dibawa terutama bagi ibu yang sering melancong dan perjalanan memerlukan masa yang panjang. Apa yang perlu dilakukan hanya campurkan serbuk makanan itu dengan air panas dan kacau sehingga sebati. Tidak sampai lima minit makanan sedia dihidangkan.

“Saya pernah berhadapan ibu yang membawa makanan sejuk beku ketika melancong ke luar negara. Namun apabila waktu makan tiba, makanan sudah cair dan berada dalam keadaan kurang selamat. Jadi dengan adanya makanan bayi dalam bentuk serbuk ini, ibu tidak perlu bimbang mengenai kualiti dan keselamatan kerana ia disediakan dalam keadaan bersih serta menggunakan bahan berkhasiat,” katanya yang mengeluarkan lima perisa untuk bayi bermula usia enam bulan ke atas antaranya beras perang bersama epal, beras perang bersama pisang, campuran beras perang epal dan pic, mangga dan juga strawberi.

Set melancong ini mendapat sambutan menggalakkan kerana mudah disediakan dan enak. Selain puri dan bubur nasi beras perang, Amalina turut mengeluarkan serunding daging dan tuna untuk menambah selera anak-anak. Serunding ini boleh ditaburkan di atas makanan bayi atau dimakan begitu sahaja, sesuai untuk kanak-kanak berusia setahun ke atas terutama yang mulai tumbuh gigi.

“Sebagai individu yang terbabit dalam dunia perubatan, saya banyak membaca jurnal dan melayari Internet bagi mengetahui makanan terbaik bayi. Serunding ini terhasil bagi membantu pertumbuhan gigi anak-anak. Keenakan rasanya akan menggalakkan kanak-kanak mengunyah sehingga mereka selesa menikmatinya. Sejak diperkenalkan ramai ibu mengakui anak mereka kembali berselera menjamah makanan,” ujarnya.

Jika sebelum ini dia memberi tumpuan kepada sayuran dan buah-buahan yang banyak vitamin, serunding kaya protein dan jika digabungkan dengan bubur nasi ia sudah melengkapi khasiat diperlukan si kecil.

Mendapat sokongan suami, Mohd Nasriqul Afiq Mat Radzi, 28, yang juga seorang doktor, jelas Amalina suaminya juga berhasrat memberikan sepenuh perhatian dalam perniagaan disebabkan sambutan menggalakkan.

“Di Malaysia makanan bayi berbentuk serbuk belum banyak di pasaran, berbeza di luar negara kerana ia sudah menjadi kebiasaan apabila ibu memberikan makanan bayi dalam bentuk kering. Jadi penerimaan pelanggan agak sukar pada mulanya. Selepas mendidik menerusi penulisan di blog, lama-kelamaan mereka mula menerima. Lebih menggembirakan apabila ramai ibu sudah memahami pentingnya makanan tanpa garam, gula dan minyak,”katanya.

Walaupun kini tidak lagi berkhidmat sebagai doktor, namun Amalina tidak pernah menyesal kerana menceburi perniagaan. Dia masih dapat berbakti kepada masyarakat dengan memberikan informasi berguna mengenai pemakanan kepada mereka. Paling penting dapat menjaga anak sendiri di rumah dan melihat mereka membesar di depan mata.

Disiarkan pada: March 16, 2018 @ 7:36am
d