hati

Ukir senyuman anak yatim

Oleh Nurul Husna Mahmud

COURTS Malaysia meraikan hari terakhir Tahun Baru Cina, Chap Goh Mei dengan membawa kegembiraan kepada 36 kanak-kanak menerusi inisiatif Rumah Amal COURTS, baru-baru ini.

Pasukan terdiri daripada sembilan sukarelawan COURTS melawat Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih (House of Love) di Klang Selangor bukan saja meraikan perayaan itu bersama penghuni terbabit, malah melakukan kerja penambah baikan kepada ruang rumah kebajikan itu.

Ini bukan projek sulung Rumah Amal COURTS sebaliknya sehingga penghujung tahun lalu saja, lebih 40 rumah kebajikan terpilih menerima sumbangan membabitkan keperluan rumah bernilai RM200,000.

Pengarah Pemasaran COURTS Malaysia Low Bee Yin berkata, selaku peneraju rangkaian gedung perabot, barangan elektrik dan digital Malaysia semestinya pihaknya komited dalam sebarang saluran dapat memberi kebaikan kepada masyarakat.

"Penting bagi kami untuk membuat perubahan dalam komuniti terutama terhadap kehidupan orang yang kurang bernasib baik. Sebagai korporat yang komited untuk memberikan nilai unggul kepada isi rumah di Malaysia, dedikasi itu kami sampaikan menerusi Rumah Amal COURTS dalam bentuk bantuan keperluan membabitkan pemilik rumah kebajikan atau kediaman golongan kurang bernasib baik.

"Bagi projek pertama tahun ini, Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih menerima sumbangan RM8,300 dalam bentuk keperluan peralatan rumah seperti barangan dapur dan sofa nyata memberi keceriaan kepada wajah kanak-kanak, sekali gus memberi kesan positif terhadap kehidupan mereka," katanya.

Sukarelawan turut menampilkan ketulusan apabila gigih membantu penghuni melakukan kerja pengubahsuaian seperti mengecat semula pintu rumah, pembersihan kawasan sekitar termasuk saluran parit berhampiran.

Tidak lupa sempena meraikan hari perayaan, sebahagian sukarelawan turut mempersiapkan sajian tradisi Yee Sang untuk jamuan tengah hari selain penghuni terdiri daripada kanak-kanak berumur empat hingga 18 tahun dihiburkan dengan persembahan tarian singa.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Rumah Berkat Kasih Cinta Joseph Pang meluahkan rasa terharu dengan komitmen ditunjukkan COURTS dalam menyediakan ruang kediaman selesa buat anak-anak jagaannya.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan COURTS Malaysia yang sanggup datang dan menghabiskan masa bersama anak-anak di sini, sekali gus memberi suasana perayaan kepada mereka.

"Kami menghargai usaha dan sumbangan mereka dalam membuat rumah kami tempat yang lebih selesa dan bahagia penghuni. Hadiah paling bermakna di sini bukan jumlah sumbangan barangan kami terima semata-mata, tetapi kehadiran sukarelawan yang beramah mesra dengan anak-anak penghuni Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih menjadi ingatan paling indah buat mereka," katanya

Rumah Amal COURTS satu tanggungjawab sosial korporat yang bermula sejak 2015 dengan lebih 120 rumah dan komuniti sasaran menerima sumbangan keseluruhan RM700,000 menerusi program terbabit.

Disiarkan pada: March 20, 2018 @ 9:56am
d