hati

Baju raya klasik

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Elemen tradisional dalam rekaan busana wanita meskipun mendapat sentuhan moden menjadi asas utama tiga jenama yang menempa nama di persada tempatan mahupun antarabangsa ini.

Mengetengahkan koleksi Aidilfitri, Alia Bastamam (Alia B), Syomirizwa Gupta dan Nurita Harith melancarkan koleksi masing-masing eksklusif bersama destinasi fesyen dalam talian, Zalora menerusi Zaloraya2018 pasti dinanti peminat jenama itu.

Koleksi Alia B memberi peluang kepada pereka itu mencuba perkara baru yang menarik dan segar antaranya menghasilkan rekaan yang memenuhi pelbagai kumpulan wanita.

Dengan membawakan unsur mewah dengan aura kesuburan, Alia bijak menyuntik idea tropika melalui cetakan oriental dalam ton bergemerlapan bak permata.

Unsur flora muncul seperti lukisan Cina yang bergerak bebas manakala pengaruh Melayu tradisional muncul pada corak seperti kain batik.

Tidak dilupakan juga elemen flora Inggeris menambahkan lagi keunikan koleksi memukau pereka ini dalam memastikan ia tidak ditelan zaman.

Mengekalkan kesetiaannya terhadap inspirasi daripada individu yang luar biasa dalam setiap rekaannya dan pelbagai unsur etnik sebagai ilhamnya, koleksi Syomiriza Gupta memberi penghormatan kepada kehidupan dan tugas Wanita Pertama Singapura, Toh Puan Noor Aishah.

Figura itu terkenal dengan kebaya dan batik lepas yang lengkap dengan padanan kerongsang dan selendang yang digayakan dengan elegan di sebelah bahu.

Syomirizwa Gupta untuk koleksi Zalora mempamerkan bukan saja gaya sofistikated tokoh itu termasuk kebaya ketat, baju labuh, dan kebarung, tetapi juga sifatnya yang gemar mencuba perkara baru dengan memasukkan elemen polka dot, rona merah dan oren yang bertenaga serta sulaman yang sering dipamerkan dalam gayanya.

Koleksi NH oleh Nurita Harith pula menyaksikan permainan warna pastel yang digemari pereka itu. Daripada ungu lembut, hijau pudina hingga merah jambu, rekaannya itu turut dihias indah dengan renda yang menjadi lambang keanggunan kebanyakan koleksinya.

Elemen keseronokan, feminin dan serba boleh oleh koleksi Nurita Harith untuk Zalora menawarkan 15 koleksi busana sedia pakai yang memaparkan siluet klasik dan paling digemari pereka itu.

Koleksi Alia B dilancarkan pada 7 Mac boleh didapati pada harga antara RM529 hingga RM599 manakala koleksi Syomirizwa Gupta mula dipasarkan pada 19 Mac, berharga antara RM445 hingga RM595 diikuti koleksi Nurita Harith bermula 9 April di platform fesyen dalam talian itu pada harga antara RM595 hingga RM745.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 10:41am
d