hati

Bukan untuk wanita bersalin saja

Oleh HM Digital

Percaya atau tidak kecantikan boleh diserlahkan melalui penjagaan diri yang rapi bukan saja melalui rawatan wajah dan badan moden tetapi mengikut setiap kaedah penjagaan yang diamalkan nenek moyang terdahulu.

Mungkin masih ramai yang melakukannya kerana yakin kaedah penjagaan diri secara tradisional seperti bertangas dan mandi bunga mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, ada juga yang kurang percaya dan beranggapan ia kaedah kolot.

Suatu ketika dulu, amalan mandi bunga dan bertangas menjadi rutin bagi wanita, tidak kira bujang atau sudah berkahwin demi menjaga kesihatan dalaman sekali gus memancarkan kecantikan luaran.

Kedua-dua amalan ini diakui memberi kesan mujarab kepada kecantikan serta kesihatan wanita, lebih-lebih lagi jika mereka berdepan dengan masalah seperti keputihan, angin, rahim longgar dan kegemukan manakala mandi bunga bagi menyerlahkan lagi aura serta kecantikan diri.

Apabila melakukan rawatan berkenaan, ia membantu meringankan badan, memulihkan perjalanan darah, melancarkan haid, menaikkan seri dan menyerlahkan kecantikan semula jadi.

Berusaha memupuk kesedaran wanita kini untuk meneruskan kaedah penjagaan diri secara tradisional yang diselarikan dengan rawatan moden, Spa Mawar Putih yang terletak di Bandar Bukit Puchong, Selangor ini menyediakan pelbagai jenis rawatan tradisional dan moden dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Menurut pengasasnya Ruzita Jamaludin, dua rawatan tradisional yang menjadi antara rawatan terbaik adalah bertangas dan mandi bunga aura.

“Dua rawatan ini mempunyai kelebihan tersendiri yang membantu menyerlahkan kecantikan seseorang. Ramai yang mengaitkan amalan bertangas hanya untuk wanita selepas bersalin namun fakta itu tidak tepat.

“Bertangas ternyata baik untuk wanita bujang yang mungkin mengalami masalah kegatalan faraj dan keputihan,” ujarnya.

Ruzita berkata, terdapat dua jenis bertangas iaitu tangas kering dan basah yang mana kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri tetapi keselesaannya berbeza mengikut pilihan individu.

“Cara bertangas kering adalah dengan menggunakan batu sungai yang dipanaskan selama satu jam di atas api kecil dan diletakkan serbuk tangas diperbuat daripada herba terpilih.

“Asapnya akan naik ke atas dan membantu mengetatkan rahim. Ramai yang menggemari tangas kering ini kerana ia ringkas dan tidak terlalu merimaskan bagi yang tidak tahan kepada kepanasan,” katanya.

Berbeza dengan tangas basah, kehangatannya lebih dirasai seolah-olah sedang mandi wap kerana ia menggunakan air panas yang dididihkan bersama daun herba terpilih.

“Bertangas digalakkan untuk dilakukan dalam tempoh 20 minit sudah memadai. Wanita bujang digalakkan melakukan dua kali sebulan dan boleh merasai perubahannya.

“Jangan sesekali bertangas menggunakan siraman cuka pada batu sungai kerana ia menipiskan dinding rahim. Bagi yang ingin melakukan di rumah, amat digalakkan dan tidak semestinya di spa saja,” katanya.

MANDI BUNGA NAIKKAN SERI

Sentiasa menggalakkan pelanggannya melakukan rawatan tradisional seperti bertangas yang disertakan mandi bunga, Ruzita berkata, rawatan mandi bunga perlu dilakukan setiap wanita sekurang-kurangnya sebulan sekali.

“Manfaat mandi bunga dipercayai mampu menambah seri†wajah yang menyerlahkan kecantikan semula jadi diri. Selain itu, ia memberikan aura positif dan membangkitkan cakra dalaman dan semangat untuk memberikan kesan yang terbaik dalam setiap tindakan,” katanya.

Ruzita berkata, pada dasarnya mandi bunga memerlukan tujuh atau sembilan jenis bunga yang berlainan warna dan bagi melengkapkan mandian perlu diletakkan hirisan tujuh biji limau purut.

“Jika tidak ada tujuh jenis bunga berbeza, cukup sekadar bunga yang sama dengan tujuh warna yang berbeza kerana ia sudah dijadikan amalan sejak zaman dulu lagi.

“Kebiasaannya bunga yang digunakan adalah kesidang, melati, cempaka putih atau kuning, kenanga, ros, tanjung, matahari dan mayang sari. Semua bunga ini mempunyai bau tersendiri dan dipercayai mengeluarkan aura positif di dalam tubuh seseorang,” ujarnya.

Tambahnya, selain daripada segi aura dan seri, mandian bunga juga menyegarkan tubuh serta meningkat emosi gembira dan bersemangat dalam diri.

“Untuk menambah aura, mandi bunga digalakkan dilakukan pada awal pagi. Jika pelanggan datang ke spa dan bertanyakan rawatan yang paling berkesan dan saya akan berikan cadangan untuk melakukan dua rawatan ini kerana kesannya yang menyeluruh secara dalaman,” katanya.

Selain rawatan tradisional, pusat itu turut menawarkan semua rawatan moden termasuk rawatan wajah. -Siti Nadirah Hafidzin

Disiarkan pada: March 21, 2018 @ 11:07am
d