hati

Telekung bercorak selesa dipakai

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Seperti pakaian, aliran perubahan masa dan fesyen terkini membawa revolusi dalam pemilihan telekung dengan membawa kepelbagaian cita rasa pemakainya.

Ini termasuk aspek yang menjadi keutamaan ketika membeli telekung iaitu sedap dipakai, selesa, tampak cantik dan tidak panas menjadi pilihan hampir semua wanita.

Jenis fabrik yang popular pula berciri lembut dan tidak panas seperti kapas. Di samping itu, telekung yang mudah dipakai dan tidak memerlukan pemakaian anak tudung antara diminati ketika ini selain memenuhi syariat seperti menutupi anak rambut dan dagu dengan sempurna.

Pembelian telekung pada masa ini juga tidak terhad untuk tujuan ibadat saja, malah ramai yang menjadikannya sebagai hadiah.

Ada juga yang membeli telekung untuk dijadikan hantaran perkahwinan atau dihadiahkan kepada mereka yang bakal menunaikan ibadat umrah dan haji.

Justeru, pemilik jenama telekung D’Fleur, Nur Zahirah Zulhaimi tidak melepaskan peluang untuk tampil dengan rekaan eksklusif telekung yang bukan saja menarik dan unik, tapi selesa dipakai.

Perniagaan diusahakan ibu kepada tiga cahaya mata itu bermula dengan penghasilan telekung bercorak selepas memahami keperluan sebenar pakaian solat iaitu tidak semestinya putih.

“Idea itu tercetus apabila saya memikirkan bahawa baju yang kita pakai sekiranya sempurna menutup aurat juga membolehkan seseorang wanita mendirikan solat walaupun berwarna-warni.

“Di pasaran sekarang ini pun banyak pakaian berkonsep ‘solat-ready’ yang umumnya pelbagai warna dan corak.

“Asas telekung ini ialah apabila orang melihatnya nampak cantik kerana saya percaya seperti mana kita mahu tampil cantik dalam kehidupan seharian, kita juga harus sentiasa tampil cantik untuk solat,” katanya.

Nur Zahirah berkata, perbezaan utama telekung rekaannya terletak pada corak. Corak seperti bunga-bungaan Inggeris dan renda menjadi pilihannya selain pemilihan warna lembut.

“Saya banyak buat kajian terhadap penerimaan telekung bercorak dan mendapati sebenarnya masyarakat luar sudah lama menerimanya sebagai pakaian ibadat.

“Cuma apabila saya memilih corak kain, saya sesuaikan keseluruhan rupa telekung dengan cita rasa tempatan. Saya memilih untuk bersederhana dalam menghiasinya. Hasilnya, Alhamdulillah, penerimaan yang sangat baik di sini,” katanya.

Terdapat banyak pilihan warna dan corak bagi telekung jenama itu namun paling penting katanya, sasaran sebenar penghasilan telekung dengan rekaan dan corak menarik adalah untuk mengajak dan mendidik golongan muda dan kanak-kanak untuk seronok bersolat.

Sebab itu katanya, terdapat rekaan menarik bukan saja untuk golongan dewasa, malah kanak-kanak hingga remaja turut disediakan rekaan sepadan untuk digayakan bersama ibu mereka.

Disiarkan pada: March 17, 2018 @ 10:43am
d